TANAH sawah kita dari tahun ke tahun menyusut. Dirampas sebab pembangunan, perumahan dan punca-punca tak pasti. Ada petak-petak sawah saban tahun diganti tanaman sawit dan pisang.
Dari Perlis sampai ke Sabah boleh diperhitungkan kemerosotan tanah sawah ini. Lebih kerap terjadi sejak 2018 lagi sehingga kehilangan menelan ribuan hektar. Apa nak jadi, tak boleh jadi.
Sekuriti makanan kita sudah tahap kritikal. Bergantung pada import beras sebanyak 35 peratus. Keperluan rakyat kira-kira 2.4 juta tan metrik setahun. Sedangkan negara hanya hasilkan 1.7 juta tan metrik beras (data 2021) tempoh yang sama.
Siapa patut dipersalahkan? Menteri Besar? Kerajaan Pusat? Kementerian terbabit? Agensi terlibat? Pemain politik negeri? Masing-masing akan saling tuding menuding.
Pokok pangkalnya sekiranya politik kita teratur dan ikhlas perjuangannya, sudah lama kita pacu jauh ekonomi domestik, serantau dan Asia. Tetapi akibat kedangkalan sebahagian politikus, kita merudum.
Kita tidak pernah ukur baju di badan sendiri. Bukan setakat politikusnya begitu begini fi’ilnya, orang kita pun lebih kurang sama kelakunya. Sebahagian besar pengundi Melayu masih suka dengar gosip.
Terperangkap dek sentimen dan persepsi. Mudah dipermain oleh sebilangan ahli politik yang ‘menangguk di air keruh’ demi mempertahan kuasa dan berebut jawatan. Apa nak jadi, tak boleh jadi.
Kalau diperhatikan, kita makin merudum dari dekad ke dekad. Asyik bertumpu kepada politik, orang politik yang kita harapkan tidak ambil peduli, kurang pasti tentang satu lagi topik besar, geopolitik. Ya, geopolitik berkisar kajian menganalisis geografi, sejarah serta sains sosial, dengan rujukan kepada politik antarabangsa.
Berkaitan strategi geografi, dengan geografi ditakrifkan dari segi lokasi, keluasan dan sumber kawasan-kawasan.
BAWAH TEMPURUNG
Tak pasti sama ada orang politik kita faham pasal geopolitik. Leka bermain politik di bawah tempurung, alih-alih China mengumumkan peta sempadannya yang terbaharu. Edisi 2023 lagi, yang kali ini meletakkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Sabah dan Sarawak jajahan takluknya.
Tindak-tanduk kuasa besar itu tidak menghairankan kerana selama ini kita sering didendangkan dengan pencerobohan ruang udara di ZEE dan perairan Laut China Selatan.
Tanah Melayu pernah kehilangan wilayahnya yang lebih kecil dari Perlis. Disusuli kemudian pulau sebesar separuh padang bola sepak. Namun mujurlah Sipadan dan Ligitan haknya kepada kita.
Bab geopolitik ini harus menjadi perhatian serius badan tersohor mengendalikan hal ehwal sejarah negara. Ia harus melibatkan kepakaran antarabangsa, wilayah serta tempatan dalam apa jua program bertemakan sejarah.
Hakikatnya terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Tuntutan Filipina dan geng Sulu terhadap Sabah; kesan sejarah tentang pentadbiran Brunei terhadap wilayah-wilayah Sarawak dan Sabah serta apa yang dinamakan watershed areas.
Kawasan-kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris banyak yang dipertikai kerana tiadanya terdapat batu sempadan. Itu belum lagi kita bicara isu-isu cukup rumit membabitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung yang sudah ‘ditandakan’ banyak negara di perairan luas Laut China Selatan.
Masalahnya – orang politik mana yang boleh kita rujuk atau peka hal-hal geopolitik begini? Kalau pun yang kerap berbicara ada seorang, Azmi Hassan. Cuma dia bukan orang politik, dia ahli akademik.
Pergi kepada pakar sejarah pula, siapa lagi boleh dirujuk? Masyarakat barangkali mudah terpegun dan terima sahaja huraian berkaitan sejarah sehingga tidak ada modul yang berperanan menapis fakta dan analisis.
Tidak ketahuan sama kita ada modul standard atau piagam sejarah yang boleh dan layak dianggap seratus peratus autoritatif – dalam menentukan sejarawan mana yang ‘boleh tahan’, yang baik, yang neutral, yang terperinci kajian serta naratifnya.
Untuk mendapatkan status sejarawan luhur bagi sesuatu topik atau bidang sejarah berkenaan barangkali kita tertumpu kepada kepada satu dua nama sahaja seperti Wang Gungwu, 92; Dr. Ahmat Adam, 82; Dr. Ramlah Adam, 73, dan suatu ketika mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim. Kelibat pakar-pakar sejarah lain mewakili generasi hari ini di mana mereka?
Apa usaha kita untuk mewujudkan deretan sejarawan berkaliber, archeologis berwibawa, etymologis, pakar antropologi atau pengkaji pra sejarah setanding S. Oppenheimer yang memperincikan Melayu sebagai sebahagian bangsa Austranesian yang memang penduduk asal dunia Melayu.
TEMBOLOK SENDIRI
Sekuriti makanan dan geopolitik – dua bab penting yang perlu dihadam oleh orang politik. Tetapi kalau apa yang kita ada hari ini hanya ahli politik atau wakil rakyat ‘separuh masak’, Malaysia sedang dalam bahaya.
Jika wakil rakyat dimiliki kita dari kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya fikirkan tembolok sendiri untuk satu-satu penggal, negara ini takkan ke mana. Jika tidak sampai daya fikir pengetahuannya tentang sekuriti makanan dan geopolitik, negara ini sukar bertahan – diratah sempadannya berdikit-dikit, dipinggir ekonomi dan pembangunan fizikalnya.
Dan jika orang Melayu masih gemarkan calon-calon pilihan raya ‘kaki temberang, beretorik memanjang, berpencak silat dengan metafora dan lawak jenakanya’, kita boleh tepuk dahi. Sudah tahu ke mana hala tuju yang mahu dibawa negeri dan negara ini. Apa nak jadi, tak boleh jadi.
Kerana politik itulah yang merubah negara bangsa disebabkan melalui prosesnya, ketentuan perjuangan dan hak-hak individu serta kelompok dapat dinyata dan diterjemahkan. Kuasa politik itulah yang melahirkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta perkembangannya yang pula mampu mengubah sejarah tanah air.
Kuasa politik itulah yang menjamin hak-hak istimewa Melayu dan komuniti lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), berkuasanya raja-raja Melayu wujudnya pengasingan kuasa, norma-norma pentadbiran – semuanya hasil perjuangan politik.
Kuasa politik itulah yang menjamin tanah sawah tidak susut dan kedaulatan negara dijaminkan. Kata kuncinya – politik penentu negara bangsa. – UTUSAN