Badan sihat, mudah ibadat

Badan sihat, mudah ibadat

SEPARUH daripada 32 juta rakyat Malaysia berdepan obesiti. Makan berlebihan boleh menjadikan tubuh badan kita tidak sihat. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA antara negara yang amat makmur. Majoriti rakyatnya cukup makan. Malah ramai yang terlebih makan. Adakalanya dalam sehari kita makan lima atau enam kali. Sehingga timbul persoalan, hidup untuk makan atau makan untuk hidup?

Ada sebuah lagu nyanyian Jalil Hamid bertajuk Makan. Liriknya antara lain berbunyi, Mari dengar cerita pasal makan. Di sini kita mewah dapat makan. Negara lain kebulur mati tak makan. Tapi kita mati kerana banyak makan.

Makan itu tidak salah. Yang salah, terlalu banyak makan sehingga menjadikan tubuh badan kita tidak sihat. Inilah yang merisaukan apabila membaca laporan Utusan Malaysia, Isnin lalu, tentang separuh daripada 32 juta rakyat negara ini menghadapi masalah berat berlebihan atau obesiti.

Berdasarkan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia, 50.1 peratus rakyat negara ini berhadapan masalah tersebut dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Profesor Dr. Geeta Appannah berkata, kumpulan umur dari 35 sehingga 39 tahun adalah kumpulan paling tinggi mempunyai masalah obesiti, iaitu 25.3 peratus, diikuti golongan berumur 40 hingga 44 tahun (24.4%).

“Kadar obesiti dilaporkan dalam semua golongan umur. Bagaimanapun, dewasa yang berumur di antara 30 sehingga 74 tahun dilihat sebagai golongan paling banyak terkesan di Malaysia.

“Ini kerana jikalau seseorang itu mempunyai masalah berlebihan berat badan atau obesiti sejak usia muda, ia akan berlarutan sehingga mereka agak berusia,” katanya.

Menurut portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan, obesiti adalah penyakit kompleks kerana terdapatnya pengumpulan lemak berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang mengalami berat badan berlebihan. Bagi mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) dari 23 sehingga melebihi 40, diklasifikasikan sebagai pra-obes, obes-I, obes-II dan obes-III.

Obesiti dilihat sebagi penyebab yang mampu membawa kepada risiko kesihatan bagi seseorang seperti kencing manis, penyakit hati berlemak, sindrom metabolik, masalah tidur, kesukaran untuk bernafas, strok, penyakit jantung koronari, lemah jantung, darah tinggi, gout dan sakit sendi.

Dalam Islam, kita diberi kebebasan untuk makan asalkan ia bersumberkan yang halal. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang terdapat di bumi sesuatu yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah (bimbingan) syaitan kerana ia adalah musuh kamu yang nyata.” (al-Baqarah: 168)

Tubuh badan yang sihat adalah antara nikmat sering dilupakan oleh manusia. Sebab itu, baginda SAW mengingatkan kita tentang hal ini menerusi hadis bermaksud: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat Bukhari)

Kita maklum yang hidup di dunia ini adalah sementara dan ia adalah tempat kita bekerja untuk menuai hasilnya di akhirat. Untuk itu, kesihatan yang baik amat penting bagi membolehkan kita melakukan pelbagai ibadat dan ketaatan kepada Allah SWT.

Dengan tubuh yang sihat, kita boleh solat dengan sempurna tanpa perlu menggunakan kerusi. Boleh juga melakukan solat di masjid berbanding jika sakit, mungkin terpaksa solat secara duduk atau berbaring di atas katil di rumah.

Melalui badan sihat juga kita boleh menunaikan ibadat haji dan umrah. Salah satu syarat mengerjakan Ibadat haji yang diletakkan sebagai istito’ah atau berkemampuan atau sihat tubuh badan.

Jika tidak sihat termasuk masalah berat badan berlebihan, ia menjejaskan peluang untuk menunaikan haji. Ini kerana biasanya mereka yang obes turut dijangkiti pelbagai penyakit.

Sesungguhnya peluang untuk manusia melakukan banyak amal kebaikan bergantung kepada dua nikmat besar kurniaan Ilahi, iaitu kesihatan dan masa lapang. Hanya dengan dua nikmat ini manusia akan dapat melakukan banyak kebaikan yang mendatangkan pahala daripada Allah.

Bagaimanapun, perlu difahami kedua-dua nikmat ini tidak datang bergolek. Kesihatan perlu dijaga, begitu juga masa lapang yang akan diperoleh sekiranya bijak mengatur masa dengan baik.

Hamka (2007) menjelaskan bahawa penipuan, kecurangan dan seumpamanya berkait rapat dengan perut asal berisi. Berlakunya pelbagai perbuatan curang di maya ini semata-mata bagi mempertahankan syahwat perut.

Justeru, apabila manusia menyusun atur makan minumnya dan mencari daripada sumber halal, maka jiwanya akan terpelihara daripada keburukannya.

Seterusnya Allah SWT berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Makanlah makanan-makanan yang baik yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar menyembah-Nya.” (al-Baqarah:172)

Atas sebab itu juga, hikmah kepada berpuasa adalah boleh mengawal hawa nafsu. Puasa adalah salah satu kaedah paling efektif.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Wahai para pemuda, sesiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Ini kerana perkahwinan boleh menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana ia adalah perisai.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, tiada alasan untuk tidak bergerak cergas semasa bekerja. Institut Sukan Negara menggariskan cara ringkas untuk kekal cergas ketika bekerja. Gunakan masa pagi untuk lebihkan aktiviti berjalan kaki. Parkir kereta beberapa blok dari pejabat dan berjalanlah. Nampak ringkas tapi anda mungkin sudah berjalan beratus-ratus langkah.

Anda ingin berbincang dengan rakan? Lupakan e-mel, WhatsApp dan chat. Berjalanlah untuk bertemunya dan berbual sambil berdiri.

Gunakan squeeze ball setiap kali ada kesempatan. Ia bagus untuk menguatkan otot lengan dan tangan. Bahkan ia juga membantu melawan stres. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×