PILIHAN raya negeri (PRN) bagi enam negeri yang ditunggu-tunggu selama ini sudah pun berlalu. Rakyat sudah membuat pilihan dan kita semua sudah maklum keputusannya. Kini, kerajaan negeri sudah pun dibentuk. Namun, di media sosial masih kedengaran pelbagai cerita dan spekulasi, seolah-olah wabak demam PRN masih belum lagi berakhir.
Masalahnya sekarang, sampai bila kita mahu berpolitik?
Walaupun suasana kempen PRN di negeri-negeri terlibat begitu panas membara, majoriti penganalisis politik sudah menjangkakan keputusan PRN mengekalkan kedudukan status quo 3-3, di mana Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Yang jelas, baik PH-BN mahupun PN masih tidak mampu untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai oleh lawan masing-masing. Maka, keenam-enam negeri tersebut masih diterajui oleh kerajaan yang sama seperti sebelum PRN.
Walaupun begitu, PN berjaya menguasai sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan Kelantan serta menyapu bersih kerusi DUN Terengganu.
Ramai juga rakan yang bertanya, bilakah kerajaan Pusat akan bertukar tangan? Mungkin mereka bertanya berdasarkan cakap-cakap dan janji politik yang mereka dengar. Sistem demokrasi tertakluk kepada undang-undang yang telah ditetapkan di negara masing-masing. PRN diadakan untuk memilih kerajaan negeri, manakala kerajaan Pusat dipilih melalui pilihan raya umum (PRU). Undang-undang ini pula sepatutnya dipatuhi oleh semua pihak yang bertanding.
Oleh hal demikian, pencapaian cemerlang PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membolehkan mereka merampas kerajaan Pusat. Walaupun begitu, saban hari kedengaran dakwaan kerajaan PH-BN bakal jatuh. Secara logiknya, kerajaan akan jatuh jika berlaku kehilangan majoriti sokongan ahli-ahli Parlimen. Maka, adakah ini bermakna akan ada sekumpulan ahli Parlimen yang akan menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan?
TAASUB
Begitu pun, dengan terpakainya undang-undang antilompat parti, aktiviti lompat-melompat sudah tidak lagi semudah dahulu, seperti ketika ahli Parlimen yang menang di bawah tiket BN melompat secara besar-besaran kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah BN tewas dalam PRU14. Justeru, jika benar ahli Parlimen akan bertindak keluar parti sehingga jatuhnya kerajaan, maka banyak pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan. Keadaan ini sudah tentu akan menelan perbelanjaan sangat besar di luar keperluan.
Berpolitik janganlah sampai berlebihan. Sebagai rakyat, kini perkara patut kita utamakan ialah menuntut agar kerajaan negeri yang menang melaksanakan janji masing-masing, bukannya terlalu taasub berpolitik.
Para pemimpin wajib melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan mengotakan janji-janji mereka kepada pengundi. Jangan pula apabila telah menang, ada yang cuba mengelat atau lebih parah lagi, wakil rakyat tidak lagi mesra melayan pengundi seperti pada kala sedang meraih undi dahulu.
Bagi penyokong PN di Terengganu, keputusan PRN sudah tentu begitu bermakna kepada mereka. Namun, di sebalik keterujaan meraikan kemenangan, sedarkah mereka akan situasi sebenar sesebuah kerajaan tanpa adanya pembangkang yang akan memainkan peranan semak dan imbang? Keadaan monopoli dalam kerajaan sudah tentu akan memudahkan pucuk pimpinan negeri untuk membuat keputusan kerana tiada wakil rakyat pembangkang akan membangkang cadangan kerajaan.
Namun, adakah kerajaan yang berkuasa penuh akan memberi kelebihan kepada rakyat Terengganu? Bagi penyokong kuat PN, mereka sudah tentu menaruh sepenuh kepercayaan kepada kerajaan negeri dan tidak akan mempersoalkan apa sahaja keputusan diambil. Namun, kita sedar sistem monopoli bukanlah satu sistem yang sihat, apatah lagi apabila ia melibatkan pentadbiran sebuah kerajaan. Memang menakjubkan apabila rakyat sendiri memilih sistem politik monopoli melalui sistem demokrasi pilihan raya.
Kegagalan teruk kesemua calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam PRN ini di mana kesemua calonnya hilang wang deposit memang sudah diduga. Sebelum ini, parti ini menunjukkan prestasi buruk dalam PRN Johor walaupun mereka bertanding di bawah payung PH di kerusi yang agak selesa. Kali ini, tindakan mereka bertanding menentang blok kerajaan yang mereka anggotai telah memberi kesan buruk terhadap identiti parti berkenaan. Demi maruah, mereka sepatutnya meninggalkan blok kerajaan terlebih dahulu sebelum mengumumkan untuk bertanding solo.
Ke manakah arah perjuangan parti serpihan Bersatu ini seterusnya? Tindakan mereka bertanding di kerusi-kerusi tertentu yang memberi kelebihan kepada PN telah menimbulkan tanda tanya tentang arah tujuan parti ini serta kesetiaannya terhadap perikatan sendiri. Maka, mungkinkah mereka akan bergabung dengan PN dan bergerak bersama Bersatu untuk pergi lebih jauh?
Keputusan PRN ini menunjukkan keadaan polarisasi kaum yang amat ketara dalam kalangan rakyat. Hal ini amat membimbangkan dan akan bertambah buruk jika dibiarkan berterusan. Kebersamaan ialah resipi kepada perpaduan rakyat di mana ia bukanlah sekadar sebuah slogan tetapi mesti dijiwai oleh setiap rakyat. Walau apa jua, perpaduan rakyat tidak boleh dipandang enteng kerana ia merupakan kunci kepada keamanan negara. Pemimpin dan penyokong parti harus mengutamakan negara dan bertindak bijak bagi memastikan bibit-bibit perpecahan tidak bertambah parah.
Rakyat telah menunaikan tanggungjawab mereka, kini tiba giliran wakil rakyat yang dipilih untuk melunaskan janji-janji pilihan raya. Cukup-cukuplah para pemimpin dan rakyat berpolitik. Jangan pula dijadikan PRK Pulai yang bakal berlangsung tidak lama lagi sebagai alasan untuk terus berpolitik tanpa henti. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










