PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan Datuk Amarjit Singh Gill kekal sebagai presiden badan induk itu selepas menang tanpa bertanding bagi penggal 2026-3030.
Bagi jawatan Timbalan Presiden PKBM pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara naib presiden iaitu Norazman Datuk Abu Samah dari Melaka dan Mohd Saiful Abdul Jalil (Putrajaya).
Seramai lapan calon mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan naib presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pemilihan PKBM yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Ahad ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Amarjit menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti kukuh bahawa sukan berbasikal di Malaysia sedang menuju ke arah kecemerlangan berkualiti.
“Ini satu penghormatan yang sangat besar kepada saya. Ini bermakna saya ada banyak kerja untuk dilakukan selepas ini. Saya ingin membawa sukan berbasikal di Malaysia kepada satu tahap yang bertaraf dunia.
“Saya rasa kejayaan menganjurkan Kejohanan Trek Piala Dunia yang berakhir Ahad lalu adalah satu bukti terbaik bahawa PKBM boleh menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dengan cemerlang,” katanya.
Amarjit, yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), yakin PKBM mampu menganjurkan Kejohanan Dunia Trek dan menyifatkannya sebagai KPI (Indeks Prestasi Utama) utama kepemimpinan baharu bagi penggal 2026-2030.
“Saya yakin PKBM boleh membawa Kejohanan Dunia Trek ke Malaysia. Inilah indikator dan KPI saya dan barisan kepemimpinan baharu yang menang pada AGM Pemilihan Ahad nanti,” katanya.
Sebagai rekod, Amarjit menewaskan pencabarnya, Yunus Ibrahim dan Mazlan Md Jail bagi penggal 2023-2026 pada AGM pemilihan di Melaka pada 12 Oktober 2024.-UTUSAN










