Legasi P. Ramlee terus subur, satukan rakyat merentasi generasi - Aaron

Legasi P. Ramlee terus subur, satukan rakyat merentasi generasi – Aaron

AARON Ago Dagang (kiri) bersama Tun Ramli Ngah Talib (dua dari kiri) ketika majlis perasmian Program Minggu Kenangan P. Ramlee 2026: 'Sepanjang Riwayatku' dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Legasi karya Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee kekal sebagai khazanah warisan seni negara yang terus dihargai merentasi generasi serta menjadi medium dalam menyatukan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya melalui perkongsian emosi, nilai serta aspirasi bersama.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sumbangan P. Ramlee dalam dunia filem dan muzik bukan sahaja telah mencorakkan landskap seni tanah air, malah, mengangkat nilai kemanusiaan, perpaduan dan identiti kebangsaan.

“Karya-karya P. Ramlee telah meletakkan nama Malaysia di persada antarabangsa sekali gus menjadikan legasi beliau sebagai khazanah warisan seni yang sewajarnya terus dipelihara dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Legasi beliau juga bukan sekadar himpunan filem dan lagu, sebaliknya menjadi warisan budaya serta memori kolektif yang membentuk kesedaran sejarah dan jati diri rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Minggu Kenangan P. Ramlee 2026: ‘Sepanjang Riwayatku’ dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, hari ini.

Sementara itu, Aaron berkata, kerajaan melalui Arkib Negara Malaysia terus komited untuk memelihara legasi seniman agung itu menerusi dua institusi khas iaitu Rumah Kelahiran P. Ramlee di Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang dan Pustaka Peringatan P. Ramlee.

Menurut beliau, kedua-dua institusi itu menghimpunkan pelbagai bahan biografi, artifak, kostum, memorabilia, koleksi filem serta pameran berkaitan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma bagi memastikan generasi muda mengenali tokoh seni negara dengan lebih dekat.

Katanya, penganjuran Minggu Kenangan P. Ramlee 2026 selama tiga hari bermula hari ini pula membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan warisan seni negara melalui pelbagai program termasuk Bicara Sejarah, bacaan Yasin dan tahlil, ceramah serta pameran.

“Usaha ini bukan sahaja memartabatkan khazanah budaya dan identiti negara, malah, mendidik generasi muda agar terus menghargai sejarah, memperkukuh jati diri nasional serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membina negara bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN