Sanskrit, Jawi dan bahasa pertiwi

Sanskrit, Jawi dan bahasa pertiwi

RAIS Yatim (baris depan, enam dari kanan) hadir dalam Persidangan Antarabangsa Malaysia dan India anjuran Persatuan Warisan Malaysia-India dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di ibu negara, 19 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROSES Indianisasi atau pengaruh unsur budaya, warisan, agama, kepercayaan, bahasa, sejarah dan pemikiran India-Hindu di Tanah Melayu khususnya dan Kepulauan Melayu amnya diperkatakan pada Persidangan Antarabangsa Malaysia dan India pada 19 Ogos lalu. Persidangan ini yang berusaha meneliti hubungan budaya dan warisan antara kedua-dua negara dianjurkan oleh Persatuan Warisan Malaysia-India dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Pusat Kebudayaan India, Brickfields, Kuala Lumpur.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam ucap utamanya menegaskan perlunya hakikat Indianinasi yang berlaku pada masa lalu dan masih berlarutan sehingga kini diperakui dan dihargai.

“Ada lebih kurang 500 perkataan Sanskrit yang menjadi sumber kepada pembentukan kosa kata Melayu yang masih kita gunakan hari ini. Walaupun pantun adalah puisi tradisional yang sepenuhnya milik orang Melayu, ia juga menerima pengaruh daripada sloka atau seloka dalam sastera Sanskrit,” katanya.

Rais yang pernah menjadi menteri di pelbagai kementerian dan merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan turut melahirkan rasa sedih kerana generasi hari ini termasuk anak-anak Melayu tidak lagi membaca dan menghayati teks Sejarah Melayu. “Apabila membaca Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang, kita akan tahu dan sedar asal usul orang Melayu di Sumatera. Kita akan tahu bagaimana tiga orang putera kepada Raja Suran dari India berkahwin dengan gadis tempatan dan menjadi asas kepada Kesultanan Melayu yang ada sehingga hari ini,” tegasnya.

Sambil mengakui pengaruh budaya India, Hindu dan Buddha dalam pembentukan identiti dan jati diri Melayu sejak zaman dahulu, Rais turut menggesa generasi muda Malaysia membaca epik seperti Ramayana dan Mahabharata.

Turut menyentuh tentang dua karya agung berkenaan ialah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berucap merasmikan penutupan persidangan itu. Sebagai individu yang membesar dengan karya seperti Hikayat Seri Rama dan Hikayat Pandawa Lima, beliau turut bercakap tentang keindahan dan mesej moral yang terkandung dalam karya Thirukkural, sebuah teks klasik Tamil.

Kecintaan bekas Pengerusi Lembaga pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu terhadap karya-karya agung dari Eropah, China dan India bukanlah sesuatu yang baharu. Misalnya, sewaktu menyampaikan ucap utama pada Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor, Perak pada 13 Disember 2014, beliau menggesa para penulis membaca dan menghayati karya agung pelbagai bahasa dari pelbagai negara untuk meningkatkan mutu karya sendiri.

Pada persidangan antarabangsa di Brickfields, Dr. Amir Rashad dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya membentangkan kertas kerja khusus mengenai pengaruh bahasa Sanskrit terhadap bahasa Melayu. Menurut beliau, walaupun selepas kedatangan agama Islam dan pengaruh bahasa serta tulisan Arab, masih ada begitu banyak perkataan Sanskrit dalam bahasa Melayu termasuk dalam konteks budaya Melayu-Islam hari ini.

“Bahasa mengatasi kekangan dan perbezaan agama,” kata beliau sambil mengakui hakikat kosa kata bahasa kebangsaan kita pada hari ini akan terlalu ‘miskin’ sekiranya perkataan, istilah dan frasa Sanskrit digugurkan.

Rencana di ruangan ini seperti Bahasa Sanskrit belum mati (29 Oktober 2022) dan Sanskrit perkaya bahasa pertiwi (17 Disember 2022) turut memperincikan topik berkenaan.

AYURVEDA

Semasa sesi soal jawab, seorang peserta bertanya mengapa perkataan seperti ‘air’ dalam bahasa Melayu berbeza sebutan dengan kata air (udara) dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, perkataan ‘air’ yang kita gunakan berasal daripada Sanskrit. Kita biasa mendengar tentang ayurveda. Kata veda bermakna ‘pengetahuan’ atau ‘ilmu’. ‘Ayur’ daripada kata ‘ayus’ bermakna ‘hidup’ atau ‘kehidupan’.

Perkataan ‘ayur’ meresap masuk dalam budaya Melayu sebagai ‘ayer’ kerana cecair ini amat penting dalam kehidupan. Ejaan ‘ayer’ distandardkan kepada ‘air’ pada 1972. Sekiranya kita memahami sejarah ini, maka kita akan tahu mengapa sebutan ‘air’ adalah seperti itu.

Turut ditanya peserta persidangan antarabangsa itu tentang mengapa sistem tulisan bahasa Melayu pada masa dahulu ditukar daripada Jawi kepada Rumi. Amir Rashad mengatakan, ia mungkin disebabkan kolonisasi, iaitu penjajahan British di Tanah Melayu. Sebenarnya jawapan bagi pertanyaan itu dihuraikan dalam rencana Jalan berliku membudayakan Jawi (21 Ogos 2021).

Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) menganjurkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sejak 1952. Antara tokoh penting dalam ASAS 50 ialah Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Masuri Salikun (Masuri S.N.), Muhammad Yusof Yaacob (Jim), Usman Awang, A. Samad Ismail dan Asraf Abdul Wahab.

Sebagaimana dihuraikan dalam buku Kavya Sastra (2021), orang Melayu pada mulanya menggunakan sistem tulisan Kawi dan Rejang (Sumatera) sebelum beralih kepada tulisan Jawi yang diubah suai daripada tulisan Arab. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Singapura (1952), diputuskan bahawa tulisan Jawi dan Rumi perlu digunakan bagi penulisan bahasa Melayu. Susulan kongres pada 1954 pula, resolusi dicapai supaya tulisan Rumi diutamakan.

Memorandum yang disusun oleh Ashraf dan Usman Awang bagi pihak ASAS 50 menyenaraikan 11 kelebihan tulisan Rumi dan 12 kelemahan tulisan Jawi. Akhirnya, Akta Bahasa Kebangsaan (1963) diluluskan Parlimen dan keputusan rasmi dibuat supaya tulisan Rumi digunakan bagi bahasa kebangsaan seperti kita amalkan sekarang.

Maka, perubahan tulisan Jawi kepada Rumi bukan disebabkan desakan penjajah British atau tuntutan kaum bukan Melayu di negara ini, sebaliknya disebabkan perjuangan sekumpulan sasterawan Melayu di bawah ASAS 50. Pada masa ini, istilah Sanskrit dan tulisan Jawi terus sebati dalam bahasa pertiwi yang menjadi identiti dan jati diri bangsa Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×