Pemutihan kes rasuah untuk stabil politik, ekonomi?

Pemutihan kes rasuah untuk stabil politik, ekonomi?

RAKYAT mempunyai persepsi negatif yang mendalam dan mula hilang keyakinan terhadap sistem perundangan negara kerana percaya amnesti itu diberikan untuk mengelakkan pemimpin politik daripada dihukum. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMNESTI dalam bahasa Melayu merujuk kepada pemutihan atau pengampunan am. Ia adalah satu tindakan rasmi berbentuk undang- undang yang memberikan pengampunan atau penghapusan hukuman kepada individu atau kumpulan terlibat dalam kesalahan tertentu untuk tujuan rekonsiliasi (penyatuan), pemulihan harta atau untuk mencapai matlamat politik, sosial atau ekonomi tertentu.

Amnesti juga adalah satu bentuk penyelesaian alternatif dalam sistem undang-undang digunakan kerajaan atau pihak berkuasa untuk mencapai objektif tertentu yang berkaitan dengan keselamatan awam, kestabilan politik atau pemulihan ekonomi.

Konsep pemutihan ini agak kompleks dan boleh diperdebatkan kerana ia memberi pertimbangan antara matlamat keadilan, rekonsiliasi dan kestabilan sosial. Penting untuk diingat bahawa butiran program amnesti, termasuk siapa yang layak dan sejauh mana pengampunan diberikan adalah berbeza-beza bergantung pada konteks dan rangka undang-undang negara atau organisasi yang melaksanakannya.

Kebelakangan ini, banyak kes rasuah disiasat dan didakwa ke mahkamah tiba-tiba dihentika/dibatalkan atas pemintaan pendakwa raya dan persetujuan mahkamah apabila tertuduh bersetuju atas beberapa perkara terutama berkaitan pemulangan semula harta atau wang yang ‘dikebas.’

Persepsi rakyat terhadap pelaksanaan amnesti dalam kes rasuah terutama melibatkan pemimpin politik adalah pelbagai dan banyak faktor mempengaruhi reaksi tersebut. Jika melibatkan pemimpin parti mereka, pasti masing-masing menyanjung undang-undang tersebut, begitu juga sebaliknya.

Namun, ramai rakyat mempunyai persepsi negatif yang mendalam dan mula hilang keyakinan terhadap sistem perundangan negara kerana percaya amnesti itu diberikan untuk mengelakkan pemimpin politik daripada dihukum.

Rakyat juga merasakan amnesti itu diberikan tanpa syarat memadai atau tanpa pemulihan aset mencukupi dan melihatnya sebagai satu bentuk ketidakadilan, terutama jika mereka berasa kerugian akibat rasuah atau salah guna rasuah tersebut amat besar.

Ketiadaan transparensi dalam proses amnesti menyebabkan rakyat meragui niat dan integriti pihak berkuasa dalam memberikan amnesti tersebut.

Amnesti dalam kes rasuah politik juga dilihat sebagai satu alat terutama jika digunakan untuk memanipulasi undi dalam pilihan raya atau memenangi sokongan politik dalam pemilihan parti.

Rakyat bimbang amnesti akan mencipta perasaan tidak bersalah dalam kalangan pemimpin politik yang boleh menggalakkan mereka melakukan rasuah lebih besar pada masa depan.

Untuk mengurangkan persepsi negatif, penting untuk menjalankan proses amnesti secara telus, adil dan berwibawa. Ini termasuk memastikan syarat-syarat tegas diletakkan, maklumat tentang amnesti diberikan secara terbuka dan pemulangan aset yang dicuri adalah sebahagian daripada proses tersebut.

Kerajaan perlu menjelaskan niat mereka untuk mencapai matlamat lebih besar seperti rekonsiliasi dan usaha bersama untuk memerangi rasuah. Rakyat pasti akan memahami dan menerimanya walaupun pahit.

DISKUSI
Yakinkan rakyat bahawa amnesti dalam kes rasuah adalah langkah yang perlu untuk memacu perkembangan politik dan ekonomi negara. Berikan penerangan jelas mengenai alasan mengapa amnesti diperlukan dan tunjukkan bagaimana ia boleh membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dan kestabilitan politik serta bagaimana ia berpotensi untuk mengurangkan tekanan dalam sistem keadilan.

Tunjukkan syaratnya yang adil dan ketat termasuk pengembalian wang atau harta yang dicuri, pengakuan kesalahan dan individu itu mesti juga sanggup menjadi saksi penting mengenai kesalahan rasuah lain.

Jelaskan bahawa amnesti tidak bermakna pemimpin politik yang terlibat dalam rasuah itu akan ‘bebas’ begitu sahaja sebaliknya masih terdapat hukuman dalam bentuk tertentu seperti penggantungan daripada jawatan politik atau bersara terus dari arena ini.

Maklumat mengenai individu yang memohon amnesti dan pertimbangan permohonan perlu dibuat secara terbuka kepada masyarakat.

Libatkan masyarakat dalam diskusi mengenai amnesti. Buat sesi perbincangan awam atau forum untuk mendengar pandangan dan kebimbangan rakyat. Ini boleh membantu merapatkan jurang antara kerajaan dan masyarakat.

Tunjukkan kepada rakyat bahawa amnesti adalah satu komponen dalam usaha lebih besar untuk memerangi rasuah dan menggalakkan integriti dalam politik dan ekonomi Malaysia.

Pastikan bahawa amnesti tidak hanya memberikan layanan istimewa kepada pemimpin parti politik tertentu. Ini adalah aspek yang penting untuk menjaga persepsi kesaksamaan pada kaca mata rakyat.

Satu mekanisme saringan dan penilaian perlu diwujudkan untuk menilai kesesuaian individu untuk mendapatkan amnesti. Ini boleh melibatkan jawatankuasa khas melibatkan pemimpin masyarakat, pihak berkuasa undang-undang dan agensi antirasuah negara.

Pengawasan berterusan perlu dikenakan ke atas inividu ini malah mereka mungkin perlu menunjukkan perubahan dalam keperibadian dan perilaku mereka dalam membalas semula kesilapan tersebut dengan ditampilkan sebagai ikon antirasuah negara.

Syarat-syarat ini harus dipertimbangkan dengan teliti dan sesuai dengan undang-undang negara serta norma-norma antarabangsa yang berkaitan dengan pencegahan dan pembanterasan rasuah. Pengawasan dan pemantauan yang berkesan juga perlu diwujudkan untuk memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat ini.

Hakikatnya, amnesti kes rasuah adalah satu komponen penting daripada pelbagai tindakan yang diambil untuk memacu pembangunan politik dan ekonomi negara.

Kesediaan kerajaan untuk melakukan reformasi ini termasuk pembaharuan sistem undang-undang, penguatkuasaan dan pembinaan institusi lebih mantap pada masa hadapan adalah cukup penting.

Amnesti dalam kes rasuah adalah kaedah yang amat baharu dan isu yang pasti kontroversi malah usaha untuk meyakinkan rakyat akan memerlukan masa dan kesabaran cukup tinggi.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN