ANTARA tugas kerajaan dan tugas parti politik seharusnya ada perbezaan dan sedikit garis panduan. Sesebuah kerajaan memerintah dan sedang berkuasa adalah melalui proses yang diterima umum digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pilihan raya adalah proses bagi membentuk sesebuah kerajaan. Apabila menjadi sebuah kerajaan sah dan berkuasa, ia mempunyai tugas tertentu yang lebih bersifat menyeluruh kepada seluruh rakyat.
Perbelanjaan digunakan adalah hasil daripada sumbangan rakyat melalui cukai dan pendapatan negara dari pelbagai sumber. Semua sumber hendaklah digunakan bagi maslahat umum dan menyeluruh, bukan lagi tertakluk kepada kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja, jauh sekali untuk digunakan kumpulan-kumpulan tertentu seperti untuk kepentingan parti-parti politik dianggotainya.
Apabila sesebuah parti politik berkuasa menjadi sebuah kerajaan, sumber negara tidak boleh lagi digunakan bagi kepentingan membantu, menyokong atau apa-apa sahaja bersifat memberi kepentingan kepada parti-parti yang menyokongnya untuk membentuk dan menjadi kerajaan.
Untuk membantu menguatkan atau apa-apa sahaja yang membentuk kekuatan parti dianggotainya, mesti dari sumber lain yang langsung tidak ada kaitan dengan sumber kerajaan dikuasainya. Perbezaan dalam hal ini mestilah jelas dan tidak bercampur-aduk.
Adakah perbezaan dan pengasingan ini berlaku dalam amalan kita kini? Pengasingan antara kerja kerajaan dan kerja parti tidak nampak dengan jelas, khususnya semasa kempen pilihan raya.
Seolah-olah kerja parti dan kerja kerajaan itu satu dan tanggungjawab yang sama. Kadang-kadang berlaku salah guna jabatan-jabatan kerajaan dalam kegiatan ‘bersifat kempen’ pilihan raya.
Walaupun ia tidak jelas dan secara langsung, tetapi rakyat yang pintar dan tajam pemikiran dapat memahami bahawa jabatan kerajaan menggunakannya bagi tujuan unsur-unsur kempen kepada parti.
Adakah pasti kerajaan yang berkuasa hari ini tidak menggunakan sumber kerajaan dalam kegiatan parti-parti politik dianggotainya? Ini persoalan penting, tetapi agak sensitif untuk disentuh. Tidak ramai menyuarakan persoalan ini kerana kedudukan kerajaan yang berkuasa dan sifat kegiatan dilakukan.
Pihak mana yang menanggung kos penerbangan, pengangkutan darat, penginapan hotel dan perbelanjaan lain? Seseorang menteri itu menjalankan tugas kementerian atau tugas parti yang dianggotainya?
Ini banyak berlaku semasa kempen pilihan raya di mana kerja seseorang menteri itu agak bercelaru sama ada menjalankan tugas kementerian atau menjalankan kempen pilihan raya?
Perlukah seseorang menteri mengambil cuti bagi menjalankan kempen pilihan raya atau menjalankan tugas secara bercampur-aduk? Ia menjadi sesuatu yang dianggap sah apabila ramai melakukannya tanpa apa-apa tegahan dan halangan.
TUNKU ABDUL RAHMAN
Adakah amalan yang ditunjukkan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mengambil cuti khas untuk berkempen pilihan raya umum (PRU) 1959 dan menyerahkan tugas sebagai Perdana Menteri kepada timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein itu masih diamalkan lagi oleh pucuk pimpinan negara kini?
Tidak nampak dengan jelas amalan ini, bahkan ada lawatan seorang menteri disambut dengan kibaran bendera parti politik berkaitan yang sepatutnya tidak berlaku.
Sebagai seorang menteri, beliau perlu disambut dengan bendera negara (Jalur Gemilang) dan bendera negeri dilawatinya. Secara simboliknya, beliau perlu bertindak sebagai menteri Kerajaan Persekutuan, bukan berdasarkan parti politik dianggotainya.
Bolehkah tugas kerajaan dan tugas parti politik itu dicampur-aduk seolah-olah ‘tugas kerajaan’ dan ‘tugas politik’ itu adalah satu tugas yang sama dan langsung tidak ada perbezaan? Ini perlu jelas kepada semua yang memegang jawatan dalam kerajaan.
Tugas kerajaan perlu diperincikan dengan jelas. Jangan campur-adukkan antara tugas kerajaan dan tugas parti. Kalau perlu, ambil cuti khas bagi melakukan kerja-kerja parti untuk lebih berkat dan dihormati.
Bagaimana pula dengan perbelanjaan pengangkutan dan tuntutan perbelanjaan berkaitan? Adakah ditanggung oleh kerajaan atau oleh parti politik dianggotainya?
Ini juga perlu diteliti kerana kos penerbangan dan pengangkutan darat serta kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan memakan jumlah besar.
Kalau ia tidak patut ditanggung oleh kerajaan (kerana kerja yang lebih bersifat kerja parti), perlu dialihkan kepada pihak parti politik dianggotainya.
Wajarkah ini diteruskan dan dijadikan amalan yang berterusan? Persoalan ini nampak remeh dan kecil, tetapi ia perlu diteliti dengan lebih baik. Kalau benar bercanggah dengan peraturan umum dan undang-undang negara, ia perlu disemak segera.
Kalau bersalahan, perlulah dihentikan segera. Walaupun ia menjadi amalan sebahagian besar pihak, tidak semestinya yang diamalkan sekian lama dan meluas itu pasti benar dan tidak bercanggah dengan peraturan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah.











