KEBELAKANGAN ini perkataan ‘akal budi’ sering menjadi sebutan di bibir ramai, kalau tidak pun dalam laporan berita dan dada akhbar. Apatah lagi sedutan daripada pembicaraan di mahkamah sejak hampir empat tahun lalu, ekoran penghujahan kes rasuah besar-besaran melibatkan dakwaan penyalahgunaan wang berjuta-juta ringgit.
Puluhan saksi dipanggil dan disoal sehingga terdapat bukti yang sabit kesalahan (prima facie) mengikut pihak berkuasa mahkamah terlibat. Akal budi seolah-olah tragedi versi 2.0 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkesudahan dengan hukuman penjara serta denda, sekali gus menconteng sejarah politik terburuk bagi negara tercinta.
Ramai menelah kes ‘akal budi’ akan mengalami nasib serupa! Keluh kesah mula menimpa. Gelagat pelbagai rupa timbul sepanjang pergolakan menangkis tuduhan yang memalukan. Tidak berakal, apatah lagi berbudi.
Gembar-gembur kes berkenaan menunjukkan kefahaman ‘akal budi’ terjerat dengan hal-hal kebendaan serta kekayaan duniawi! Kaitannya dengan sebuah yayasan ‘amal’ kononnya, memberi gambaran ‘akal budi’ boleh dijual beli, setidak-tidaknya menjadi pelincir dalam membuahkan ‘amal’ yang dikatakan.
Mungkin betul tetapi mengapa perlu diselar dengan segala macam tohmahan. Di sinilah penyelewengan dikatakan berlaku berulang-ulang kali. Dan jelas terbukti sedemikian. Apa yang nyata, makna ‘akal budi’ turut diselewengkan terang-terangan sehingga tidak lagi masuk akal, jangan kiralah soal kehalusan budi.
Dua patah perkataan begitu indah melambangkan kepintaran serta kesopanan budaya bangsa dicela oleh segelintir manusia yang rakus. Anehnya tetap mengakui sebagai ‘wira’ anak bangsa, mendabik dada melalui pertubuhan dan parti seadanya.
Ternyata mereka ini hanya memutar belit tanpa mendalami akal mahupun budi. Segalanya ‘diyayasankan’ untuk mengaburi mata ramai dalam rangka memperkasakan keegoan diri. Cara menghalalkan matlamat, pertiwi menghalalkan diri. Semua boleh diperjudikan tatkala tersepit untuk melepaskan derita diri. Semua menjadi halal termasuk memalsukan janji-janji, memungkiri kata-kata, meluhurkan langkah dusta dengan pusingan U, menzalimi yang berani bangkit bersuara.
Ada juga yang kerjaya ditamatkan atas pelbagai helah, pelantikan itu dan ini dilakukan membuat akal terpenjara dan budi ternoda menjadi bahan ketawa dalam sengketa. Yang terbabit anak muda tidak berada, tidak berdosa. Mengapa celaka? Mereka tertanya-tanya.
Tiba masanya akal budi kembali bertenaga, membawa semula keramat makna. Mengikut pustaka lama ia mencakupi budaya kemajuan berfikir, gaya pemikiran tahap tinggi. Sedangkan dalam bahasa Indonesia akal budi bererti fikiran sihat.Berperanan juga menghasilkan masa hadapan untuk menangani perubahan akan datang.
SEPANDUK
Maka bangkitlah anak muda dan rakyat jelata dengan sepanduk menuntut kewajaran yang terlibat didakwa! Tiada hentinya. Akal budi bukan pemacu benda, bukan pelincir dosa. Sebaliknya memegang amanah, membina jiwa, menegak agama membela nusa. Usah diperdagangkan kerana fitrahnya menuntut asas budi sebagai seorang budiman yang jati.
Tahu malu menjaga maruah dan adab. Tidak celupar dan angkuh menegak benang basah. Tidak pandai bermuka-muka. Tidak lidah bercabang dua. Tidak mata rabun buta!
Maka perjuangkanlah hak asasi akal budi untuk rakyat jelata jika ingin membawa tamadun tertinggi dalam fikiran jati suci. Bukan dijadikan permaidani lapik kaki perompak sakti – kalis budi pekerti. Perjuangkan atas nama manusiawi yang juga luhur hati budi – tampanan berani pasangan kembar akal budi sehidup semati!
Paling utama dalam menghidupkan pengadilan abadi. Tidak langsung menzalimi kerana budi bicara di hati masih berdenyut nama Ilahi, tiada henti. Lantas ada yang rasa musykil melalui puisi yang terkini berbunyi:
Mengapa begini yang terjadi? Kita hari-hari bercakap basmi korupsi.
Kita berdiri di tahap moral yang tinggi, Bebas dari rasuah.
Tegakkan integriti. Kita melaungkan slogan reformasi.
Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?
Prima facie telah terbukti. Tiba-tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan. DNAA dihadiahkan.
Keputusan dilepas tanpa bebas diberi begitu mudah saja.
Begitu santai kelihatannya,
Lalu aku bertanya, di manakah kedaulatan undang-undang yang ada?
Penukil puisi ini yang merupakan veteran politikus dukungan kerajaan turut mencatatkan, “Tiada hari yang aku berasa sedih seperti hari ini.” Tambahnya, “Terasa kosong dan sia-sia belaka, perjuangan yang aku anggap mulia selama ini.”
Kekosongan inilah amat dirasai oleh semua lapisan yang menuntut diisikan kembali secepat mungkin. Khususnya kekosongan hati nurani susulan daripada ‘DNAA’ sebagai ‘hadiah’ seperti didakwa pemuisi. Sebabnya, bangsa ini bukannya bangsat selagi akal dan budi tidak pudar nurnya oleh mata hati yang rabun buta. Tuli telinganya, tebal kulitnya bak lembu tua, dan kelu pula lidahnya dalam berkata benar kepada yang berkuasa melangkaui retorika jumud membosan. Atau hanya mampu berkata sepatah dua, selepas 10 hari dalam igauan dan kejutan.
Maka, terpanggillah anak muda yang bakal menerajui negara, umpama angkatan lama sebelum hilang punca dan gila kuasa serta harta. Juga wanita. Melazimkan rasuah sebagai amalan amat menjijikkan. Cakap tidak serupa bikin umpama barah yang terus merebak ke liang lahad menjenayahkan setiap seorang tanpa kira siapa sahaja.
Jalan keluar? Akal budi mesti segera dimerdekakan semula dengan menghapuskan benteng pendusta lara yakni penghambat jiwa murni. Terus memupuk segera trilogi budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara penuh berhemah seiring denyutan nadi kalimah Ilahi, penegasan berani menjuarai keadilan tidak berbelah bahagi.
Hukuman setimpal tiada kompromi. Semoga akal budi mekar kembali dalam kelopak hati budi. Sehidup semati, Tuhan jua merestui. Rakyat menjadi saksi menyelamatkan pertiwi. – UTUSAN
ARTIKEL ini adalah pandangan peribadi Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Malaysia.










