MUKADIMAH
WALAUPUN masih baharu memegang portfolio Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), iaitu sejak Mac lalu, DR. MOHD. ZUHAN MOHD. ZAIN sudah menyusun perancangan untuk merancak dan meningkatkan kesedaran terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tentang kepentingan mendaftarkan paten dan cap dagangan.
Ini berikutan era teknologi dan kegilaan mencipta pelbagai kandungan (content) yang dimuat naik di media sosial.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dalam mengupas kepentingan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini dalam menyediakan infrastruktur perundangan yang kukuh dan sistem pentadbiran cekap ke arah meningkatkan kreativiti dan eksploitasi harta intelek.
UTUSAN: Visi dan misi sebagai Pengerusi MyIPO?
MOHD. ZUHAN: Melihat harta intelek ini adalah satu perkara yang sangat penting di mana-mana negara pun. MyIPO satu-satunya agensi dipertanggungjawabkan untuk mendaftar harta intelek di Malaysia dan apabila membandingkan kesedaran rakyat dalam mendaftar harta intelek, peratusannya tidak memberangsangkan. Jadi, saya buat satu garis panduan dan pelan tindakan dengan meletakkan matlamat utama untuk meningkatkan peratusan pendaftaran harta intelek dalam kalangan rakyat dan juga pelabur luar.
Berapa banyak permohonan paten dan cap dagangan?
Sebanyak 262,690 pendaftaran diterima dengan 48 peratus di peringkat dalaman sementara 58 peratus lagi melibatkan pelabur luar. Kita menyasarkan pelabur luar kerana ada triti antarabangsa dan sebagainya.
Kita pun menggalakkan mereka melabur dan bila ekonomi negara baik, mereka akan mendaftar harta intelek apabila membuka kilang dan untuk memasarkan produk di Malaysia.
Biasanya peniaga akan guna tanda (™️) yang menunjukkan bahawa logo itu adakah kepunyaan dia. Tapi perlu ingat, tanda ™️ orang lain masih boleh menggunakan logo dicipta. Ini kerana ™️ bermaksud masih belum mendapat kelulusan sementara tanda R (registered) akan membolehkan hak seseorang dilindungi.
Sebab itu kita mahu peniaga mendaftarkan cap dagangan supaya tidak hilang hak mereka.
Mengapa masih ramai peniaga tidak mahu patenkan inovasi mereka atau mendaftar cap dagangan?
Ramai peniaga hanya pergi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendaftar perniagaan tetapi tidak ke MyIPO kerana kurangnya kesedaran tentang kepentingan untuk melindungi hak terhadap idea dan perniagaan.
Mungkin juga mereka lihat dari sudut kos dan menganggap mendaftar hanya melalui ejen tetapi sebenarnya boleh dilakukan secara langsung. Tidak perlu bayar kos lebih sebaliknya hanya membayar RM950 bagi cap dagangan untuk tempoh 10 tahun atau dengan kata lain, RM95 setahun. Harga ini amat murah dan sangat berpatutan.
Hal ini berlaku kerana tiada pendedahan di peringkat awal. Sebab itu ramai peniaga baharu beranggapan kewajiban untuk berniaga adalah dengan mendaftar perniagaan di SSM, sebaliknya mendaftar harta intelek tidak diwajibkan.
Peniaga baharu ini tidak tahu perniagaan mereka boleh ‘meletup’ dan bila ia berlaku, mulalah orang lain tiru, syarikat besar menciplak idea, rekaan dan sebagainya sementara peniaga baharu rasa dianiaya.
Kenapa tidak mewajibkan sahaja harta intelek sebagai syarat untuk membuka syarikat?
Ia di bawah akta kerajaan. Kalau kerajaan nak wajibkan, alhamdulillah kerana ia akan merancakkan (peranan) MyIPO. Dalam keadaan sekarang dengan kedudukan pejabat dan cawangan-cawangan, kita pastikan proses mendapatkan harta intelek akan lebih pantas.
Pun begitu, buat masa sekarang tiada perbincangan serius (mewajibkan syarat daftar harta intelek) tetapi usaha-usaha ke arah itu sudah kita mula fikirkan seperti jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan kita perlu lihat dari segi kos, adakah besar dan membebankan rakyat.
Adakah mendaftar paten hanya sesuai bagi tujuan perniagaan?
Paten lebih kepada pereka. Jika buat sesuatu produk dan bisnes tapi bukan mereka, dalam kes ini adalah cap dagangan.
Tetapi kalau ada produk sendiri, daftar paten agak rumit serta mengambil masa setahun lebih sebab perlu melihat satu per satu dari sudut apa yang nak didaftarkan. Ini penting kerana mereka akan marah jika produk mereka ditiru dan membawa kepada kerugian selepas melakukan kajian serta berjaya berdasarkan testimoni.
Contoh, mesin kait buah kelapa sawit, belum ada (paten) tapi kalau ada kajian dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai inovasi itu, maka patenkan cepat. Kalau tak, orang lain atau syarikat besar pastinya akan ambil formula ciptaan tersebut dan mengkormesialkannya.
Bagaimana satu-satu idea itu boleh ditukar menjadi harta intelek?
Apa-apa idea juga boleh bertukar menjadi harta intelek, sebab itu kita galakkan orang ramai mendaftar walaupun ia sekadar idea serta kreativiti dan bukan untuk berniaga.
Kalau peniaga, mereka paten untuk menjana ekonomi peribadi, syarikat ataupun negara.
Melalui harta intelek ini juga dapat melindungi hak seseorang mungkin untuk keturunan, peribadi dan sebagainya. Ia memberi kebebasan kepada seseorang, kerana itu kita menggalakan kerana ia secara tidak langsung memberi hasil kepada kerajaan.
Apakah kepentingan mendaftar paten dan cap dagangan?
Kita ambil contoh perniagaan tudung melibatkan usahawan terkenal tetapi dia tidak mendaftarkan paten, akhirnya orang cetak (corak yang sama) di Vietnam. Apa akan jadi? Bisnes dia akan merundum daripada keuntungan RM3 juta ke RM4 juta menjadi ratusan ribu sahaja. Bayangkan kalau dipatnkan, pastinya keuntungan boleh meningkat dan dapat membayar cukai kepada kerajaan dengan lebih banyak. Itu baharu seorang, berapa banyak usahawan ada di negara ini?
Apa itu Akta Hak Cipta 1987?
Akta ini lebih kepada pengkarya, penulis lirik, penulis buku atau mereka dalam bidang kreatif. Di MyIPO, apabila mereka mendaftar dengan nilai sebanyak RM200 sahaja, sudah layak mendapat hak perlindungan daripada diplagiat.
Begitu juga dengan kandungan-kandungan di media sosial, tidak kiralah sama ada di Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya sangat mudah ditiru sebab mereka tidak mendaftar hak cipta, sedangkan ada akta yang dapat melindungi mereka. – UTUSAN










