Tiba masanya MCA bergerak solo

Tiba masanya MCA bergerak solo

KEPEMIMPINAN MCA perlu menunjukkan keikhlasan sebagai wakil rakyat dan sedia berkhidmat untuk semua kaum secara amanah dan saksama. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARISAN Nasional (BN)-UMNO mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini. UMNO hanya berjaya memungut 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Keputusan PRN yang lembab ini membuatkan BN terperangkap dalam keadaan kucar-kacir.

MCA dan MIC mungkin lega kerana mereka tidak bertanding dalam PRN kali ini. Namun, tiada apa-apa boleh digembirakan oleh kedua-dua parti itu kerana perkembangan politik tanah air semakin menyukarkan masa depan BN.

MCA ditubuhkan pada 24 Februari 1949. Selepas Perang Dunia Kedua, pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock merasakan adalah wajar kaum Cina menggembleng tenaga dengan kaum-kaum lain di Tanah Melayu bagi memperjuangkan kemerdekaan negara daripada penjajah.

Memuatkan artikel berkaitan…

MCA memperoleh sokongan agak besar daripada masyarakat Cina pada awal kemerdekaan dan sepanjang 1960-an dalam pilihan raya umum (PRU). Akan tetapi mulai penghujung 1950-an dan masuk 1960-an, gerakan politik sayap kiri dalam masyarakat Cina, iaitu Parti Buruh semakin menonjol dan berpengaruh. Populariti MCA semakin dicabar oleh kuasa politik yag mengutamakan hak dan kepentingan golongan pekerja dan kelas bawahan.

MCA menemui kekalahan pedih pada 1969. Pada tahun itu, MCA bertanding 33 kerusi Parlimen tetapi hanya berjaya mengutip 13. Disebabkan Parti Buruh memboikot PRU 1969, kuasa politik sayap kiri bertukar haluan memihak kepada DAP. Akhirnya, DAP meraih kemenangan di 13 kerusi Parlimen, muncul sebagai parti pembangkang terkemuka.

Mengikut tinjauan, 1969 merupakan titik perubahan dalam sejarah perjuangan MCA. Sejak itu, DAP merupakan musuh politik MCA paling utama. Calon-calon DAP sering kali menumpaskan wakil-wakil MCA di kerusi-kerusi di bandar dalam PRU lepas-lepas. Walaupun MCA kebanyakan masa mengekalkan kedudukannya sebagai parti komponen BN, namun pengaruhnya makin terhakis.

Pada umumnya, pengundi Cina baik di bandar mahupun di luar bandar makin hari makin menolak MCA. Kononnya MCA terlalu lemah dan tidak berupaya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum Cina. MCA juga kerap kali didakwa mengorbankan kepentingan kaum demi kepentingan peribadi.

Pada 1 Januari 1973, gagasan BN ditubuhkan sebagai pengganti kepada parti Perikatan. Empat parti pembangkang termasuk Gerakan dan Pas berjaya dipujuk menganggotai BN. Sejak itu, suara MCA semakin meluncur turun dalam Kerajaan Persekutuan.

Walaupun selepas 1970-an, MCA pernah acap kali diperuntukkan sejumlah kerusi kawasan pengundi campuran, namun kemenangan tidak berpanjangan. Sesungguhnya tanpa memperoleh sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pengundi Cina, mustahil MCA boleh menang semata-mata bergantung kepada undi bukan Melayu.

Masuk milenium baharu, pengaruh dan penerimaan MCA dalam kalangan pengundi Cina semakin merosot berikutan perubahan landskap politik tanah air.

LANGKAH SHERATON

Pada 2008, MCA bertanding 40 kerusi Parlimen tetapi hanya berjaya menang 15. Dalam PRU 2013, MCA hanya menang tujuh daripada pertarungan 37 kerusi Parlimen. Keputusan paling teruk berlaku pada 2018, yakni MCA cuma meraih satu daripada 39 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Pada 2018, BN hilang tampuk pemerintahan dalam Kerajaan Persekutuan buat kali pertama semenjak kemerdekaan negara. MCA turut hilang semua jawatan menterinya dalam Kabinet.

Selepas berlaku peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. MCA diserap sebagai anggota kerajaan gagasan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas. Walaupun MCA ditawarkan beberapa jawatan Kabinet yang kurang penting, namun perkongsian kuasa itu tidak kekal lama. Pengaruh parti itu dalam kerajaan campuran juga amat kecil.

Dalam PRU 2022, sekali lagi BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH). Kali ini, UMNO masih memegang 26 kerusi Parlimen. MCA pula hanya tinggal dua kerusi Parlimen. Maka, apabila BN dijemput membentuk kerajaan perpaduan, MCA kelihatan gagal memiliki kuasa tawar-menawar secukupnya.

Selepas PRN 2023, sudah tiba masanya MCA mempertimbangkan secara masak-masak masa depan mereka. MCA perlu sedar bahawa DAP merupakan musuh tradisi mereka dalam politik sejak 1960-an. Hakikat ini tidak akan berubah walaupun DAP kini sudah menjadi pemerintah manakala MCA berada di tempat pembangkang. DAP tidak mungkin bersimpati dengan MCA dan mengagihkan apa-apa kerusi agar boleh terus hidup.

Kedudukan MCA sekarang dalam kerajaan perpaduan sebenarnya sangat janggal. MCA bukan parti pembangkang sebenar dan juga tidak diterima sebagai anggota Kerajaan Persekutuan secara sahih.

Demi meneruskan perjuangan dan kesejahteraan demokrasi, MCA seharusnya meninggalkan BN dengan berani. Parti itu tidak boleh lagi bergantung sama sekali kepada UMNO untuk kelangsungan politik. Oleh demikian, apakah yang masih ditunggu lagi oleh MCA?

Sebagai jalan keluar, MCA patut bertarung solo agar memiliki kebebasan bertanding di mana-mana kerusi DUN mahupun Parlimen. Jika MCA bersendirian, mereka juga bebas bersuara untuk membela nasib para pengundi yang diwakili mereka.

Memandangkan kaum Cina masih besar komposisi dalam penduduk Malaysia, terdapat 44 daripada 220 kerusi Parlimen di mana pengundi Cina menjadi dominan. Oleh itu, selagi parti-parti Melayu seperti UMNO, Bersatu dan Pas masih tidak berupaya menunjukkan pengaruh yang menyerlah di kawasan-kawasan bukan Melayu, maka ruang berpolitik masih terbuka luas kepada MCA.

Natijahnya, MCA perlu melupakan segala kegemilangan dan beban politik diwarisi mereka dari generasi dahulu. Jangan asyik mengejar darjat dan pangkat semata-mata. Tunjukkanlah keikhlasan sebagai wakil rakyat dan sedia berkhidmat untuk semua kaum secara amanah dan saksama. Jadilah pemimpin yang diharapkan oleh rakyat bak kata pepatah, condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan. – UTUSAN

PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini