PERSOALAN mengenai kewajaran pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu diketepikan seketika untuk memberi ruang kepada proses menangani cabaran ekonomi semasa. Walaupun umum menyedari GST mampu membantu melonjakkan kutipan hasil negara, tetapi keutamaan ketika ini adalah untuk menggerakkan usaha bagi menangani cabaran ekonomi seperti yang digariskan dalam dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Keutamaan ini boleh dilihat dari tiga sudut utama melibatkan sasaran RMK12, aspek perkembangan global dan kewujudan isu ekonomi lapuk yang masih tidak dapat ditangani sepenuhnya.
Dalam konteks RMK12, sebahagian sasaran yang ditetapkan merupakan lanjutan daripada RMK11 (2016-2020). Keadaan ini wujud lantaran penularan pandemik Covid-19 pada penghujung tempoh RMK11 yang telah merencatkan keadaan ekonomi negara dan global. Contoh jelas boleh dilihat daripada sasaran pencapaian 40 peratus bahagian pampasan pekerja (CE) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dengan tampak peratusan CE yang semakin merudum dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan RMK12, jurang kepada sasaran CE kian melebar. Jurang pencapaian dan sasaran dianggarkan sekitar 4.9 peratus pada 2021 dan melebar kepada 7.6 peratus pada 2022. Bagaimana pula dengan 2023, adakah terus melebar atau semakin mengecil?
Sehubungan itu, kerangka KSP RMK12 telah menetapkan untuk menggerakkan usaha mencapai sasaran ini melalui inisiatif menangani ketidakpadanan bakat, melonjakkan produktiviti dan meningkatkan pendapatan buruh. Antara lain, inisiatif tersebut akan disokong oleh program pembangunan bakat dan kemahiran yang holistik dan pengenalan model gaji progresif.
Dari sudut perkembangan global, RMK-12 merupakan satu tempoh pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi yang sangat mencabar berbanding tempoh Rancangan Malaysia terdahulu. Ini kerana kita bukan sahaja berhadapan isu yang dibawa krisis pandemik, tetapi turut melibatkan isu berantai dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.
BANK DUNIA
Ketegangan geopolitik contohnya, memberikan impak besar kepada prospek perdagangan luar menyebabkan kelembapan aliran dagangan negara. Krisis perubahan iklim pula memburukkan lagi situasi keterjaminan makanan negara yang dihimpit tekanan inflasi.
Bagi memperkukuh prospek perdagangan luar khususnya, beberapa inisiatif penting telah dirancang melibatkan peningkatan hubungan dagang melalui pemanfaatan perjanjian perdagangan, peningkatan keupayaan eksport, peluasan akses pasaran dan sebagainya. Untuk mengatasi tekanan inflasi makanan pula, usaha dikerah untuk meningkatkan stok barangan makanan bagi mengimbangi harga dan menambah baik kecekapan sistem pengedaran.
Paling penting, kewujudan isu lapuk seperti peralihan struktur ekonomi yang perlahan perlu ditangani terlebih dahulu untuk mengelakkan Malaysia kekal terjerat dalam kategori negara berpendapatan sederhana. Perlu diingat, Malaysia telah berada dalam kelompok ini semenjak klasifikasi pendapatan negara mula digunakan dalam siri pertama Laporan Pembangunan Dunia yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada 1978.
Menyedari hakikat ini, usaha KSP RMK12 untuk mempercepat proses reformasi struktur ekonomi perlu diberikan keutamaan. Beberapa inisiatif yang diharap menggerakkan proses reformasi termasuklah lonjakan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), tumpuan pelaburan berkualiti tinggi dan lonjakan produktiviti.
Berbalik kepada pelaksanaan semula GST, sebaiknya hasrat ini dizahirkan secara jelas dalam kerangka Rancangan Malaysia yang seterusnya, iaitu RMK13. Melalui proses ini, pelaksanaan GST boleh disasarkan dalam tempoh penghujung pelan tersebut agar sistem ekonomi negara dapat disediakan sebaiknya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. – UTUSAN
Dr. Chakrin Utit ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).










