TIDAK menoleh ke belakang. Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kemakmuran dan kestabilan negara sejak November tahun lalu, berdikit-dikit diterima.
Yang terbaharu dan tampak menongkah arus adalah memfokus subsidi bersasar yang merupakan langkah cukup berani. Cukup berani kerana beliau tidak memperhitungkan tohmahan daripada musuh-musuh politiknya yang pasti akan memanipulasikan apa sahaja usaha kerajaan ke arah kemakmuran dan kestabilan negara.
Dengan menghalakan subsidi bersasar, beban negara dapat dijimatkan kira-kira RM20 bilion. Ini sekali gus dapat digunakan untuk perkara-perkara pembangunan yang berkepentingan rakyat.
Demikian juga halnya subsidi ayam dan telur yang tidak lagi diberikan kerajaan. Untuk dua sumber ini sahaja, tanggungan oleh kerajaan kira-kira RM200 juta sebulan.
Kerajaan perpaduan diketuai Anwar tidak berkompromi dalam memastikan polisi yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara, dihentikan.
Beliau maklum, di atas kertas rakyat sebenarnya sudah rugi selama empat tahun sejak 9 Mei 2018 akibat asyik berpolitik memanjang. Ini bukan tempoh singkat sehingga bergilir tiga Perdana Menteri. Ketika politik Melayu bersengketa, negara-negara tetangga sudah memacu jauh hingga kita ketinggalan. Meskipun selepas berlalu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu, masih gian lagi orang kita berpolitik sana sini.
Anwar tidak pula sibuk menyalahkan kerajaan terdahulu atau menghapuskan segala legasi dan kebaikan yang pernah dilakukan kepada rakyat. Sebaliknya ada dasar kerajaan terdahulu diteruskan dengan membuat pembaikan.
Bagi Anwar, kestabilan amat penting kerana Malaysia pernah mencapai ekonomi yang hebat, namun keadaan kini sudah berubah susulan ketidakstabilan politik. Ekonomi negara kini sudah merudum jatuh dan perlu diangkat semula. Malah Anwar dilihat bertindak segera dalam melunaskan hak Sabah dan Sarawak sebagai kunci utama menjamin kestabilan kerana kedua-dua wilayah itu menyumbang kepada pembentukan kerajaan perpaduan.
Pelaburan asing seperti Infineon di samping hasil lawatan ke negara luar seperti Amerika Syarikat, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi bukti peranan Anwar benar-benar diperlukan buat masa ini untuk membaiki semula ekonomi negara di samping menjadi antara kuasa besar ekonomi Asia.
Perdana Menteri tidak mahu kerajaannya hanya berfungsi mengikut rentak laporan audit semata-mata. Laporan audit seperti kebiasaannya dengan ikhlas mendedahkan segala ketirisan duit negara. Padahal, sepatutnya ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua. Tetapi malangnya penyelewengan ini terus berulang saban tahun. Pesalah lama tidak dihukum dan dilupakan, kemudian dibuka pula buku penyelewengan baharu.
Beliau mengusulkan konsep Malaysia Madani untuk dijadikan jalan ke depan buat negara serta masyarakatnya yang pelbagai kaum dan budaya. Antara cabaran utama adalah menyusun semula ekonomi, memastikan keadilan sosial diteruskan serta menjamin prinsip tata kelola yang baik. Keutamaan rakyat nombor satu dengan menyelesaikan masalah dihadapi mereka. Untuk tujuan ini, penjawat awam menjadi tonggak perubahan dalam usaha menukar peta politik, peta ekonomi dan budaya negara.
Daripada tindakan-tindakan yang diambil sejak mengetuai kerajaan November 2022, Anwar jelas mahu menjayakan pembinaan sebuah masyarakat yang tidak terlalu tamak terhadap kebendaan dan gilakan kuasa sehingga melanggar undang-undang.
RASUAH
Anwar mahu kemasyarakatan menjadi tunjang kepada pembinaan negara bangsa dan keilmuan, prinsip demokratik, perpaduan dan kebebasan menjadi bumbung kepada gagasan masyarakat madani. Beliau menyedari tiga hal yang paling merosakkan negara – gilakan harta benda, kehilangan moral (rasuah, mencabuli hukum) dan amalan tidak demokratik ketika berhadapan orang berbeza pandangan.
Pendirian Anwar tidak bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah dan penyelewengan diberi keutamaan dalam aspek tata kelola pentadbiran kerajaan.
“Ini bermakna tata kelola harus dikemaskini. Tidak hanya kecenderungan untuk mengungkit dan membongkar kisah lama, tetapi mengizinkan kebobrokan baharu,” katanya.
Anwar menggerakkan kerajaan dengan cara mengurangkan kerenah birokrasi. Pendekatan berbeza beliau bermatlamat untuk terus menggarap dan membawa negara ke aras tinggi – sekali gus dihormati rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa.
Apabila turun ke negeri, yang pertama-tama dilakukan beliau adalah menghadap sultan, raja dan tuan yang terutama. Nampaknya tidak perlu sangat laungkan soal ketuanan beria-ia. Cukup dengan mendahulukan majlis menghadap, tanda hormat sekali gus memberi gambaran dan teladan berguna kepada generasi muda keperluan mempertahan serta mengekalkan demokrasi berparlimen raja berperlembagaan.
Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu duit di tangan dapat beli keperluan hidup. Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tentunya tidak mahu hak-hak perlembagaan mereka disentuh dan disusutkan. Masyarakat Cina dan India pula mahu hak mereka sebagai rakyat diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar utama.
Mengadun semua ini memerlukan seni dan keupayaan memerintah dan mentadbir. Bak kata pepatah Melayu, alah bisa, tegal biasa. Apa sahaja yang sukar jika dilatih, lama kelamaan menjadi mudah jua.
Tiada perkara dipandang terlalu mustahak atau terlalu remeh untuk diketepikan selagi yang dibangkitkan berkait kesejahteraan rakyat dan negara.
Anwar sedang mencuba strategi dan kaedah baharu kerajaan perpaduan dalam memakmurkan sekali gus mengekalkan kestabilan negara. Beliau cuba mengubah pemikiran sebahagian rakyat supaya tidak terus berada dalam silo.
Subsidi bersasar adalah cabaran besar Anwar terutama untuk meredakan kenaikan barang yang dipercayai sudah pun berlaku.
Kerajaan di bawah Anwar dipercayai akan terus realistik dan berpijak di bumi nyata untuk terus membawa negara berdaya tahan dan bersaing dalam gelora ekonomi domestik dan global yang semakin mencabar.
Dan di negara ini dengan gelora dan drama politiknya masih dikuasai dan dipandu oleh orang lama, nampaknya apa sahaja perancangan kerajaan perpaduan untuk manfaat rakyat memerlukan naratif dan ceritanya.
Oleh itu, kewajipan kita untuk mempertahankan Perdana Menteri sehingga habis tempoh tidak perlu dipertikaikan lagi. Kestabilan dan kemakmuran negara ini adalah keutamaan kita bersama. – UTUSAN
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










