Jangan hanya gah berkempen tapi buat kerja tak reti

Jangan hanya gah berkempen tapi buat kerja tak reti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu lagi pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan pada minggu depan, kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang. Pada saat-saat akhir begini, suasana kempen akan bertambah panas. Sasaran utama mereka tentulah untuk memikat pengundi kelabu atau atas pagar. Pengundi putih sudah memihak kepada mereka manakala pengundi hitam memerlukan masa untuk dipikat.

Sebagai penyandang kerusi DUN Pulai, Barisan Nasional (BN) sudah pasti bermati-matian cuba mempertahankannya. Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, kekalahan di dua PRK sebelum ini, iaitu Pulai dan Simpan Jeram mesti ditebus untuk mengekalkan momentum gelombang hijau. Cuma jangan nanti gahnya hanya ketika berkempen. Rakyat mengharapkan hidup yang lebih sejahtera. Calon yang menang mesti mengotakan janji dan tidak lagi berdalih itu dan ini untuk melepaskan diri daripada menunaikan tanggungjawab.

Saya mengharapkan kempen kali ini lebih bersih daripada dua PRK yang baharu berlalu. Cukup-cukuplah mencipta persepsi, fitnah serta memainkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R). Kes yang ada masih belum selesai. Kempen politik bukannya lesen istimewa bagi membolehkan ahli politik berbuat sesuka hati. Biarlah menang penuh bermaruah. Pentas politik bukannya tempat menabur fitnah dan kata nista. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tertanya-tanya, kenapa suasana politik kita berubah sampai ke tahap ini? Menggunakan bahasa kasar kononnya kerana terlalu marah, bercakap tanpa isi bagaikan tin kosong, menabur janji setinggi bulan dan bintang, bermain persepsi. Malah menabur fitnah di sana sini bukan lagi sekadar penyedap rasa tetapi sudah menjadi syarat berkempen bagi sesetengah pihak. Itukah kualiti yang perlu ada pada seseorang pemimpin politik alaf baharu?

Hal ini berlarutan sehingga mereka dilantik menjadi wakil rakyat. Peraturan Dewan dibuang entah ke mana. Lihat sahaja suasana hiruk-pikuk semasa sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini. Walaupun Dewan Rakyat menyediakan mikrofon di meja setiap ahli Parlimen, tetapi mereka masih merasakan perlu menjerit-jerit untuk didengar. Inikah contoh keperibadian seorang pemimpin untuk dijadikan teladan kepada anak muda? Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.

Ke manakah hilangnya sopan santun dan keperibadian mulia seorang pemimpin, lebih-lebih lagi ketika berbahas di Parlimen? Masakan suasana perbahasan di Dewan Rakyat mahu dijadikan seperti ‘perdebatan’ di warung kopi tepi jalan atau pasar ikan? Walaupun ada pihak mengagumi sikap sedemikian yang dikatakan lantang dan berani, ramai juga menggeleng kepala kerana kecewa. Apakah ini cerminan budaya moden abad ke-21?

 

CALON yang menang mesti mengotakan janji dan tidak lagi berdalih itu dan ini untuk melepaskan diri daripada menunaikan tanggungjawab. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

JAGUNG
Pesan orang tua, jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin jegang. Budaya pemimpin politik sebegini bertentangan dengan budaya sopan dan nilai murni yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat di negara ini. Pemimpin dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk berpolitik siang dan malam. Lakukanlah perkara yang baik demi rakyat dan negara. Pemimpin diundi kerana janji-janji mereka. Yang memerintah negeri, jagalah negeri masing-masing dahulu. Selesaikanlah masalah rakyat yang menaruh kepercayaan kepada mereka.

Dalam kekalutan politik, rakyat masih bertuah kerana kita mempunyai raja-raja Melayu untuk mengadu nasib. Tindakan bijak dan tangkas Yang di-Pertuan Agong ketika keadaan politik negara berada di saat genting pada Februari 2020 telah menyelamatkan negara daripada pergolakan. Ia menyedarkan rakyat akan betapa besarnya peranan Seri Paduka sebagai Ketua Negara, berbanding kedudukan pemimpin politik yang boleh silih berganti.

Sejak krisis politik 2020 jugalah, rakyat semakin sedar kepentingan institusi diraja di negara kita. Yang di-Pertuan Agong sebagai pemegang kuasa utama menjadi sandaran kita ketika kemelut politik meruncing. Ketika kerajaan jatuh akibat peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, segala urusan negara masih boleh terus berjalan kerana Seri Paduka mempunyai kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita turut kagum ketinggian peribadi serta budi pekerti Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong yang menjadi payung negara. Benarlah kata-kata, bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. Hal ini menyuburkan lagi rasa hormat rakyat kepada institusi diraja di negara ini. Malah, Seri Paduka juga menjadi tempat rakyat mengadu nasib.

Lihat sahaja betapa meriahnya sambutan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat ketika Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong beserta rombongan diraja melawat Sabah dan Sarawak, baru-baru ini. Kunjungan Seri Paduka seolah-olah memberi nafas dan sinar baharu kepada rakyat setelah sekian lama dihimpit pergolakan politik tiada hentinya. Di mana-mana sahaja, rakyat amat teruja dan berasa bangga dapat menyambut rombongan diraja.

Rakyat mahu hidup dalam keadaan lebih tenang. Tiada siapa pun mahu berada di negara yang sentiasa bergolak. Masih banyak cabaran di hadapan kita. Terlalu lama masa dibazirkan akibat perebutan kuasa. Apa gunanya diangkat sistem demokrasi jika perkara asas dalam prinsip demokrasi tidak mahu dihormati? Janganlah sampai menggadaikan maruah bangsa dan negara demi perjuangan politik dan perebutan kuasa.

PRK Pelangai ialah medan pertempuran antara gabungan kerajaan dan PN, manakala calon Bebas yang merupakan bekas ahli UMNO dilihat sekadar memecah undi. Hal sebegini bukanlah perkara luar biasa dalam politik kita. Bolehkah suhu politik negara distabilkan kembali selepas keputusan PRK Pelangai diumumkan? Kita mengharapkan pemimpin politik bersikap matang agar keadaan politik negara kembali stabil.

Selamat mengundi, buatlah pemilihan yang bijak.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×