SESEKALI ‘lalu’ sahaja di telefon bimbit ini satu dua insiden pertikaman lidah di Parlimen.
Tetapi beberapa hari lepas, buka sahaja mesej dari sekurang-kurangnya enam grup WhatsApp, bertebaran respons akan satu insiden dalam Dewan Rakyat yang terjadi Selasa lalu.
Kelihatan lebih banyak dari kurang banyak respons yang ‘lalu’ di telefon bimbit ini dan media sosial menghentam gelagat sebilangan ahli parlimen terbabit.
Antaranya yang menyebut: “Parliament, jokers macam pasar borong. Semua melaung sensasi saja. Bahas tiada substance. Supposed to be The Master Plan Review RMK12. Kalau banding dengan Corporate MPlan review, macam standard 6 compared to Univ. Emosi benda yang pada kepentingan rakyat, perkara itu tiada dapat faedah apa-apa.
Sia-sia. Rugi masa depan saja dan wang rakyat juta-juta. Lupa diri mereka makan gaji dengan rakyat. Itulah standard wakil rakyat yang dipilih. Macam mana Melayu dan negara nak maju.”
Itulah wakil rakyat ada tiga standard:
* Diri lain
* Rakyat lain
* Lawan lain
I cannot imagine 3 jokers, muka baru can spoilt Parliament session.”
Itu antara satu daripada yang terbanyak respons diterima oleh saya (penulis).
HARI HITAM?
Apa? Hari Hitam buat Parlimen Malaysia?
Menyaksikan berulang kali klip video pendek seorang ahli parlimen menyanggah perdana menteri dalam sidang Dewan Rakyat itu, saling tak tumpah macam kempen pilihan raya.
Secara tiba-tiba ahli parlimen itu naik syeikh. Padahal apa yang dituju kepadanya merujuk ‘kerajaan Putrajaya’ di masa lepas. Penonton di luar Dewan pasti tidak tahu apa antara ‘aksi atau tindak tanduk’ ahli parlimen terbabit sehingga mendorong perdana menteri melontarkan ‘peluru’ terhadapnya.
Memerhati insiden, sekejap sahaja yang boleh disimpulkan begini – tidak perlu sebenarnya aksi menjerit-jerit sedemikian rupa. Tiada isu besarpun sehingga membawa aksi sebegitu rupa. Melainkan jika motifnya mahu mengundang reaksi mata di luar dewan, barangkali ada ‘kejayaan besar’ di situ.
Mengatakan ia ‘hari hitam untuk Parlimen Malaysia’, kita cukup yakin rakyat negara ini yang bijaksana maklum tuduhan DNAA tidak membabitkan ahli parlimen terbabit.
Dan rakyat Malaysia faham yang dimaksudkan oleh perdana menteri akan isu tuduhan ‘DNAA’ itu merujuk kepada kerajaan ‘Putrajaya’ sebelum ini.
Jadi, apa sebenarnya yang benar-benar terjadi dalam minggu pertama dan minggu kedua sidang Dewan Rakyat tempoh hari.
Jawabnya: Sebahagian ahli parlimen terbabit tidak berminat untuk bercakap tajuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Mereka berterusan jadikan Dewan Rakyat gelanggang kempen pilihan raya.
Bukankah banyak isu berkepentingan rakyat dengan tiada minat pelajar Melayu belajar sains dan matematik masuk sahaja ke Tingkatan 4; keciciran Internet; kesusahan mereka dalam p-hailing, e-hailing; pengangguran lepasan universiti dan ishhh banyak lagi masalah negara ini.
Tapi…
Benarlah ungkapan disebutkan di awal tadi: Sia-sia. Rugi masa depan saja dan wang rakyat juta-juta pilih sebilangan ahli parlimen terbabit bawa mandat rakyat dalam Dewan. Lupa diri mereka makan gaji dengan rakyat.
KACA ATAU PERMATA
Dan sekali lagi yang cukup membimbangkan kita jika ada andaian dalam kalangan ahli-ahli parlimen yang bikin gegak gempita Dewan Rakyat tempoh hari bahawa orang Melayu tidak bijak untuk menilai mana satu kaca dan permata. Kerana dikatakan daripada keseluruhan 21 juta pengundi, kira-kira 60 ke 70 peratusnya masih gemarkan gosip, persepsi dan dambakan kontroversi. Untuk dapatkan fakta sebenar, malas. Fikiran mahu jalan pintas belaka. Sebab itu TikTok merajai kehidupan.
Mengamati sekali lagi gelagat hiruk-pikuk ahli parlimen kita bersidang, teringat rakyat Malaysia dengan satu lukisan yang dibeli oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada April tahun lepas.
Karya lukisan itu memaparkan Dewan Rakyat yang dipenuhi haiwan seperti katak dan monyet. Karya itu hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua orang lagi kakitangan Parlimen.
Kesemua tempat duduk dalam Dewan Rakyat diisi oleh haiwan-haiwan seperti katak, monyet, beruk dan gorila. “Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan. Sebaik sahaja melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di private study room baginda.
“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan pembelian karya itu.-UTUSAN