Pertama kali tanpa MIC, apa impaknya?

Pertama kali tanpa MIC, apa impaknya?

WALAUPUN MIC tidak bertanding dalam PRN kali ini, masih terdapat 55 calon kaum India termasuk tiga berketurunan Sikh turun gelanggang di empat negeri. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJUMLAH 527 pemain politik turun gelanggang pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini untuk merebut gelaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Daripada sejumlah itu, seramai 245 pemain bakal dinobatkan gelaran Yang Berhormat (YB).

Dari segi pecahan calon pula, kebanyakan bertanding terdiri daripada dua parti terbesar, iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Sejumlah 246 calon dari PN dan 138 (PH) serta 108 (BN). Selain itu, 19 dari Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), empat Parti Sosialis Malaysia (PSM), 13 Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan 41 Bebas.

Walaupun MIC, parti yang mewakili sebahagian besar orang India tidak bertanding dalam PRN ini, masih terdapat sejumlah 55 calon kaum India termasuk tiga berketurunan Sikh direkodkan turun gelanggang di empat negeri seperti Selangor (23), Pulau Pinang (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (5). Calon-calon tersebut adalah dari PKR ( 7), DAP (7), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 7, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 6, Pas (4), Muda (4), PSM (4), PRM (2) dan Bebas (14).

Gabungan PH-BN menurunkan 14 calon India manakala PN (17). Pas yang umumnya dianggap sebagai parti Melayu-Islam juga menurunkan empat calon India pada PRN ini.

Sementara itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan DUN Hulu Kelang (Selangor), DUN Sikamat (Negeri Sembilan) dan DUN Jeniri (Kedah) akan menjadi tumpuan para pemerhati politik kerana pemimpin-pemimpin berpengaruh dari parti-parti utama bertembung. Keputusan DUN tersebut dijangka menggambarkan kecenderungan dan pilihan keseluruhan pengundi dalam PRN ini terutama orang Melayu.

Selain itu, pertembungan yang menarik berlaku di DUN Bagan Dalam dan DUN Perai di Pulau Pinang serta DUN Bukit Gasing dan DUN Sentosa di Selangor. Semua calon yang bertanding di kempat-empat DUN tersebut terdiri daripada orang India. Memandangkan DUN-DUN tersebut terdiri daripada komposisi India yang agak besar, misalnya 35 peratus di Perai, maka keputusan di keempat-empat DUN tersebut akan menunjukkan pola pengundian dalam kalangan pengundi India.

DEPOSIT TETAP

PRN ini juga menyaksikan satu lawan satu atau dua penjuru di 181 DUN, tiga penjuru di 51 DUN, empat penjuru 13 DUN dan lima penjuru satu DUN. Umumnya, pertembungan dua penjuru dalam pilihan raya akan jelas memaparkan parti mana menjadi idaman atau pilihan sebahagian besar pengundi. Pertandingan lebih dari tiga penjuru pula hanya akan menunjukkan siapa merebut piala kemenangan dalam pertandingan dan bukan pilihan rakyat dari segi hakikinya. Memandangkan 181 DUN, iaitu hampir 74 peratus daripadanya menghadapi pertembungan dua penjuru, maka keputusan di DUN-DUN tersebut akan menunjukkan kecenderungan sebahagian besar pengundi dalam PRN ini.

Lebih-lebih lagi hampir kesemua DUN yang menghadapi pertembungan dua penjuru dalam PRN ini terdiri daripada DUN yang mempunyai komposisi majoriti pengundi Melayu. Maka tidak keterlaluan menyimpulkan keputusannya akan jelas menunjukkan pilihan pengundi Melayu secara keseluruhannya.

Kedudukan pengundi India sebagai deposit tetap kepada BN telah berubah sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12). Kebelakangan ini didapati lebih daripada 50 peratus pengundi India mengalih sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya PH kerana kecewa dengan BN terutama UMNO. Sebahagian besar pengundi India meninggalkan MIC dan mengalihkan sokongan kepada gabungan parti-parti alternatif seperti PR dan PH. Mereka didakwa terpengaruh dengan retorik politik pemimpin-pemimpin tertentu termasuk pelbagai janji yang ditawarkan oleh parti-parti gabungan alternatif.

Persoalannya, apakah pengundi India akan terus bersama dengan parti-parti gabungan alternatif dalam PRN ini? Taburan dan jumlah calon India dalam PRN ini jelas menggambarkan kecenderungan pengundi India adalah bersifat tidak menentu.

Lebih-lebih lagi golongan muda India akhir-akhir ini dilihat turut ghairah bersama MUDA, malah Pas yang mendukung prinsip Islam. Persoalanya, apakah pengundi India yang bersifat berubah-ubah tidak akan mengalih sokongan mereka daripada parti-parti alternatif kepada parti-parti baharu seperti PN, MUDA, PSM dan sebagainya dalam PRN ini?

Hampir semua parti, PH-BN mahupun PN telah mencalonkan calon-calon daripada kaum India bagi mewakili parti mereka pada kadar yang berpatutan. Persoalannya, apakah wakil-wakil yang dicalonkan ini mampu membela kepentingan dan hak kaum India tanpa mengira fahaman politik?

Apa pun, PRN tanpa penyertaan MIC pada pertama kalinya dalam sejarah politik negara pastinya menimbulkan pelbagai reaksi menakjubkan. Namun, dalam era politik mengejar kuasa, adegan politik berubah, pemain berubah, permainan pun berubah, maka orang India dijangka membuat keputusan bijak dalam pilihan supaya parti yang dipilih mampu membela kepentingan mereka. Pengundi India diharap tidak berasa kecewa atau kesal dengan pilihan mereka nanti dalam PRN ini seperti pepatah Melayu, menang sorak kampung tergadai. – UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×