Eksport durian ke China guna laluan darat tidak dibenarkan

Eksport durian ke China guna laluan darat tidak dibenarkan

KERAJAAN tidak pernah membenarkan penggunaan laluan darat bagi mengeksport dunia segar dari Malaysia ke China kerana laluan tersebut tidak pernah dipersetujui oleh kedua-dua negara. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah membenarkan penggunaan laluan darat bagi mengeksport dunia segar dari Malaysia ke China kerana laluan tersebut tidak pernah dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Jabatan Pertanian dalam kenyataan berkata, mengambil maklum mengenai isu itu dan sentiasa komited memastikan semua aktiviti eksport hasil pertanian negara mematuhi protokol serta keperluan perundangan yang dipersetujui antara kedua-dua negara.

Katanya, protokol eksport durian segar yang sedang berkuat kuasa antara Malaysia dan China pada masa ini adalah berdasarkan laluan eksport yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, Jabatan Pertanian telah menerima maklum balas daripada pihak General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) bahawa pengeksportan durian segar Malaysia ke China melalui laluan darat yang melibatkan negara transit tidak termasuk dalam skop protokol sedia ada yang telah dipersetujui.

“Berdasarkan maklum balas itu, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan penggunaan laluan darat bagi pengeksportan durian segar ke China buat masa ini sehingga protokol baharu atau pindaan kepada protokol sedia ada dimuktamadkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya hari ini.

Jabatan Pertanian berkata, bagi memastikan kelancaran perdagangan serta memelihara akses pasaran eksport negara, pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut bersama pihak GACC berhubung cadangan pelaksanaan eksport durian segar melalui laluan darat.

“Rundingan ini penting bagi memastikan aspek kebolehkesanan, keselamatan biosekuriti, pematuhan fitosanitasi dan integriti rantaian bekalan dapat dipatuhi sepanjang proses penghantaran merentasi beberapa negara,” katanya

Dalam masa yang sama, Jabatan Pertanian memaklumkan akan melaksanakan sesi libat urus bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia di Bangkok bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan keperluan logistik, perjanjian rentas sempadan, prosedur transit serta aspek kawal selia yang perlu dipatuhi sekiranya pengeksportan melalui laluan darat dilaksanakan pada masa hadapan.

Katanya, pihaknya sedia maklum akan minat pihak industri terhadap pembangunan produk durian bernilai tambah termasuk durian segar potong bagi pasaran eksport.

“Sehubungan itu, sebarang cadangan pengeksportan produk berkenaan hendaklah disokong oleh kajian saintifik dan teknikal yang komprehensif bagi memastikan jaminan kualiti, keselamatan makanan serta jangka hayat produk sepanjang proses pengedaran.

“Bagi tujuan tersebut, Jabatan Pertanian telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk melaksanakan kajian yang diperlukan sebelum sebarang cadangan berkaitan pengeksportan durian segar potong dikemukakan kepada pihak berkuasa negara pengimport untuk pertimbangan lanjut.

“Jabatan Pertanian sentiasa komited memperkukuh daya saing industri durian negara dan memperluas akses pasaran eksport melalui pematuhan kepada standard antarabangsa, pengukuhan hubungan perdagangan serta kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN