Pastikan separuh tanah kita ‘hijau’

Pastikan separuh tanah kita ‘hijau’

NESTLE Malaysia menerusi program RELEAF menyasarkan penanaman tiga juta pokok menjelang 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Sidang Kemuncak Bumi di Rio De Janeiro pada 1992, Malaysia antara 178 negara yang berikrar mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hijau dilitupi hutan dan pokok. Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan komitmen itu di mana kawasan berhutan adalah 18.05 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara.

Laporan Penilaian Sumber Hutan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2020 menyenaraikan Malaysia antara 25 negara membangun diiktiraf sebagai Negara Hutan Tinggi, Penebangan Hutan Rendah.

Malaysia juga diiktiraf antara 12 negara di dunia yang memiliki spesies-spesies majoriti di bumi dan terlalu kepelbagaian atau mega-kepelbagaian.

Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi agenda Penghijauan Malaysia adalah usaha kerajaan mengekalkan komitmen itu dan dalam masa sama menangani masalah perubahan iklim, meningkatkan kualiti persekitaran alam semula jadi dan sungai serta memulihara dan mempertahankan kekayaan khazanah biodiversiti negara dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi.

Penghijauan Malaysia bertepatan tiga matlamat pembangunan lestari (SDG) iaitu Elemen ke-13 (Climate Action), Elemen ke-14 (Life Below Water) dan Elemen ke 15 (Life on Land).

Menerusi program ini, kawasan hutan dipulihara dianggarkan 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang 2025, di samping menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida sehingga 30 juta tan di kawasan bandar dan 85 juta tan di kawasan hutan dalam tempoh setahun.

PENEBANGAN HUTAN

Industri sawit negara sering dikaitkan dengan penebangan hutan terutama di peringkat huluan melibatkan pembukaan ladang-ladang kelapa sawit secara besar-besaran tetapi dikawal ketat kerajaan.

Bermula 1980-an sehingga kini, negara-negara luar terutamanya Kesatuan Eropah (EU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang disokong pihak-pihak berkepentingan menyalahkan industri sawit sebagai punca utama kehilangan hutan tropika dan kepupusan hidupan liar khususnya orang utan.

Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang bakal dikuatkuasakan menyenaraikan minyak sawit antara komoditi terlibat dengan penebangan hutan. Mengambil kira perkembangan semasa dan terkini, tindakan mengaitkan industri sawit dengan penebangan hutan menjadi tidak lagi relevan, tuduhan lapuk dan ketinggalan.

Kajian Institut Pengurusan Dunia yang dilaporkan Pemerhati Hutan Global mengakui penebangan hutan di Malaysia dan Indonesia, dua negara pembekal 80 peratus minyak sawit global telah berkurang dengan ketara sejak 2017. Laporan itu menyatakan kemusnahan hutan asal di Malaysia berkurang sebanyak 70 peratus antara 2014 hingga 2020.

Faktor utama penurunan itu ialah pematuhan industri sawit kepada dasar antarabangsa, iaitu Tiada Penebangan Hutan, Tanah Gambut dan Eksploitasi (NDPE).

Kerajaan juga memperkenalkan polisi baharu pada 2019 bagi menjadikan penanaman sawit di negara ini mengikut amalan mampan, antara lainnya mengehadkan keluasan sawit kepada 6.5 juta hektar, mengutamakan penanaman semula, menghentikan penanaman sawit di tanah gambut dan larangan menukar status hutan simpan/rizab kepada sawit.

Ancaman terbesar kepada pemanasan global ialah sektor penternakan terutama lembu yang menyaksikan hutan-hutan dibersihkan untuk dijadikan padang ragut seperti sedang berlaku di hutan hujan tropika terbesar dunia, iaitu Hutan Amazon di Amerika Selatan.

PENGHIJAUAN MALAYSIA

Pelbagai program dijalankan industri sawit Malaysia untuk penghutanan semula di kawasan hutan terosot dan ladang berhampiran hutan simpan.

Antaranya, Sime Darby Plantation memperuntukkan dana RM6.4 juta untuk program restorasi kawasan tanah gambut seluas 400 hektar di Bintulu, Sarawak.

Nestle Malaysia merupakan pengguna utama produk sawit turut terlibat bersama-sama pihak industri sawit untuk aktiviti penanaman pokok.

Melalui program RELEAF yang bermula sejak 2021, Nestle Malaysia menyasarkan penanaman tiga juta pokok pada 2025.

Sehingga kini, sebanyak 1.05 juta pokok telah ditanam di beberapa lokasi ladang sawit seperti Ladang Jernih di Kemaman (TDM Plantation), Ladang Gunung Mas dan Ladang Carey Island (Sime Darby Plantation).
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) tidak terkecuali menyokong Penghijauan Malaysia melalui beberapa program di seluruh negara. Antaranya Penanaman Sejuta Pokok bagi Rehabilitasi Habitat Orang Utan di Ulu Kawag, Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Program Penghutanan Semula Hutan Simpan Chabang Tongkat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kelantan.

Dua projek ini untuk memulihkan hutan terosot dan dijadikan habitat hidupan liar khususnya orang utan dan Harimau Malaya.

Laman Konservasi dan Pendidikan Biodiversiti di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Terengganu yang dihijaukan 6,000 pokok dari spesies terancam merupakan antara inisiatif MPOGCF menyokong Penghijauan Malaysia.

MPOGCF komited menjayakan Penghijauan Malaysia kerana secara langsung meningkatkan imej sawit Malaysia sebagai produk mampan di pasaran global. – UTUSAN

PENULIS ialah Eksekutif Konservasi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×