SEJAK Malaysia merdeka, negara ini sentiasa mempunyai perancangan yang jelas dan berstruktur dalam memacu agenda pembangunan ekonomi negara. Rakyat pula sering memberi tumpuan terhadap pelan jangka pendek negara seperti belanjawan yang dibentang oleh kerajaan pada setiap tahun. Namun, kemajuan dan kejayaan yang telah kita kecapi dalam setiap aspek ekonomi pada hari ini bertunjangkan kepada perancangan dasar dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).
Kali pertama pelan ini dilancarkan adalah pada 1956 dan sehingga hari ini negara telah mempunyai sebanyak 14 RMLT termasuk Rancangan Malaya Pertama dan Rancangan Malaya Kedua.
Bagi memastikan perancangan ini berada di atas landasan yang tepat, semakan akan dibuat setiap dua tahun selepas ia dibentangkan di Dewan Rakyat. Semakan ini dinamakan Kajian Separuh Penggal (KSP).
Semakan ini adalah perlu bagi memastikan setiap kemajuan itu dapat dicapai dan seiring dengan perkembangan ekonomi dan cabaran global semasa.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan KSP Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menyemak kembali pencapaian dan sasaran yang telah ditetapkan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana meneruskan sasaran-sasaran yang ditetapkan dengan penambahbaikan seiring dengan perkembangan terkini negara dan dunia.
RMK-12 yang dibentang pada 2021 telah diberi peruntukan sebanyak RM400 bilion bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi sewaktu negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.
Saya menyambut baik komitmen kerajaan hari ini untuk menambah siling peruntukan sebanyak RM15 bilion menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion bagi memenuhi keperluan rakyat terutama dari segi inisiatif dan infrastruktur.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan dengan terperinci bagaimanakah siling peruntukan tambahan sebanyak RM15 bilion ini diperoleh.
Selain itu, kerajaan hari ini juga menetapkan defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus meskipun telah menaikkan had siling RMK-12. Apakah ini bermaksud kerajaan tidak akan berhutang?
Timbul persoalan juga bagaimana kerajaan akan mengekalkan unjuran tersebut, adakah akan ada cukai-cukai baharu lain yang akan diperkenalkan selain daripada cukai keuntungan modal bagi menambah hasil kerajaan?
Adakah cukai seperti GST (cukai barang dan perkhidmatan) akan diperkenalkan semula seperti dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ketika itu ditentang oleh pembangkang?
Saya juga tertarik dengan sasaran kerajaan untuk menghapuskan miskin tegar pada penghujung tahun ini berbanding sasaran asal RMK-12, iaitu pada penghujung 2025.
Sasaran asal yang ditetapkan adalah realistik kerana usaha untuk menghapuskan kemiskinan ini harus membabitkan semua peringkat lapisan masyarakat, kerajaan, swasta, universiti, pertubuhan masyarakat sivil dan individu. Kita tidak boleh melakukannya secara silo.
Apatah lagi cabaran paling besar ialah untuk mengubah cara berfikir golongan sasar dan usaha ini juga memerlukan tekad yang tinggi daripada pihak pelaksana.
Perubahan minda atau cara berfikir ini mengambil masa yang panjang. Tanpa anjakan minda amat sukar usaha ini untuk berjaya. Sebab itu usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang dilaksanakan sebelum ini tidak membuahkan hasil.
Perkara ini menjadi salah satu penekanan utama dalam Program Pembasmian Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang menerapkan pendekatan holistik tetapi ia telah diubah apabila kerajaan bertukar.
Sekarang berbaki tiga bulan daripada sasaran untuk menoktahkan miskin tegar pada penghujung tahun ini. Kita ingin tahu, apakah program yang dilaksanakan untuk memastikan 114,000 keluarga dikeluarkan daripada senarai miskin tegar? Sehingga kini, daripada 114,000 keluarga itu, berapakah jumlah yang telah keluarkan daripada senarai miskin tegar?
Untuk menghapuskan miskin tegar juga membabitkan pembangunan seimbang di antara wilayah bagi memastikan pembahagian ekonomi dapat dinikmati oleh semua pihak.
Oleh kerana itu, RMK-12 telah memperuntukkan sebanyak 50 peratus daripada siling peruntukan kepada enam negeri iaitu Sarawak, Sabah, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ini bagi memastikan jurang antara wilayah ini dapat dikurangkan dan meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk di negeri-negeri ini dengan pembangunan infrastruktur.
Namun, perkara ini tidak disentuh secara mendalam ketika pembentangan KSP. Apakah peruntukan sebanyak 50 peratus ini akan diteruskan untuk negeri-negeri ini?
Benar, Selangor dan Pulau Pinang penyumbang terbesar kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi negeri-negeri ini telah mendapat keistimewaan dan dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur sejak zaman penjajah lagi.
Selepas merdeka, negeri-negeri ini terus mendapat tumpuan. Kini, sampai masanya pembangunan itu disebarluaskan ke negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan lebih adil agar nikmatnya dapat dikongsi bersama.
Sebagai salah seorang ahli Parlimen di blok kerajaan, saya tidak boleh berdiam mendengar rungutan dan keluhan rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Secara logiknya, apabila kadar inflasi menurun, harga barang di pasaran akan turut sama menurun. Namun, rakyat hari ini masih perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli barang dapur.
Terbaharu, harga beras putih import dilaporkan meningkat 36 peratus, iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa 1 September lalu.
Alternatif kepada beras import adalah beras tempatan yang dijual dengan harga lebih murah tetapi beras tempatan tiada di pasaran.
Saya juga meminta Menteri Ekonomi menilai kembali cadangannya untuk mengurangkan permit import bahan makanan kerana ia akan membuka ruang kepada monopoli yang menyebabkan kenaikan harga barang.
Dalam keadaan mencabar ini, kita memerlukan langkah jangka pendek bagi memastikan harga bahan makanan khususnya beras tidak naik dengan mendadak.
Kerajaan harus memastikan langkah jangka panjang yang direncanakan tidak terhenti separuh jalan. Lazimnya, pelaksanaan perancangan jangka panjang terhenti apabila harga komoditi tersebut turun.
Kerajaan harus fokus untuk memastikan tahap sara diri (SSL) negara mencukupi dan tidak bergantung kepada import makanan yang terdedah kepada pelbagai cabaran global.
Dalam mempercepatkan reformasi struktur ekonomi, kerajaan memberikan penekanan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) meliputi lima bidang.
Bagaimanapun, saya ingin memberikan tumpuan kepada pembangunan industri dron yang berkembang dengan sangat pantas di dunia dan negara ini.
Di Asia Tenggara, Malaysia merupakan pasaran dron terbesar terutama dalam penggunaan dron di sektor pertanian, perladangan dan infrastruktur.
Pelan Tindakan Dron Malaysia 2022-2030 meletakkan sasaran industri tersebut akan menyumbangkan sebanyak RM50.71 bilion kepada pertumbuhan KDNK dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Ekosistem industri dron harus disokong bagi memastikan kita bukan hanya pengguna perkhidmatan dron tetapi juga menjadi pembekal dan pemain utama industri ini di peringkat global.
Saya berharap setiap perancangan dan sasaran ditetapkan dalam RMK-12 diteruskan kerana ia dirangka dengan mengambil kira semua aspek dan realistik untuk dicapai.
Ini adalah perancangan jangka panjang. Justeru, kita harus bersama demi memastikan masalah struktur ekonomi, sosial dan pentadbiran yang dihadapi pada masa kini dapat diperbetulkan demi masa depan cemerlang. – UTUSAN
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.










