Malang jika ada pemimpin tidak tahu nilai Sejarah

Malang jika ada pemimpin tidak tahu nilai Sejarah

DENGAN mengetahui segala apa terjadi pada masa lampau, ia memberi kefahaman tentang apa-apa yang berlaku kini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIMBUL beberapa persoalan apabila seorang pemimpin dalam portfolio pendidikan memberitahu khalayak sekelilingnya dalam satu sidang akhbar bahawa beliau keliru apabila pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal seluruh peperiksaan awam itu kerana tidak lulus dalam mata pelajaran Sejarah. Sehubungan ini, beliau bukan sahaja berasa ia sesuatu yang amat pelik, juga satu peraturan sangat tidak adil. Ini kerana Sejarah dianggapnya mata pelajaran tidak sepenting Bahasa Inggeris yang tidak pun memerlukan gred lulus.

Sangat malang sekali negara mempunyai pemimpin sebegitu yang tidak mengetahui Sejarah adalah mata pelajaran kenegaraan. Ini kerana ia bersekali dengan Bahasa Melayu dan Pengetahuan Islam atau Pendidikan Moral adalah tiga mata pelajaran pembentukan negara bangsa selain bersifat akademik. Sedangkan yang lain-lain termasuk Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran akademik semata-mata.

Tidak dapat dinafikan Sejarah adalah mata pelajaran rumit bagi sesetengah pelajar, yakni sarat dengan fakta masa lampau selain tarikh penting perlu diingati selain memahami naratif disampaikan. Dengan ini, ia perlu diajar dengan betul agar bukan sahaja diminati, juga diketahui untuk memahami negara ini.

Oleh itu, pengetahuan, pemahaman dan penghayatannya adalah sangat penting. Ini kerana dengan mengetahui segala apa terjadi pada masa lampau, ia memberi kefahaman tentang apa-apa yang berlaku kini dan menyediakan kita untuk menghadapi barang apa pun pada masa hadapan.

Dengan sifat mata pelajaran ini yang begitu penting, ia tidak boleh sesekali diambil mudah dalam apa-apa jua cara. Sebaliknya hendaklah dipandang serius kerana ia sebahagian amat penting dalam proses pembentukan negara bangsa. Antaranya untuk jati diri kebangsaan dengan berkongsi sejarah yang diketahui, difahami dan dihayati bersama oleh seluruh rakyat dari semua lapisan di segenap pelosok negara.

Untuk ini, perlu wujud komitmen daripada rakyat untuk libat sama bagi memahami kepentingan sejarah tanah air dalam konteks nasionalisme dan patriotisme. Apabila terdapat penghakisan dan lebih teruk lagi penghilangan pemahaman sejarah tanah air, antaranya apabila masyarakat tidak lagi mengetahui masa lampau mereka, ia bukan sahaja malapetaka untuk negara, juga kita akan menjadi mangsa kepada pensejarahan yang tidak betul.

Gejala ini juga sebenarnya adalah petanda kegagalan proses pembentukan negara bangsa kita. Sebaliknya, rakyat yang mempunyai kesedaran sejarah tinggi di samping pengetahuan sejarah baik tentang negara mereka adalah manifestasi kejayaan proses pembentukan negara bangsa di negara itu.

SEPI

Natijahnya, bidang sejarah tidak boleh sesekali dipandang sepi oleh rakyat sesebuah negara itu, apatah lagi pemimpinnya. Dengan ini, pemimpin harus menyuarakan kebimbangan apabila terdapat kesedaran sejarah yang semakin menghilang, lebih-lebih lagi pemahaman dan penghayatan tentang masa lampau negara. Dalam pada ini, tidak ada keperluan langsung, lebih-lebih lagi daripada pemimpin untuk menyoal kaedah pendidikan mata pelajaran Sejarah, selain kandungan dalam buku teks. Ini kerana ia disediakan pakar sejarah menggunakan teknik tertentu yang semasa sifatnya, sudah tentu jauh berbeza daripada cara ia diajar puluhan tahun dahulu.

Dalam pada ini juga, ia akan selalu diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Oleh itu, tidak timbul persoalan perkaedahan dan kandungannya yang tidak tepat. Bagaimanapun, pencatatan peristiwa sejarah selalu terdedah kepada persoalan historiografi, iaitu cara sesuatu peristiwa itu dirakamkan.

Oleh itu, sering kali kerajaan pada sesuatu masa itu didakwa sebagai sengaja menyebarkan diayahnya yang tertentu. Ini tidak semestinya benar. Ini kerana walaupun kerajaan bersilih ganti, kesemuanya didapati meneruskan rejim sedia ada semenjak penubuhan negara ini, iaitu raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Inilah ideologi yang disebarkan setiap kerajaan. Ia merupakan halu tuju negara yang diinstitusikan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam mata pelajaran Sejarah. Hala tuju negara ini yang digemblengkan melalui kesedaran sejarah tanah air yang dikongsi bersama sebenarnya adalah pendukungan kental lagi teguh kepada identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Selain ini, hala tuju negara ini ikut digemblengkan melalui perwakilan yang inklusif. Ia dipastikan wujud secara seimbang dalam penyampaian sejarah tiga wilayah Persekutuan Malaysia sebagai satu komuniti nasional.

Di samping perseimbangan ini, kepelbagaian di negara ini juga diungkapkan sebagai tiga sejarah lampau yang berbeza. Begitu juga dengan pertumbuhan masyarakat yang sama sekali berlainan antara satu wilayah dengan lain.

Dengan ini, harus dicatatkan sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik yang berlaku di tiga wilayah adalah tidak sama. Dengan pelbagai etnisiti, agama, bahasa dan cara hidup tidak sama, mata pelajaran Sejarah berperanan besar mewujudkan ikatan emosi kita yang pelbagai ini sebagai sebuah komuniti nasional. Inilah sebenarnya dilakukan dalam buku teks sejarah kita, yang disalah anggap sesetengah pihak sebagai bukan sejarah tetapi geografi manusia, yakni penelitian wilayah berbeza dari segi komuniti, budaya, ekonomi, politik dan lain-lainnya.

Sebenarnya sejarah adalah bidang yang juga boleh digunakan untuk tujuan perpaduan negara dan integrasi nasional, iaitu melalui pembinaan ikatan emosi itu. Oleh itu, hargailah pengaruh, kuasa dan nilai padanya untuk menjayakan proses pembentukan negara bangsa.

Sesungguhnya banyak perkara buruk kepada negara akan terjadi apabila bidang sejarah diketepikan. Ini kerana ia adalah paksi utama untuk proses pembentukan negara bangsa dan lain-lain yang baik untuk negara. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×