MESYUARAT Majlis Tertinggi MIC baru-baru ini membuat keputusan untuk menjalin kerjasama politik dengan parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti). Makkal Sakti ditubuhkan oleh seorang pejuang serta penyelaras Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan kebanyakan ahlinya adalah daripada bekas gerakan tersebut.
Meskipun gelombang Hindraf yang melanda negara pada 2007 telah menyumbang kepada kemerosotan kuasa dominan UMNO dalam medan politik negara serta kerajaan sejak merdeka,
Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), juga Presiden UMNO ketika itu sanggup merasmikan penubuhan Makkal Sakti pada 2009, hanya setahun selepas UMNO serta MIC menghadapi kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Gerakan Hindraf menjadi popular dalam kalangan orang India apabila menganjurkan satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur dihadiri hampir 100,000 orang pada 2007. Tujuan perhimpunan tersebut untuk menyerahkan surat rayuan kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi British supaya kerajaan United Kingdom membayar ganti rugi kepada kaum India kerana membawa masuk mereka ke Tanah Melayu. Mereka mendakwa British telah meninggalkan kaum India di negara ini sehingga menjadi mangsa kepada penindasan kerajaan dikuasai UMNO.
Terpengaruh dengan dakwaan Hindraf, sebahagian besar pengundi India, iaitu hampir 80 peratus menolak calon-calon UMNO serta MIC dalam PRU12. Presiden MIC ketika itu, Tun S. Samy Vellu serta beberapa pemimpin barisan utama parti yang bertanding kalah teruk kepada parti pembangkang. Hanya tiga daripada sembilan calon bagi kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili MIC menang dalam PRU12. Malah, beberapa pemimpin utama UMNO turut tumbang dalam PRU12.
Dalam perkara ini, gelombang Hindraf dikesan menyebabkan BN menang hanya 140 kerusi Parlimen berbanding 198 sebelumnya. Malah BN juga dinafikan majoriti dua pertiga dalam Parlimen sekali lagi selepas PRU3 pada 1969. Oleh itu, PRU12 merupakan titik permulaan kemerosotan sokongan pengundi India kepada UMNO sekali gus MIC.
Meskipun kebanyakan ahli Makkal Sakti merupakan bekas penyokong tegar Hindraf, namun parti berkenaan dilaporkan telah terkeluar daripada kepompong Hindraf. Lebih-lebih lagi Hindraf telah pecah berkecai kerana timbul perselisihan faham antara pelopor dan pejuang utamanya sejurus PRU12.
Susulan kehilangan stigma Hindraf dalam pemikiran kaum India serta radar politik negara, maka Makkal Sakti muncul sebagai pemain politik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Hindraf dalam percaturan politik negara. Makkal Sakti jelas telah meninggalkan sikap dan pendirian Hindraf dalam menentang UMNO sekali gus BN, di sebaliknya cuba berbaik-baik dan mesra dengan kepimpinan UMNO/BN.
ORANG ASLI
Malah, Makkal Sakti menyokong calon-calon BN dalam pilihan raya terutama PRU14 pada 2018. Meskipun Makkal Sakti menyatakan sokongan secara terbuka kepada BN, keputusan PRU14 tidak banyak berubah malah menemui kekalahan teruk dan lebih buruk dari sebelumnya. BN hilang kuasa mentadbir negara ini sejak merdeka kepada parti pembangkang diterajui Pakatan Harapan (PH).
Calon-calon MIC termasuk Presidennya kalah teruk. Hanya dua daripada sembilan calon MIC yang bertanding kerusi Parlimen menang dalam PRU14. Kemenangan kedua-dua kerusi itu pun dikatakan ditentukan oleh sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli.
Persoalannya, apakah impak sokongan Makkal Sakti kepada BN secara amnya dan MIC secara khususnya?
Dalam pada itu, kepimpinan BN membuat keputusan memberi peluang kepada parti-parti yang mesra dengannya untuk bertanding atas tiket BN pada PRU15. Antaranya Makkal Sakti dan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF). Makkal Sakti ditawarkan peluang untuk bertanding atas tiket BN bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal di Pulau Pinang pada PRU15.
Meskipun sebahagian besar pengundi India di kawasan berkenaan adalah penyokong tegar Hindraf ketika PRU12, Presiden Makkal Sakti yang bertanding di kerusi itu kalah teruk. Beliau hanya memperoleh 10,666 undi manakala calon PH 42,188 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) 25,895 undi.
Dalam pada itu, perkembangan dalam medan politik negara pada mutakhir ini menunjukkan satu fenomena yang dinamik malah luar jangkaan. Suasana politik berubah-ubah mengikut keperluan zaman dan gaya kepimpinan pemimpin-pemimpin sesebuah parti.
Antara perubahan paradigma baharu yang rakyat saksi adalah UMNO yang ditubuhkan pada 1946 bagi mewakili sebahagian besar orang Melayu yang juga menentang DAP sejak parti itu ditubuhkan pada 1966, didapati bersedia berpakat, bergabung malah bekerjasama dengan DAP dalam membentuk kerajaan.
UMNO yang menentang PKR sejak ditubuhkan pada 1999 juga didapati bersedia bersatu, berpakat dengannya demi survival masing-masing. UMNO, DAP dan PKR yang berlainan ideologi politik dapat bersatu, bergabung dan berpakat demi mengekalkan kuasa serta survival parti masing-masing.
Dalam konteks ini, langkah kepimpinan MIC dalam menjalin hubungan atau kerjasama politik dengan Makkal Sakti, jelas menggambarkan kepekaan dan kebijaksanaan kepimpinan MIC terutama Presiden, Tan Sri S.A.Vigneswaran terhadap pergolakan dan percaturan politik dalam negara. Lebih-lebih lagi MIC dan Makkal Sakti adalah parti-parti politik serumpun yang mewakili kepentingan kaum India dalam negara bertuah ini. – UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis isu-isu sosial dan politik tempatan.










