SEBAIK sahaja rencana yang menceritakan pengalaman saya dalam sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa diterbitkan dalam ruangan ini, dua minggu lalu, ramai rakan mencadangkan saya menulis tentang prestasi sukan dalam negara yang semakin merosot di sebalik penglibatan ahli politik. Hakikatnya, penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan bukanlah perkara baharu dan berlaku di banyak negara, seperti satu budaya.
Namun, penting untuk diberi perhatian bagaimana penglibatan tersebut dapat mempengaruhi dunia sukan dan kepentingan atlet serta pasukan. Setiap individu yang mengambil alih jawatan penting dalam persatuan sukan terutama ahli politik harus berpegang pada prinsip-prinsip integriti, ketelusan dan fokus ke arah pembangunan sukan sebenar.
TANGGUNGJAWAB
Ahli politik yang terlibat dalam persatuan sukan perlu mengutamakan kepentingan sukan dan atlet melebihi kepentingan politik dan diri sendiri. Mereka seharusnya memiliki kefahaman mendalam tentang keperluan dan aspirasi dunia sukan.
Menjadi kerisauan kita melihat orang politik tidak mampu memberi tumpuan kepada pembangunan atau memahami dinamika sukan tersebut. Sekiranya terdapat penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan, penting untuk memastikan urusan politik dan sukan dipisahkan. Ini bagi memastikan keputusan dan aktiviti sukan tidak terjejas oleh pertimbangan politik.
SESUAIKAH AHLI POLITIK?
Perkara ini memerlukan penilaian teliti. Terdapat hujah yang pro dan kontra perlu kita fahami. Cukup penting untuk kita fahami, orang politik memiliki akses kepada sumber kewangan lebih besar dan dapat memberikan sokongan yang penting kepada persatuan sukan. Ia penting dalam membantu pembangunan infrastruktur, persiapan atlet dan penyelenggaraan acara.
Orang politik mempunyai jaringan luas yang dapat membantu persatuan sukan memperoleh sokongan, tajaan dan kerjasama dengan pihak lain termasuk kerajaan dan badan lain.
Penglibatan mereka mungkin dapat meningkatkan sokongan politik dan negara secara keseluruhan. Ini boleh membawa kepada lebih banyak sumber dan perhatian untuk pembangunan sukan.
Namun, penglibatan mereka juga boleh membawa risiko campur tangan politik yang mungkin mempengaruhi keputusan dan pengurusan persatuan. Ini boleh menggugat integriti dan objektiviti pentadbiran sukan. Mereka mungkin sibuk dan mempunyai banyak tanggungjawab dalam bidang politik atau kerajaan yang boleh mengganggu pengurusan harian dan perkembangan jangka panjang persatuan sukan. Jika ahli politik dipertimbangkan untuk jawatan dalam persatuan sukan, banyak langkah perlu diambil bagi memastikan integriti, ketelusan dan fokus ke arah pembangunan sukan yang sebenar.
CIRI PENTING
Kepimpinan yang bebas daripada pengaruh politik pasti lebih cenderung menjaga integriti dan ketelusan dalam pentadbiran sukan. Ini dapat membina kepercayaan dalam kalangan peminat sukan dan penggiat sukan yang menginginkan persekitaran bersih daripada politik.
Sukan memerlukan sokongan kewangan yang konsisten dan berterusan untuk memastikan latihan, persiapan dan penyertaan dalam pertandingan antarabangsa berjalan lancar. Dengan kepimpinan yang tidak terlibat dalam politik, sumber dan dana sukan akan diurus dengan lebih cermat tanpa dikaitkan dengan pertimbangan politik.
Pemimpin sukan sepatutnya dipilih berdasarkan kecekapan, pengalaman dan dedikasi mereka kepada sukan, bukannya kaitan politik atau pengaruh. Ini akan memastikan individu terbaik dipilih untuk membawa sukan ke tahap lebih tinggi, mengukuhkan semangat atlet untuk mencapai kejayaan. Penumpuan pada prestasi sukan berpotensi membantu meningkatkan imej dan jati diri negara di peringkat antarabangsa. Kepimpinan yang bebas daripada politik akan memberi keutamaan kepada pencapaian atlet dan pasukan, membantu menjadikan sukan negara lebih berdaya saing di persada dunia.
SEGERA DISELAMATKAN
Kita mengalami masalah pembaziran bakat sukan negara yang kritikal kerana politik. Kerajaan perlu memberikan komitmen penuh untuk menyelamatkan industri sukan negara. Beberapa perkara perlu diambil kira untuk memastikan komitmen tersebut dijalankan.
Kerajaan perlu membangunkan dasar sukan komprehensif yang memberikan panduan dan pandangan jangka panjang untuk pembangunan sukan di negara ini. Dasar ini harus menekankan kepentingan kepemimpinan berkualiti, integriti, pembangunan atlet dan infrastruktur sukan yang baik. Menjalankan dasar yang memisahkan sukan daripada politik adalah kunci bagi memberi ruang kepada atlet dan pasukan untuk berkembang tanpa halangan politik.
PENJENAMAAN SUKAN
Dengan mengiktiraf sukan sebagai komponen utama dalam budaya dan identiti negara, ini boleh membantu memfokuskan perhatian dan sokongan kepada perkembangan sukan dan atlet.
Kolaborasi dengan sektor swasta dan institusi pendidikan adalah amat penting demi pembangunan sukan negara.
Kementerian Belia dan Sukan perlu membuat penilaian dan pemantauan berterusan terhadap kesan dan prestasi program pembangunan sukan. Ini akan membantu mengukur keberkesanan pelaksanaan dasar dan memastikan sasaran dicapai. Rakyat juga perlu digalakkan untuk terlibat sama memberikan sokongan dan sumbangan kepada pembangunan sukan sama ada dalam bentuk penyertaan, sukarelawan atau sumbangan kewangan.
Penting untuk memahami bahawa pembangunan sukan yang berjaya melibatkan pelbagai faktor termasuk komitmen kerajaan, persatuan sukan, masyarakat dan atlet itu sendiri.
Menggalakkan sokongan dan kesedaran mengenai kepentingan sukan dalam masyarakat adalah langkah penting dalam membina industri sukan yang berkembang dan berjaya. Majulah sukan untuk negaraku, Malaysia! – UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










