APA itu manusia? Soalan tersebut mungkin kedengarannya remeh dan beretorik, namun perkara ini penting bagi menolong menghayati tujuan hidup kita selaku seorang manusia. Menurut takrifan Kamus Dewan Perdana, manusia ialah makhluk yang mempunyai jasad, roh dan akal fikiran.
Namun, apakah maksudnya untuk menjadi seorang manusia? Takkanlah sekadar memenuhi syarat sebagai tubuh yang mempunyai roh dan berakal fikiran, sudah lengkap tujuan hidup kita selaku manusia?
Sekiranya kita melihat kepada sejarah kemasyarakatan, kehidupan manusia di mana jua pun akan mempunyai satu ciri yang sama, iaitu kepentingan kebersamaan atau saling bergantung antara satu sama lain.
Hal ini membawa kita kepada keperluan persefahaman di antara satu sama lain agar dapat bantu-membantu sesama kita. Senang kata, dalam hidup ini setiap daripada kita sentiasa bergantung kepada kehidupan yang lain demi meneruskan kelangsungan hidup.
Maka sebagai manusia, kita harus mampu bertolak ansur, saling memahami serta ada rasa belas kasihan kepada insan lain. Kita tahu orang lain memerlukan kita seperti mana kita memerlukan mereka.
Inilah ekosistem yang sepatutnya ada dalam kehidupan manusia dan seterusnya untuk menyuburkan lagi sifat manusiawi dalam jiwa setiap daripada kita agar kehidupan semua lebih aman dan sejahtera – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Baru-baru ini, saya terlibat sama dalam mesyuarat di antara Pusat Sejahtera Untuk Kemampanan dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan wakil-wakil daripada golongan orang kurang upaya (OKU).
Pengalaman baharu ini membuka mata saya untuk melihat banyak perkara dalam perspektif berbeza. Mesyuarat tersebut diadakan bagi tujuan memahami masalah serta mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan mereka dapat hidup selesa dalam masyarakat tanpa tekanan dan rasa rendah diri.
Apa yang menarik perhatian saya adalah mendengar perspektif mereka tentang perkara yang kita semua tempuhi setiap hari. Perkara yang mungkin biasa dan mudah bagi kita tidak semestinya mudah bagi mereka.
Apatah lagi jika masyarakat tidak memahami, meraikan atau mengabaikan keperluan mereka yang berbeza berbanding kita. Hal ini termasuk keperluan infrastruktur khas serta cara mengatasi masalah lain seperti pergerakan terbatas dalam dunia serba pantas, masalah mengatasi kehidupan dalam masyarakat dan sebagainya.
Antara kesukaran yang dihadapi rakan-rakan OKU dalam menimba ilmu adalah apabila tenaga pengajar tidak dapat menyesuaikan pengajian bagi melengkapi keperluan mereka. Pada peringkat awal, apabila menghadapi masalah di sekolah, biasanya mereka akan dihantar ke sekolah pendidikan khas.
Walaupun sekolah-sekolah tersebut direka khas bagi membantu golongan OKU ini untuk belajar, keadaan begini menjadikan mereka lebih terasing daripada masyarakat luar. Akibatnya, ia menyukarkan sebilangan daripada mereka untuk menyesuaikan diri dalam kehidupan di luar lingkungan sekolah tersebut.
TONGKAT
Masalahnya menjadi lebih ketara dalam kes kecacatan terselindung, contohnya kelainan upaya mental yang adakalanya sukar untuk dikesan oleh orang awam.
Antara perkara amat menyentuh hati saya ketika mesyuarat tersebut ialah kata-kata seorang pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) yang mengalami autisme sederhana. Katanya, dia pernah bertanya kepada seorang rakan, “Apa maksud merdeka?”
Selepas dijelaskan ia bermaksud bebas untuk membuat apa sahaja tanpa cengkaman, dia berfikir lalu menyifatkan walaupun negara sudah dikira merdeka sejak 66 tahun dahulu, namun OKU tidak boleh hidup ‘merdeka’ kerana keadaan mereka yang terbatas.
Ketika itu saya terkenang pesan arwah ayah supaya menghargai setiap insan kerana kita semuanya sama. Masing-masing mempunyai kelebihan serta kekurangan.
Sejak kecil, setiap kali berjumpa mereka yang kelainan upaya, ayah mengingatkan saya bahawa sepertimana kita memerlukan bantuan orang lain dalam hal-hal yang tidak mampu kita tangani, mereka juga perlukan bantuan kita dalam perkara yang tidak terdaya mereka lakukan.
Pemahaman tentang perbezaan dalam keupayaan manusia harus ada dalam diri kita semua. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memupuk kesedaran dan menyemaikan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak mereka sejak awal.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal-hal sebegini harus diambil berat agar kita dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai sifat-sifat manusiawi. Sedarlah, sehebat mana jua diri kita, takkan mampu hidup sendiri tanpa pertolongan orang lain.
Terpaksa menggunakan tongkat lebih sebulan awal semester lepas menyedarkan saya akan cabaran dilalui sebahagian daripada kita. Jalan yang dekat terasa jauh, apalagi apabila terlepas bas dan terpaksa berjalan balik ke asrama lebih sekilometer di atas bukit jauhnya.
Menaiki tangga juga tidak mudah dan keadaan lebih mencabar memandangkan bilik asrama saya berada di tingkat empat. Budi baik sahabat-sahabat yang bermurah hati menolong setiap hari sukar untuk dibalas.
Banyak telah dilakukan oleh kerajaan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur bagi OKU walaupun masih banyak perlu diusahakan. Namun begitu, adakalanya kita tidak tahu bagaimana cara betul untuk menolong ketika mereka menghadapi masalah.
Persoalan sebegini menjadi lebih sukar terutama jika mereka mempunyai keresahan sosial dan sukar untuk berinteraksi dengan orang lain.
Oleh itu, kita mesti berusaha memahami keperluan seluruh masyarakat dan tidak meminggirkan sesiapa pun. Pemahaman asas adalah penting agar anggota masyarakat dapat membantu mereka hidup selesa dan tidak berasa tersisih.
Kita semua mempunyai hak dan keperluan masing-masing. Janganlah mengehadkan pembinaan kemudahan hanya kepada apa yang kita perlukan, tetapi bertimbang rasalah terhadap orang lain yang juga memerlukan sokongan serupa. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











