Tangani kemerosotan kemasukan aliran sains - Utusan Malaysia

Tangani kemerosotan kemasukan aliran sains

Pelajar-pelajar cemerlang SPM 2022 bergambar sambil menunjukkan sijil kecemerlangan mereka pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Negeri Kedah di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Jun lalu - MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berdepan dengan kekurangan jurutera dan saintis yang kritikal. Menurut Majlis Kebangsaan Bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB), bagi mencapai negara berteknologi tinggi dan maju, kita memerlukan kira-kira 500,000 saintis dan jurutera pada 2020. Namun, jumlah jurutera berdaftar sekarang hanya sekitar 70,000 atau 17 peratus.
Bagi meningkatkan bilangan jurutera dan saintis negara, perkara utama yang diperlukan mestilah mempunyai sumber manusia terdidik di dalam aliran sains. Malangnya, hari ini kita berdepan dengan kemerosotan enrolmen murid aliran sains di Tingkatan Empat yang semakin membimbangkan.
Pada 29 Mei 2020, Pengerusi National STEM Movement, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris, melaporkan hanya 19 peratus daripada kira-kira 447,000 calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memasuki aliran sains apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat.
Kata beliau, disebabkan kemerosotan ini, dibimbangi banyak kuota pengajian membabitkan bidang STEM di universiti tidak dapat dipenuhi kerana kurangnya calon aliran sains dan menyebabkan negara tidak mampu menghasilkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi.
Malah lebih membimbangkan apabila Utusan Malaysia melaporkan pada 4 September lalu, bilangan murid yang memasuki aliran sains merosot lagi kepada 15.2 peratus atau 62,250 sahaja daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat bagi sesi 2023/2024. Selain itu, data analisis keputusan SPM 2022 juga mengesahkan hampir 90,000 calon SPM dalam aliran sains gagal di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan. Tentunya ini memberikan kesan besar bagi menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik tempatan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.
Sebenarnya, usaha untuk meningkatkan bilangan murid aliran sains telah lama dilakukan. Paling awal, 10 tahun selepas merdeka. Kerajaan ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Peranchangan Pelajaran Tinggi yang mencadangkan supaya negara menyasarkan kadar peratusan pelajar aliran Sains berbanding Sastera dengan nisbah 60:40.
Cadangan ini diterima Kabinet dan sejak 1967, dasar 60:40 dijadikan asas kepada perancangan dalam meningkatkan bilangan murid aliran sains. Malah dasar 60:40 ini juga menjadi antara intipati utama di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Bagi langkah segera untuk meningkatkan bilangan murid aliran sains, antara 1971 hingga 1973, kerajaan membina 10 Sekolah Menengah Sains Berasrama Penuh dan juga Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara. Kerajaan juga memperkenalkan peruntukan tambahan kepada sekolah berdasarkan bilangan murid di dalam aliran sains.
Menurut kajian pasukan penyelidik dari Fakulti Pendidikan UTM yang diketuai oleh Profesor Fatin Aliah Phang, data enrolmen murid dalam aliran sains antara 1981 hingga 2010 menunjukkan peratusan yang lebih tinggi. Misalnya pada 2005, kadar murid di dalam aliran Sains ialah 31.22 peratus dan kekal pada kadar di atas 30 peratus sehingga 2010. Ironinya, sebaik sahaja Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dilancarkan pada 2013, dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah dimulakan pada 2012, trend penurunan kadar murid aliran sains bermula sehingga merosot teruk pada tahun ini pada kadar serendah 15.2 peratus.
Persoalannya, apakah PPPM 2013-2025 dan juga pelaksanaan KSSR dan KSSM gagal memberi impak positif dalam isu ini sehingga kadar murid di dalam aliran sains merosot ke tahap jauh lebih rendah berbanding era pelaksanaan kurikulum KBSR dan KBSM sebelumnya?
Sedangkan pada Februari 2012, KPM menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud.
Jawatankuasa ini menyenaraikan 61 perakuan untuk meningkatkan enrolmen murid di dalam aliran sains di sekolah menengah. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan komitmen bahawa KPM akan segera melaksanakan 15 perakuan yang disenaraikan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah.
Antaranya, menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran sains tulen daripada empat waktu kepada lima waktu seminggu.
Turut dimuatkan dalam perakuan itu adalah meningkatkan kadar Biasiswa Kecil Persekutuan murid sains Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima daripada RM70 kepada RM200 sebulan, manakala Biasiswa Kelas Persediaan Universiti bagi murid Tingkatan Enam juga dinaikkan daripada RM110 sebulan kepada RM300.
Kajian Akademi Sains Malaysia menunjukkan antara punca murid hilang minat dalam Matematik dan Sains kerana tidak nampak pelbagai kerjaya dalam bidang itu. Mereka hanya nampak jurutera dan doktor.
KPM mempunyai tanggungjawab besar untuk menyelesaikan isu kemerosotan murid dalam aliran sains. Strategi yang lebih berkesan perlu dilaksanakan. Perubahan kepada silibus Sains dan Matematik mesti dilakukan. Pedagogi, fasiliti makmal dan bilik Sains mesti dipertingkatkan. Program pendedahan peluang kerjaya dalam bidang sains dan matematik perlu dipertingkatkan di sekolah.
Pada saya, semua usaha ini mestilah bermula dengan pendekatan pembelajaran dan silibus yang menyeronokkan dalam subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah. Biarlah silibus yang dilaksanakan di sekolah rendah lebih bermatlamat untuk meningkatkan keinginan, minat serta motivasi murid untuk belajar Sains dan Matematik.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UKM dan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya