SEMASA pentadbirannya dari 1970 hingga 1976, Tun Abdul Razak Hussein telah membawa semua parti politik sama ada parti komponen kerajaan atau parti pembangkang bekerjasama di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).
Dasar politik Perdana Menteri kedua itu telah membuka mata banyak pihak, sekali gus membezakan cara pentadbirannya dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau berpendapat, cara ini akan mengurangkan politik bagi tujuan pembangunan negara. Dasar bekerjasama dengan pembangkang dengan sendirinya ‘membunuh’ pembangkang.
Penubuhan BN oleh Abdul Razak pada 1 Januari 1973 bagi menggantikan parti Perikatan bertujuan memulihkan semangat dan keyakinan bangsa yang mulai pudar akibat tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ini dilakukan dengan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional dan kestabilan politik melalui penubuhan BN.
Terdahulu dari itu, walaupun Perikatan – dianggotai UMNO, MCA dan MIC memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum (PRU) 1969, iaitu 76 kerusi Parlimen, namun ia mendapat kurang daripada separuh undi popular iaitu sebanyak 48.4 peratus. Pembangkang yang memenangi 37 kerusi Parlimen pada PRU 1969 adalah DAP (13 kerusi), Pas (12 kerusi) , Gerakan (8), Parti Progresif Rakyat, PPP (4) dan selebihnya dimenangi parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
DAP dan Gerakan yang berkempen atas manifesto menentang hak istimewa bumiputera ditetapkan oleh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memperoleh peningkatan undi pada PRU 1969.
Diakui oleh Abdul Razak bahawa perasaan syak wasangka dan perasaan bermusuhan dalam kalangan rakyat daripada tragedi 13 Mei 1969 merupakan penyakit paling berbahaya. Ubatnya ialah dengan melakukan pembedahan besar. Abdul Razak yakin ia juga perlu melibatkan penyusunan semula ekonomi negara yang lengkap dan pengubahan daripada cara hidup rakyat yang tradisional. Yang penting ialah pembahagian harta dan peluang menuju kemajuan.
Beliau seterusnya berjaya membentuk gabungan di bawah payung BN menerusi satu sistem muafakat parti politik. Beliau mengajak semua parti politik menyertai BN. Mengajak pemimpin politik tinggalkan perkara lain dan fokus untuk membangunkan balik negara pada satu kesepaduan.
Pada 1 Januari 1973, BN yang menggantikan Perikatan turut disertai parti dari Sabah dan Sarawak, iaitu Parti Perikatan Sabah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). BN dibentuk sebagai gabungan besar sembilan parti.
MULAKAN POLITIK BAHARU/TAJDID
Untuk mengawal keadaan, darurat diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan untuk mengambil alih pemerintahan negara. Mageran diketuai Abdul Razak telah menjalankan perbincangan dengan semua pihak berkenaan untuk mewujudkan semula perpaduan di negara ini. Akhirnya Rukun Negara dibentuk sebagai manifestasi ideologi kebangsaan demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan semua kaum. Berdasarkan kepada semangat Rukun Negara jugalah akhirnya Dasar Ekonomi Baru berjaya diciptakan demi kemajuan ekonomi negara dan menghapuskan kemiskinan masyarakat.
TERIMA PARTI GERAKAN
Parti Gerakan dikatakan lebih cauvinis daripada DAP. Gerakan dibentuk pada 24 Mac 1968 dan menang di Pulau Pinang pada PRU 1969. Kerajaan campuran pertama di Semenanjung ialah antara Gerakan dengan Perikatan dibentuk pada Februari 1972. Syarat-syarat perjanjian kerajaan campuran berkehendakkan Perikatan mengambil bahagian dałam kerajaan negeri Pulau Pinang dengan anggota-anggota Perikatan mengangkat sumpah sebagai Exco.
