DARIPADA senarai 28 menteri dalam kerajaan perpaduan, paling menyegarkan ialah menteri-menteri dari PKR. Selain tokoh berpengalaman seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, rata-rata menteri-menteri dari PKR adalah wajah baharu dalam kalangan anak muda berjiwa reformis.
Dua daripada mereka, iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, baru berusia 46 tahun. Seorang berusia 43 tahun, iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Seorang berusia 42 tahun, iaitu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Paling muda, berusia 41 tahun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mereka inilah wajah baharu Malaysia masa hadapan. Merekalah yang akan mencorakkan politik Malaysia dalam tempoh 20 tahun akan datang. Mereka penting kerana membawa aspirasi golongan muda. Jika mereka merancang dan mengemukakan dasar baharu sekarang, mereka mempunyai masa yang panjang untuk melihat ia dilaksanakan. Atas dasar ini dalam banyak parti politik di Malaysia sekarang, PKR paling terkehadapan.
Apatah lagi mereka memegang jawatan penting dalam PKR. Rafizi adalah Timbalan Presiden, Chang dan Nik Nazmi adalah Naib Presiden, Fadhlina adalah Ketua Wanita dan Fahmi adalah Ketua Penerangan. Mereka adalah pelapis utama pimpinan sekarang selain Nurul Izzah Anwar, seorang lagi Naib Presiden PKR.
Daripada kesemua menteri dari PKR ini, saya paling tertarik dengan Nik Nazmi kerana beliau menteri paling muda dalam Kabinet, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan diberikan pula satu portfolio besar menggabungkan dua kementerian yang ada sebelum ini, iaitu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Berkebetulan bapanya, Nik Ahmad Nik Hassan sebagai Ketua Setiausaha pertama Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978, prestasi beliau tidak mengecewakan setakat ini. Nik Nazmi juga seorang pemikir dan intelektual yang telah mengarang empat buku, tidak banyak bercakap sebaliknya lebih fokus pada kerja beliau.
Tidak hairanlah dalam tempoh belum setahun di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah banyak keberhasilan yang beliau usahakan. Antara perkara pertama yang beliau lakukan ialah mencadangkan kepada Speaker Dewan Rakyat pembentukan Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk membantu kerajaan dalam mengesyorkan dasar yang jelas serta mengenal pasti kaedah mitigasi terhadap perubahan iklim.
Berbanding kerajaan terdahulu yang hanya bercakap mengenai hasrat untuk merangka Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim, Nik Nazmi sebaliknya terus bekerja keras membuat libat urus bersama pemegang taruh yang berkaitan di setiap lapisan masyarakat bagi membolehkan RUU ini dapat dibentangkan dalam tempoh bersesuaian kerana ia dilihat sebagai sesuatu yang sangat mendesak serta melibatkan pematuhan kepada pelbagai konvensyen antarabangsa.
BAJU BATIK
Nik Nazmi juga mencetuskan satu anjakan paradigma berhubung budaya penggunaan tenaga elektrik dan air secara membazir menjadi lebih efisien. Beliau membentangkan memorandum Akta Pemuliharaan Tenaga Efisien (EECA) dalam mesyuarat jemaah menteri pada 2 Ogos lalu yang menyebabkan kerajaan antara lainnya menyelaraskan suhu penyaman udara kepada 24 hingga 25 darjah Celsius dan membenarkan penjawat awam memakai baju batik pada setiap hari bekerja.
NRECC bersama Kementerian Ekonomi juga melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga yang antara lain bertujuan mendorong penggunaan tenaga solar. NRECC memperuntukkan RM50 juta untuk memasang sistem solar di bangunan dan kemudahan kerajaan dalam tahun ini sebagai pelaburan jangka panjang untuk mengurangkan bil elektrik di bangunan kerajaan.
Banyak juga dasar baharu sedang dirangka NRECC. Ia termasuklah dasar berkaitan pemberian pampasan kepada pekebun dan pemilik tanaman yang mengalami kerugian akibat serangan hidupan liar, Dasar Karbon Kebangsaan bagi memandu dan membantu usaha perdagangan karbon di peringkat negeri serta dasar untuk menangani isu perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai kira-kira RM809.6 bilion.
NRECC juga sedang dalam proses membangunkan Pelan Hala Tuju Sumbangan Nasional Yang Ditentukan (NDC) dan dokumen komunikasi Strategi Rendah Karbon Jangka Masa Panjang (LTLEDS) bagi menetapkan sasaran jumlah pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang perlu dikurangkan bagi membolehkan Malaysia mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih.
Nik Nazmi juga sedang mengusahakan pindaan kepada beberapa akta. Antaranya meningkatkan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan dari setahun kepada 15 tahun dalam Akta Perkhidmatan Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan kelestarian sumber bekalan air dan mengatasi masalah pencemaran air.
Selainnya ialah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk meningkatkan hukuman terhadap pengimportan haram sampah elektrik dan elektronik (e-waste) yang semakin berleluasa berbanding penalti sekarang yang dilihat tidak menakutkan pelakunya, iaitu sekadar hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.
Banyaklah lagi perkara lain telah dan sedang diatasi oleh Nik Nazmi di NRECC seperti membenarkan orang ramai memuat turun salinan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), memastikan 9.5 juta pengguna elektrik mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik serta mengaktifkan pelan tindakan untuk mengelakkan jerebu, banjir, tanah runtuh dan pencerobohan habitat.
Inilah contoh pemimpin muda yang kita mahukan, kurang bercakap tetapi banyak bekerja. – UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.










