Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97, baru-baru ini mengingatkan kita kembali tentang pentingnya semangat akomodasi antara kaum. Walaupun dalam titah Seri Paduka, seruan dibuat kepada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk menyuburkan semangat akomodasi antara kaum, namun pada hakikatnya ia merupakan satu amanat harus diteladani oleh setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bahasa.
Apabila memperkatakan tentang semangat akomodasi antara kaum, kita perlu memahami konsep itu sendiri terlebih dahulu. Akomodasi adalah satu proses di mana setiap kaum sedar tentang wujudnya norma dan nilai tradisi yang dimiliki dan diamalkan oleh kaum-kaum lain. Dan dalam masa sama, setiap kelompok yang berada dalam entiti politik tersebut terus mempertahankan budaya dan nilai hidup masing-masing.
Dalam konteks Malaysia, konsep ini amatlah serasi. Kewujudan pelbagai kaum atau etnik dengan pegangan agama dan kepercayaan, bahasa dan adat resam berbeza, melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang hidup bersama. Walaupun mempunyai banyak perbezaan, tetapi itu tidak menjadi satu halangan kepada masyarakat untuk mengenali norma dan budaya kaum-kaum lain di samping terus mengamalkan nilai kehidupan sendiri.
Tidak hairanlah jika dikatakan rata-rata masyarakat dunia menganggap Malaysia adalah antara negara majmuk yang berjaya memelihara keunikan semua kaum tanpa cuba mengikis identiti asal mereka.
Semangat akomodasi antara kaum sangatlah penting, lebih-lebih lagi di sebuah negara rencam seperti Malaysia yang senantiasa berdepan dengan isu-isu sensitif melibatkan kaum. Walaupun ada tikanya negara terjerumus dalam kancah kerenggangan hubungan antara kaum seperti peristiwa 13 Mei, namun para pemimpin kita berjaya mengemudi kembali negara ke arah kestabilan.
Kita seharusnya berlapang dada dan bersyukur kerana bukan semua negara seperti Malaysia mampu mengharungi ribut gelora yang membadai hubungan antara kaum. Ada negara sehingga kini terus bergelumang dengan permasalahan masyarakat majmuk yang tidak selesai sudah.
Bagi memastikan negara terus berada dalam landasan kestabilan, semangat akomodasi antara kaum seharusnya dipupuk dalam diri semua rakyat. Antara cara terbaik ke arah tersebut ialah semua rakyat tanpa mengira kaum harus menghormati norma dan nilai yang dipegang oleh kaum-kaum lain. Mungkin apa yang diamalkan adalah berbeza dengan nilai dan norma kita, tetapi kita harus menerimanya dengan minda terbuka. Sedangkan lima jari kita sendiri tidak sama, apatah pula dengan orang lain yang berlatarbelakang sejarah dan budaya berlainan.
Di era moden ini, dengan ledakan teknologi, hampir tiada negara yang mempunyai masyarakat bersifat homogen. Pergerakan manusia tanpa sempadan memungkinkan wujudnya taburan masyarakat majmuk di setiap pelosok negara. Maka, untuk meraikan kewujudan bersama (mutual coexistence) adalah melalui pengamalan budaya bertolak ansur. Hanya dengan mengamalkan sikap toleransi, maka setiap kaum dapat hidup secara harmonis.
GEOPOLITIK
Apa yang penting ialah kita perlu menyedari bahawa setiap kaum memainkan peranan serta memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara dengan cara tersendiri. Tanpa kerjasama daripada semua kaum, tidak mungkin negara kita mampu berjaya seperti yang ada sekarang. Bak kata peribahasa Melayu, bagai tebing bergantung ke aur.
Dalam pada itu, rasa kebimbangan yang dizahirkan oleh Seri Paduka terhadap bahaya polarisasi harus diberikan perhatian. Keresahan Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara adalah wajar sekali kerana bukan hanya keutuhan geopolitik dan perkembangan ekonomi memadai, tetapi juga faktor hubungan antara kaum sebagai pelengkap ke arah pengukuhan kestabilan negara.
Jangan kita lupa, antara punca yang membenamkan kestabilan politik dan perkembangan sosioekonomi adalah disebabkan faktor polarisasi. Polarisasi atau kerenggangan hubungan antara kaum akan terus berlaku sekiranya ada pihak yang terpengaruh dengan perasaan, tujuan dan cita-cita untuk menjaga kepentingan satu-satu kaum mencetuskan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.
Perbuatan sedemikian hanya akan menggugat perpaduan dan keharmonian kaum. Lebih-lebih lagi, keadaan ini akan membawa kepada satu peringkat lebih berbahaya, iaitu penularan unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme yang tidak sepatutnya wujud dalam sebuah masyarakat majmuk.
Rakyat seharusnya berpegang kepada perlembagaan negara. Setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mencerminkan kepentingan semua kaum, baik orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Sarawak dan orang Sabah terpelihara secara keseluruhan. Tidak ada mana-mana kaum terpinggir dalam perlembagaan negara. Itu yang pasti.
Masyarakat bukan Melayu perlulah menerima dan menghormati perkara- perkara melibatkan hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sarawak serta Sabah, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu. Orang Melayu juga perlu menghormati kedudukan bukan Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan. Dalam hal ini, tidak ada mana-mana pihak mempunyai hak untuk melakukan sesuatu perbuatan melangkaui Perlembagaan Persekutuan. Jika ada persefahaman jitu antara semua kaum di negara ini, sudah tentunya tidak akan berlaku polarisasi yang dibimbangi oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ikhtisarnya, dalam usaha menyemai dan menyuburkan semangat akomodasi antara kaum, rakyat perlulah tekad untuk membina kesatuan pemikiran sebagai bangsa Malaysia. Cuba lihat negara ini sebagai keluarga besar, iaitu keluarga madani. Terima dan hormat persamaan dan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita. Tepiskan unsur-unsur yang cuba merosakkan pembinaan bangsa Malaysia. Nescaya semangat akomodasi antara kaum akan mewarnai negara tercinta. – UTUSAN
Dr. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