Ini bagi membolehkan Gerakan menyokong kerajaan Perikatan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta berkehendakkan Jawatankuasa Perunding dan Majlis Penyelaras ditubuhkan sebagai forum kerajaan campuran. Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang masih dipegang oleh Dr. Lim Chong Eu dan kerajaan campuran membenarkan Gerakan terus menguasai kerajaan negeri serta memastikan dasar kerajaan negeri tidak bercanggah dengan matlamat Kerajaan Persekutuan.
Tujuan Perikatan bersetuju dengan pembentukan kerajaan campuran kerana ia mendapat faedah. Kedua-dua parti sama-sama bertanggungjawab terhadap politik dan pentadbiran Pulau Pinang. Ini akan memudahkan tugas melaksanakan dasar ekonomi Kerajaan Persekutuan dan pada masa sama membawa masuk sebuah parti pembangkang berfahaman sederhana yang menguasai sebuah negeri.
Dengan terbentuknya kerajaan campuran, Gerakan mendapat faedah daripada kestabilan politik Pulau Pinang yang melindungi asas parti dan mendapat kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan negeri.
MENYATUKAN UMNO-PAS
Pada 19 Ogos 1971, Abdul Razak membuat kunjungan ke Kelantan. Beliau membuat tawaran kepada kerajaan negeri Pas untuk memberi beberapa kemudahan ekonomi, sosial, pelajaran dan kesihatan kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua.
Tawaran ini merupakan satu pukulan kepada kekebalan Pas dan dasar political isolationism. Abdul Razak menguji kejujuran UMNO sendiri dan Pas apabila menawarkan membuka 250,000 ekar tanah bagi tujuan perindustrian dan projek kayu-kayan di negeri itu.
Perdana Menteri kedua itu akhirnya membuat satu jemputan terbuka dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO ke-23 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24 Jun 1972 yang membayangkan UMNO sedia bekerjasama dengan Pas bagi kepentingan negara clan kemajuan rakyat.
Tindakan beliau dicemuh oleh sesetengah pihak dalam UMNO. Cadangan beliau seolah-olah mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang tidak menguntungkan mana-mana pihak dari apa sudut sekalipun.
Masalah lama yang terpaksa dihadapi Abdul Razak ialah perselisihan UMNO khususnya dan Perikatan amnya dengan Pas. Masalah yang timbul ialah penentangan Pas mengenai cadangan hendak membentuk kerajaan campuran yang terpaksa ditangani oleh Abdul Razak semasa pemerintahannya. Kerajaan campuran yang hendak diwujudkan disifatkan sebagai tidak perlu.
Namun, hasil kerjasama dan sokongan daripada parti-parti pembangkang yang menyertai kerajaan campuran seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP), sebuah kerajaan campuran dapat dibentuk.
Walaupun terdapat beberapa pertelingkahan dengan UMNO, Pas akhirnya bersetuju menyertai kerajaan campuran walaupun menyedari dengan menyertai Perikatan, kemungkinan bagi Pas mendapatkan ahli-ahli baharu tidak mudah. Namun demikian, Pas sedar terdapatnya peluang yang baik jika mereka menyertai UMNO dalam Perikatan. Harapan Pas berkisar pada soal-soal pentadbiran. Dengan menyertai Perikatan dalam kerajaan campuran, maka ia dapat campur tangan dalam pentadbiran yang akan turut menentukan dasar yang akan dijalankan oleh negara.
Masalah UMNO pula yang terpaksa dihadapi oleh Abdul Razak ialah terdapatnya tentangan ke arah pembentukan kerajaan campuran dalam kalangan ahli UMNO di Kelantan dan Terengganu. Namun, tiada suara lantang yang membangkang keputusan itu. Dan apabila anggota-anggota UMNO di situ diberitahu keputusan mengenai kerajaan campuran dengan Pas, sebagai anggota parti yang patuh, mereka hanya menerima keputusan itu selaras dengan disiplin parti.
Hasil kerajaan campuran itu tidak mudah diselenggarakan kerana ia bersangkutan dengan pembangunan. Soal pembangunan adalah satu persoalan yang sukar ditentukan kerana ia memakan masa. Dan biasanya dijalankan secara berperingkat-peringkat, sesuai dengan kata-kata Abdul Razak, “Tidak ada tongkat ajaib atau lampu Aladdin bagi kejayaan pembangunan serta merta.” Tetapi yang cepat kelihatan ialah kesan-kesan dari segi politiknya.
MENYATUKAN MCA
Antara 1972 hingga 1973 berlaku perbalahan dalam MCA disebabkan ‘tenaga-tenaga muda’ yang berbalah mengatakan MCA harus lebih tegas dalam mewakili dan mempertahankan kepentingan orang Cina.
Pada November 1972, UMNO dan Abdul Razak mendesak kepimpinan MCA mengambil tindakan disiplin ke atas kumpulan tadi dan akhirnya pasukan ini diharamkan. Pemimpin ahli kumpulan ini ialah Dr. Lim Keng Yeik, seorang menteri Kabinet kerajaan Pusat yang bertanggungjawab mengatasi masalah kampung-kampung baharu. Beliau telah menggunakan jawatannya untuk mendapat sokongan penduduk Cina di luar bandar. Keng Yaik disingkirkan daripada jawatannya pada Jun 1973. Beliau juga disingkirkan dari MCA dan kemudian bersama para penyokongnya memasuki Gerakan.
Perpecahan dalam kalangan ahli MCA telah melemahkan parti ini ketika BN mula hendak beroperasi. Tambahan pula, tindakan disiplin ke atas ‘tenaga-tenaga muda’ ini mengakibatkan ramai ahli MCA keluar dari parti tersebut dan menyertai Gerakan yang merupakan pesaing MCA.
Gerakan banyak membuat cabaran terbuka terhadap kesahihan kepimpinan MCA. Malah, MCA terpaksa membuat keputusan, iaitu sama ada menolak konsep BN, keluar dari kerajaan, menolak struktur kerjasama BN atau menyertai BN dan bersekongkol dengan parti-parti lain.
Ketidaktentuan ini wujud kerana Presiden MCA ketika itu, Tan Siew Sin telah mengundur diri pada April 1974 kerana sakit setelah menjalani pembedahan paru-paru. Presiden MCA yang baharu, Datuk Lee San Choon mengambil masa untuk membuat keputusan. Akhirnya beliau membuat keputusan MCA menyertai kerajaan baharu BN.
KEBERANIAN BUAT POLITIK BAHARU – POLITIK PERPADUAN
Dalam tempoh pemerintahan Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, pelbagai cabaran dan halangan dihadapi. Pentadbiran, ekonomi dan politik serta sosial antara masalah utamanya.
Oleh itu, Abdul Razak mengambil inisiatif untuk cuba menyatukan kesemua parti politik melibatkan pembangkang bagi mewujudkan satu pemerintahan sahaja. Ini sekali gus mengurangkan kegiatan politik, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan negara.
Dalam ucapan pada 1971, beliau menyebut, “13 tahun semenjak merdeka (1957) jika diibaratkan sebuah rumah, kita telah mendirikan rangka, tiang, atap dan lantai. Sekarang kita mestilah mengadakan dinding dan perkakas-perkakas yang lain supaya rumah itu dapat menurut bentuk dan rupa yang kita benar-benar kehendaki.”
Abdul Razak telah menggabungkan sembilan parti politik ini di bawah bendera ‘dacing’, iaitu simbol BN. Tindakan beliau yang lebih bersifat toleransi dengan beberapa parti politik yang saling bertentangan dan berbilang kaum dapat mewujudkan satu muafakat tinggi ketahanan nasionalnya.
Tindakan Abdul Razak ini membuka jalan kepada penyertaan bersama atas satu platform dalam PRU 1974 pada 24 Ogos.
Kejayaan besar diraih oleh BN yang didaftarkan secara rasmi pada Jun 1974 apabila memperoleh 135 kerusi. Jumlah kerusi itu merupakan 87.7 peratus daripada 154 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Dan sekali gus membuktikan – undi untuk perpaduan lebih penting daripada undi untuk pembangkang. – UTUSAN
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.