5G: Ambil iktibar isu katering MAS

5G: Ambil iktibar isu katering MAS

LIPUTAN rangkaian 5G di kawasan berpenduduk dilaporkan telah mencecah 68.8 peratus setakat 31 Ogos lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 Julai lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) terdiri daripada CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan rundingan berkaitan pemeteraian perjanjian langganan saham (SSA) dalam pengendali rangkaian 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB) dalam masa terdekat.

Pemeteraian SSA ini penting kerana ia akan menyokong pembangunan rangkaian 5G sehingga mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini. Ia yang menjadi sebahagian perancangan kerajaan untuk memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui entiti baharu akan diwujudkan awal tahun depan dan menukar model ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian.

Pembangunan rangkaian 5G dengan model SWN melalui DNB akan diteruskan hingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Selepas itu, model rangkaian 5G akan beralih kepada model dwirangkaian dijalankan oleh satu entiti baharu yang akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB pada Januari 2024.

Pada 29 Ogos lalu, Fahmi menyatakan, DNB dijangka memuktamadkan dan membuat pengumuman berkaitan pemeteraian SSA ini dalam mesyuarat DNB pada 30 Ogos yang turut dihadiri wakil penyedia perkhidmatan telekomunikasi disusuli pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif serta barisan kepimpinan baharu DNB.

Kelmarin pula, Fahmi menyatakan, semua MNO di negara ini dijangka menandatangani SSA mengenai pemilikan ekuiti dalam DNB dalam masa terdekat di mana pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara dapat dipercepatkan dengan penglibatan MNO dalam DNB yang ditubuhkan kerajaan bagi memacu pembangunan rangkaian 5G negara.

Kata Fahmi, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk telah mencecah 68.8 peratus setakat 31 Ogos lalu. Dijangka mencapai 80 peratus menjelang hujung tahun ini, paling lewat mungkin Januari (tahun hadapan) jika semua berjalan lancar.

Semua ini adalah perkembangan baik, namun timbul persoalan, bila MNO memiliki ekuiti dalam DNB, sanggupkah MNO membayar balik kos penyediaan infrastruktur seperti menara telekomunikasi 5G yang telah dikeluarkannya sebelum ini dan sanggupkah MNO mengenakan caj murah seperti dikenakan bila mereka terpaksa menanggung semua kos tersebut memandangkan konsep MNO adalah berasaskan keuntungan secara maksimum?

Adalah dijangkakan MNO kemungkinan besar tidak akan mahu menanggung semua kos yang sudah DNB keluarkan sebelum ini. Ada kemungkinan hayat DNB yang ditubuhkan pada 1 Mac 2021 sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dengan mandat untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara menggunakan model rangkaian borong tunggal (SWN) akan berkekalan.

Usaha untuk menukar model SWN menjadi dwirangkaian borong (DWN) atas alasan untuk mengelakkan kewujudan monopoli, memberikan transparensi serta inklusiviti tidak boleh sepenuhnya diterima pakai.

MAKANAN SENDIRI

Kita tidak mahu menjadi macam anak syarikat katering penerbangan Kumpulan Brahim’s, Brahim’s Food Services Sdn. Bhd. (BFS) yang menyediakan perkhidmatan katering dalam penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) secara monopoli dengan baik selepas kerajaan membenarkan pihaknya mengambil alih MAS Catering pada 2003.

Bagaimanapun, Malaysia Aviation Group (MAG) selaku syarikat induk MAS dengan tiba-tiba menamatkan kerjasama itu pada 30 Jun lalu dengan pelanjutan perkhidmatan selama dua bulan berakhir 31 Ogos menyebabkan timbul pelbagai rungutan dalam media sosial mengenai penurunan kualiti perkhidmatan katering dalam penerbangan MAS selepas itu.

Penumpang MAS dibenarkan membawa makanan sendiri di atas pesawat untuk laluan terjejas dalam tempoh MAS menawarkan pilihan makanan dan minuman (F&B) alternatif sambil meneroka secara aktif penyedia perkhidmatan baharu dan kemudiannya mendorong kedua-dua pihak, MAG dan BFS kembali terbuka bagi menjalin kerjasama.

Ini kerana tidak semua pihak yang terbabit dalam sektor F&B mampu menjadi penyedia katering dalam penerbangan kerana penyediaannya memerlukan kemahiran dan mematuhi setiap aspek keselamatan dan kesihatan ditetapkan oleh pihak antarabangsa.

Samalah juga halnya dengan pemberian kebenaran kepada firma telekomunikasi untuk mempunyai infrastruktur 5G sendiri yang tidak sesuai dilakukan. Ini kerana selain kemahiran dan jaminan kebajikan rakyat, ia juga boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan siber negara menjadikan aset penting negara perlu dikekalkan melalui pemilikan monopoli.

Sejak pengumuman dibuat pada 3 Mei lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada DWN, siapakah pemaju kedua ini masih lagi tidak diketahui walaupun banyak desas-desus menyatakan Huawei.

Jadi, kalau betullah Huawei yang akan dipilih pemaju kedua 5G Malaysia, maka ini boleh mendatangkan risiko ancaman terhadap keselamatan negara. Antara pulangan ekonomi dengan kedaulatan negara, pastilah kedaulatan negara wajib diberikan keutamaan kerana kawalan syarikat asing ke atas 5G boleh menyebabkan data-data sensitif dalam negara terdedah.

Kos penyediaan dan penyenggaraan apabila dua entiti membuat servis yang sama juga perlu diambil kira. Lebih-lebih lagi apabila kos-kos yang besar diperlukan untuk infrastruktur utama di mana ini mungkin akan disubsidikan oleh pihak luar bagi menjadikan kos pemasangan lebih murah tetapi mungkin untuk kepentingan geopolitik menyebabkan boleh timbul isu keselamatan.

Oleh itu, cadangan untuk mewujudkan satu entiti baharu yang akan menjadi rangkaian kedua pelaksanaan 5G melalui penggunaan model DWN pada Januari 2024 mungkin sahaja akhirnya menuju kegagalan dan DNB akan terus menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara menggunakan model SWN. – UTUSAN

PENULIS ialah pembangun perisian bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×