Makanan segera, pesta muzik dan menjilat jari!

Makanan segera, pesta muzik dan menjilat jari!

KERAJAAN melalui Jakim sentiasa mengambil inisiatif bagi memperkukuh sistem pendidikan tahfiz. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHARU sahaja isu 40 hadis mula reda, timbul pula satu lagi kes yang mencuri perhatian rakyat. Ia berkaitan satu pesta muzik yang berlangsung pada Ogos 26 lalu di Shah Alam mendapat liputan luas. Khususnya dengan kehadiran para pelajar tahfiz yang kononnya berjubah hijau dan berserban putih.

Mereka dikesan melalui tularan video yang mengundang pelbagai reaksi daripada agamawan sehinggalah anak muda dalam media soal. Ada melaporkan pelajar tahfiz tersebut didakwa turut menari dalam kalangan 700 orang yang dibawa bersama oleh seorang yang mengakuinya secara peribadi.

Namun, tujuan ikhlasnya adalah untuk mendedahkan mereka kepada pengalaman baharu sempena ulang tahun ke-50 sebuah syarikat makanan segera yang terkenal di seluruh negara. Lagipun, ia kurang seminggu menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan Ke-66.

Yang jelas, ini adalah pesta muzik anjuran pihak korporat dan swasta, tidak melibatkan kerajaan. Pihak swasta berkenaan mengambil kesempatan melalui pesta tersebut untuk mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan penggemar makanan segera kerana menyokong industri tersebut.

Bermula pada 1973 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, ratusan restoran berjenama tersebut kini terdapat di pelosok negara dengan hidangan yang dikatakan sehingga menjilat jari. Sejak itu ia merupakan satu resipi amat erat dengan selera kekeluargaan masyarakat negara ini amnya. Maka tiada keraian yang lebih mesra bersama keluarga sempena ‘hari jadi’ yang ke-50 tahun ini dan bergembira melalui pesta muzik buat julung kalinya. Ia berlangsung di Selangor dan kemudian di Sabah dan Johor, menampilkan 40 pemuzik tanah air.

Tidak hairanlah ramai khususnya generasi muda mudah terpikat dengan resipi dari Amerika Syarikat itu sebagai satu status ‘kemajuan’ yang didukung oleh masyarakat Barat dalam pembudayaan makanan cara terbaharu. Apatah lagi syarikat tersebut membawa masuk para seniman dan artis terkemuka sebagai penarik minat sempena pesta muzik jubli emasnya.

Hatta, Perdana Menteri bersama isterinya dilaporkan hadir di pesta tersebut bersama anggaran 8,500 penonton serta pengunjung lain, kebanyakan anak muda. Ketibaan Perdana Menteri disambut meriah oleh hadirin termasuk Menteri Komunikasi dan Digital selain para pegawai syarikat penganjur serta barisan artis penyanyi baharu dan legenda tempatan.

Apa pun, ekoran itu Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) berura-ura bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mewujudkan garis panduan khusus bagi jemputan pelajar tahfiz ke program tertentu. Sebelum ini JAIS ada mewujudkan Buku Peraturan Murid (Sistem Pembangunan Sahsiah Murid) bagi institusi tahfiz persendirian, namun tiada garis panduan khusus berkaitan jemputan pelajar ke program luar.

Kemusykilan awal yang terbit daripada saranan ini, apakah pihak lain termasuk Pejabat Perdana Menteri juga memerlukan garis panduan sama memandangkan mereka turut hadir dan dijemput untuk menikmati pesta sama? Dengan adanya garis panduan itu, maahad tahfiz dan sekolah agama dijangka lebih berhati-hati dalam memenuhi jemputan luar, tetapi bagaimana pula dengan pihak lain? Adakah mereka terlepas daripada badan-badan agama seperti PITAS dan JAIS? Apatah lagi ada perancangan untuk membawa pesta sama di negeri lain dalam Oktober ini.

Kekecohan juga berlaku dalam bab garis panduan dalam penganjuran konsert di institusi pengajian tinggi (IPT). Pada 31 Ogos lalu, sebuah akhbar bahasa Cina melaporkan Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT. Walaupun pada hakikatnya keputusan belum diambil dan belum diluluskan, memetik Menteri Pendidikan Tinggi.

Namun mengikut seorang agamawan berpengaruh, tidak timbul isu individu dari tahfiz atau bukan tahfiz jika pesta dihadiri tidak menjurus kepada perbuatan maksiat. Menurutnya lagi, Islam tidak double standard dan mereka dari tahfiz juga boleh menghadiri pesta keramaian dengan syarat bukan hiburan maksiat.

“Konsert yang dibenarkan oleh syarak ialah apabila kita hadir itu lagi mendekatkan kita dengan Allah dan makin terasa kita ini ialah hamba Allah.

“Kalau kita lupa pada Allah atau lupa pada diri, maka itu tidak diizinkan, bukan sahaja bagi tahfiz bahkan oleh mana-mana umat Islam,” katanya. Dalam konteks ini, ada yang menganggap pesta muzik berkenaan bukanlah satu maksiat.

Perdana Menteri dipetik: “Tak, itu bukan maksiat. Bukannya peluk-peluk, cium, minum arak, tak ada. Masa dia muda boleh, masa budak-budak ni tak boleh, dah jadi maksiat. Tak ada arak, tak ada pergaulan bebas.”

Beliau juga menyentuh bab jemputan pelajar-pelajar tahfiz dan menjelaskan dia tiada kena mengena dengan perkara itu kerana hanya datang atas undangan pihak penganjur.

Dalam kemelut ini, harus diakui isu makanan segara ini bukan sahaja kecoh dalam usia 50 tahun sekali seperti dilakar di atas. Isu makanan segera sudah lama mempunyai muslihat tersendiri berkaitan soal kesihatan seperti kegemukan terlampau ataupun obesiti. Kegemukan adalah satu penyakit kronik yang sedang menular dalam kalangan masyarakat dunia dan Malaysia khususnya.

Statistik melalui kajian kebangsaan pada 2011 mencatatkan 27.2 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah obes. Ini menunjukkan peningkatan berbanding 14 peratus pada 2006, bermakna 4.4 juta populasi dewasa adalah obes menjadikan Malaysia negara tertinggi mempunyai kadar obesiti dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Pendek kata, soal makanan segera perlu difahami dengan lebih luas lagi, kebaikan dan sebaliknya supaya rakyat tidak berkesudahannya yang rugi menjilat jari! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN