Sistem pendidikan kita umpama penjara?

Sistem pendidikan kita umpama penjara?

PROSES pembelajaran seharusnya menyeronokkan, kreatif, bebas daripada tekanan birokrasi melampau dan berkualiti. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURU cemerlang membentuk murid dan insan cemerlang. Tidak ada lain yang perlu diutamakan dalam pendidikan selain untuk membentuk insan seimbang berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dirumuskan pada 1988 dan dinyatakan secara jelas dalam Akta Pendidikan Kebangsaan 1996.

Apa yang menarik dengan FPK ialah ia menekankan aspek keseimbangan insan dari segi kerohanian, intelek, emosi dan jasmani. Penekanan nilai ini seiring pandangan pelbagai pendidik dunia termasuk ilmuwan Islam bahawa insan seimbang adalah terdidik ilmu di hati, adab dan amalnya.

Persoalan di sini, adakah pendidikan kita seimbang atau selalunya dicorakkan oleh pelbagai faktor luaran mahupun dalaman yang tidak berkaitan? Atau jika kita teliti lebih lanjut, adakah konsep dan proses pendidikan kita benar-benar untuk menghasilkan insan seimbang atau sebenarnya membentuk satu keadaan persaingan yang tidak berkesudahan sama ada di peringkat individu mahupun institusi pendidikan sendiri?

Malaysia dari awal penubuhannya tidak boleh berada di atas paksi ketidakseimbangan. Ini dapat dilihat dari konteks pembangunan ekonomi, sosial, mahupun keagamaan. Negara ini tidak boleh mengamalkan konsep total kapitalisme atau sosialisme. Begitu juga tidak boleh menjadi negara liberal, mahupun plural. Malaysia adalah negara yang mempunyai agama, iaitu Islam dan ketetapan ini melindungi kebajikan setiap penduduknya termasuk bukan Islam.

Justeru, konsep negara Islam yang cenderung kepada liberalisme mahupun tradisionalisme sememangnya tidak sesuai bagi pola sosial dan pembangunan negara. Negara ini mengamalkan nilai agama Islam yang sederhana dan seimbang bagi memelihara hak-hak setiap insan di dalamnya.

Justeru, proses pendidikan negara juga seharusnya mencerminkan keperluan ini. Pendidikan negara sepatutnya mementingkan unsur-unsur keseimbangan menerusi pembangunan sosial dan keinsanan yang jelas.

Proses pembelajaran seharusnya menyeronokkan, kreatif, bebas daripada tekanan birokrasi melampau dan berkualiti. Pendidikan seharusnya menyatukan dan membina minda pelajar untuk bekerjasama serta hidup bersama. Kata kunci pendidikan seharusnya berbentuk belajar untuk mengetahui, belajar untuk menjadi sesuatu dan belajar untuk tinggal bersama.

Persoalannya, bagaimana seseorang boleh mencapai keseimbangan ini jika proses pendidikan itu seperti penjara dan tidak memberi ruang kepada eksplorasi nilai, minat mahupun pembinaan sikap dan adab?

Ada mengatakan pendidikan seharusnya berubah untuk menjadikan ia terus relevan. Jika pendidikan tidak melalui fasa perubahan, maka kita akan ketinggalan.

Dalam aspek ini, kita tidak secara serius menjelaskan apa perkara perlu berubah dan perlu kekal. Lebih malang lagi apabila keutamaan keinsanan dan adab yang perlu kekal dilihat sebagai perkara remeh dan boleh diajar oleh sesiapa sahaja. Maksudnya, pendidikan untuk menjadi insan dilihat sebagai proses biasa dan kurang penting.

DILEMA

Mungkin ada yang menyangkal perkara ini, namun ini adalah hakikat pahit perlu ditelan. Ambil sahaja contoh pelajar yang mempunyai sahsiah dan budi pekerti terpuji, namun kurang dalam pencapaian akademik dibandingkan pelajar yang kurang pekertinya walau bukan lagi dikira sebagai bermasalah tetapi cemerlang dalam pendidikan. Siapa yang akan dikira berjaya dalam sistem pendidikan kita?

Begitu juga guru di sekolah dan pensyarah di universiti. Lihat sahaja bagaimana sistem penilaian guru atau pensyarah tersebut. Aspek nilai adalah aspek terakhir yang akan digunakan dalam memberi kredit pendidik cemerlang. Apa yang utama adalah hasil, pencapaian indikator kecemerlangan dan bukan bagaimana hasil itu dicapai.

Ibu bapa pula sentiasa dalam dilema sama ada untuk terus berusaha mengejar kejayaan anak-anak di dalam sistem yang serba tidak seimbang ini atau mengalah dan mula beralih kepada isu-isu fundamental lain seperti sistem kuota dan biasiswa. Kesudahannya, nilai dan budi pekerti masih diabaikan dalam arus perdana.

Meninggalkan kepentingan nilai dan budi pekerti dalam pendidikan adalah sama seperti meninggalkan fitrah keinsanan. Jika ditelusuri kisah dan sejarah para rasul, apa didakwahkan mereka ialah ilmu serta keimanan dan diikat pula dengan akhlak murni dan amal soleh berterusan. Ini syarat utama untuk seorang hamba bertemu dengan Penciptanya dalam keadaan yang baik. Justeru, membina nilai dan akhlak adalah tugas para rasul.

Di mana silapnya apabila membentuk nilai dan budi pekerti dilihat sebagai kerja khusus sekelompok guru di sekolah dan bukan menjadi tugasan bersama? Lebih memburukkan keadaan apabila pengiktirafan guru cemerlang lebih dilihat dari aspek pencapaian sesuatu tugasan dan bukan budi pekerti mulia guru dalam mencapai kejayaan tersebut.

Mungkin boleh cuba cermati kesukaran untuk mendidik anak-anak kita bertutur dengan berakhlak, melakukan pelbagai amal soleh dan berbudi pekerti mulia. Proses ini mengambil masa sangat panjang dan berlaku sepanjang hayat. Bandingkan ia dengan perubahan sikap anak-anak mereka. Ia berlaku sangat pantas dan di luar kawalan kita.

Nilai dan budi pekerti adalah seumpama emas dan permata yang sangat sukar dihasilkan tetapi sangat mudah untuk dikorbankan. Justeru, bagaimana kita mahu menjawab FPK jika nilai dan budi pekerti sentiasa boleh digantikan dengan keutamaan lain dalam pendidikan? Di mana silapnya pendidikan kita sehingga semua perkara diukur dari aspek pencapaian akademik, sukan dan persatuan, manakala pencapaian akhlak dan budi pekerti adalah kualiti sampingan dan bukan keutamaan?

Justeru, bagaimana para pelajar kita mampu mengurus diri dan emosi dalam mengharungi tekanan kehidupan yang VUCA (kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran)? Adakah pencapaian pendidikan hanya meliputi aspek jasmani dan intelek?

Semua persoalan ini perlu dijawab dan tiada jalan pintas bagi pendidikan akhlak dan budi pekerti selain mereka melihat dan mencontohi perilaku mulia. Ini seharusnya bermula di rumah dan juga di sekolah menerusi peranan ibu bapa dan juga guru yang mulia. Rasullullah SAW bersabda, “Siapa yang melakukan satu sunnah hasanawh (perbuatan baik) dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengamalkan sunnah tersebut setelahnya tanpa mengurangi pahala-pahala mereka sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim) – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mahazan Abdul Mutalib ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Komunikasi Korporat), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×