MUKADIMAH
RUNGUTAN penduduk yang mendakwa sukar melihat kelibat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sehingga menyebabkan kawasan itu kekurangan dari segi prasarana menyebabkan calon pilihan raya negeri (PRN) di kerusi tersebut, DATIN SABRINA AHMAD mewakili Pakatan Harapan (PH) nekad membawa perubahan baharu sekali gus mengubah landskap politik di situ.
Beliau ketika bercakap kepada Utusan Malaysia menyatakan, tanpa perlu berkempen secara besar-besaran, yakin penduduk di kawasan itu mahukan perubahan termasuk dari sudut pucuk pimpinan.
“Saya tahu apa masalah dan keperluan penduduk di Jitra dan jika diberi mandat, saya akan memperjuangkan kepentingan mereka di peringkat kerajaan Pusat,” itu janji beliau.
UTUSAN: Mengapa menceburi politik?
SABRINA: Tujuan saya hanya satu, untuk melihat negara membangun, masyarakatnya menjadi lebih bersatu-padu dan paling penting, anak-anak muda terus maju ke depan.
Saya tidak mahu golongan belia kita ketinggalan berbanding rakan-rakan mereka di negara lain. Saya yakin pengalaman luas saya dalam bidang perniagaan akan dapat membantu membuka ruang dan jalan untuk melahirkan lebih ramai golongan usahawan.
Apa yang mereka perlukan ialah panduan, kemahiran serta bantuan dana yang boleh didapati daripada banyak agensi dan institusi sedia ada. Saya akan berkongsi pengalaman bagaimana kesukaran membina (empayar) dari bawah sehingga berjaya. Pada masa sama, apa-apa kelebihan dari sudut kewangan hasil daripada perniagaan saya akan digunakan untuk membantu golongan susah.
Mengapa memilih PKR sebagai platform politik?
Saya tertarik dengan tujuan dan matlamat perjuangan PKR yang sejiwa dengan prinsip hidup. Kalau dilihat dalam Perlembagaan PKR, ada 17 tujuan dan matlamat perjuangan yang semuanya memberi citra baharu yang segar kepada politik. Paling penting ialah mewujudkan masyarakat adil dan negara demokrasi yang progresif serta bersatu kerana sekian lama kita melihat ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran negara dengan pihak yang kaya dan berkuasa menikmati kemewahan manakala golongan miskin terus papa kedana kerana kebobrokan sistem yang kita ada.
Begitu juga situasi masyarakat yang selama ini bersifat regresif dan berpecah-belah dengan isu-isu picisan perkauman dan keagamaan yang menghalang negara bergerak ke depan.
Kelebihan lain ialah PKR adalah parti marhaen yang memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil, mempertingkatkan martabat dan peranan wanita dalam kehidupan masyarakat, memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja serta meningkatkan mutu hidup Orang Asli.
Kelebihan Datin berbanding pesaing dari Perikatan Nasional (PN)?
Saya telah lama bergiat aktif dalam masyarakat di Kubang Pasu sejak menceburkan diri dalam bidang politik pada 2007 sehingga menjadi Ketua Wanita PKR Kubang Pasu dan Ketua Wanita PKR Kedah pada 2018.
Seterusnya Ketua Wanita PKR Merbok, Ketua Wanita PKR Kedah, Ketua Wanita PH Kedah dan Bendahari Wanita PH Pusat mulai 2022. Banyak kerja kemasyarakatan di lapangan di sekitar Kubang Pasu yang saya lakukan sejak lebih 10 tahun lalu membolehkan saya menyelami denyut nadi masyarakat.
Saya mungkin tidak mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) seperti pesaing saya, tetapi itu bukanlah penentu untuk menjadikan kita seorang pemimpin yang baik. Kita tidak perlu kepada ijazah berderet-deret atau popular di media sosial, tetapi yang lebih diperlukan ialah kebolehan membuat kerja dan kesenangan untuk didekati oleh rakyat. Saya sentiasa turun padang, tidak bersikap elitis dan sentiasa membuka pintu rumah dan pejabat kepada rakyat. Saya juga anak Kedah, jadi saya lebih faham dengan kehendak dan naluri rakyat negeri ini berbanding pesaing yang merupakan anak Selangor.
Lebih penting lagi, saya punya jawatan dalam parti baik di peringkat bahagian, negeri dan Pusat yang akan memudahkan saya membantu rakyat.
Bagaimana sambutan pengundi ke atas kempen Datin?
Saya sangat bersyukur dengan sambutan yang sangat tidak disangkakan. Pendekatan saya ialah kempen pada skala kecil dengan membuat lawatan ke rumah, kedai, pasar dan bukan ceramah besar-besaran kerana saya percaya mendekati rakyat secara personal akan membolehkan kita menjalinkan hubungan rapat berbanding ceramah besar-besaran yang bersifat superficial dan sehala tanpa ada kesempatan untuk beramah-mesra dan mendengar permasalahan mereka. Saya percaya rakyat Kedah akan lebih terbela dengan gabungan kerajaan perpaduan ini.
Perancangan jika menang?
Bila saya turun berjumpa dengan pengundi di lapangan, saya terkejut dengan banyak kekurangan yang saya lihat. Walaupun Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra sebelum ini dan sekarang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk sebagai Menteri Besar, tetapi bila santuni penduduk, saya dimaklumkan kelibat mereka jarang kelihatan setelah menang. Sebab itu prasarana di sekitar Jitra banyak kekurangan seperti stesen bas, parkir kereta, jalan, longkang, lampu jalan, tapak pasar malam, pusat sukan dan rekreasi, jaringan internet, rata-rata pada tahap yang daif.
Jika menang di Jitra, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah mewujudkan sebuah pejabat dilengkapi dengan pegawai sepenuh masa yang akan memudahkan urusan hubungan dengan rakyat. Setiap aduan dan masalah mereka akan kita ambil berat dan tangani dengan segera.
Saya juga akan merangka program khusus untuk memberdayakan dan menjaga kebajikan anak muda selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Untuk itu, saya akan memanjangkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kerajaan Pusat, iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) di Jitra selain program khusus untuk membantu golongan ibu tunggal dan belia yang keciciran melalui program keusahawanan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Selain itu, saya juga akan mengusahakan pusat sukan dan rekreasi yang bermutu untuk Jitra.
Apa peluang PH-BN untuk menguasai DUN Kedah dalam PRN ini?
Ramai rakyat tertekan dengan kegagalan kerajaan sebelum ini dalam menyediakan kemudahan asas termasuk paling kritikal ialah bekalan air bersih. Ramai yang dahagakan pembangunan dan merungut tentang kekurangan peluang kerja.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan menukar tampuk pemerintahan kerajaan negeri supaya sama dengan kerajaan Pusat kerana bila kerajaan tidak selari tidak banyak yang boleh dilakukan. Saya yakin dengan kesepaduan team BN-PH termasuk di Jitra, kita akan mampu mencatatkan kejutan dan kalih Kedah bagi sama. – UTUSAN










