Menggalas berat kejayaan PPPM menjelang 2025

Menggalas berat kejayaan PPPM menjelang 2025

SELEPAS 66 tahun negara merdeka, kita masih meraba-raba identiti nasional bagi mengisi aspirasi pelajar yang kian menebal mengikut jalur kaum. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sepanjang 10 tahun lalu diuar-uarkan dalam laporan tahunan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi 2022. Malah PPPM disusul rapi oleh satu badan, Unit Penyampaian dan Prestasi Pendidikan (PADU) yang ditubuh khusus untuk meneliti pencapaian disasari. Namun, tidak semudah itu.

Ternyata antara tanda tanya terpenting berkaitan enam aspirasi pelajar anjuran PPPM. Utama, aspek Etika dan Kerohanian serta Identiti Nasional – dua teras memupuk warga luhur lagi taat setia, mengisi aspek sahsiah manusiawi. Selain itu, empat aspek ilmiah mengikut ukuran Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) misalnya sebagai perbandingan, wajar atau tidak? Ia amat berbeza dengan aspek sahsiah tadi.

Lantas bagi merumuskan PPPM berjaya sepenuhnya diragukan. Apatah lagi masih banyak isu kurang sedap didengar yang acap kali mirip hal etika dan kerohanian – soal aktiviti buli atau penderaan, penipuan, kes hubungan sumbang, ponteng, merokok, dadah dan terbaharu, penyalahgunaan racun vape antara lain.

Jelas semua ini mencemarkan lagi ekosistem ilmiah, sekali gus identiti nasional apabila terpalit dengan fitnah perkauman, rasuah dan kebiadaban sosial silang kaum atau antara generasi.

Kegusaran ini dilambung lagi apabila ura-ura memperkenalkan 40 hadis pilihan Imam Nawawi di peringkat sekolah diumumkan secara mendadak. Bertujuan mendalami aspek moral, ihsan dan adab, namun deras dibantah kumpulan agama lain yang meminta pihak-pihak terlibat dirujuk dahulu. Berikutan pencerahan semula dikatakan ini melibatkan anggaran 289 sekolah sebagai perintis.

Jawapan tersebut seolah-olah mengiakan aspek sahsiah etika dan kerohanian tidak menepati sasaran selepas satu dekad di bawah PPPM. Maka terpaksa ditokok tambah dengan modul lain.

Ekoran itu, timbul beberapa persoalan lebih merumitkan bagi para pendidik tulen. Adakah sekolah Islam sahaja lemah dalam hal etika dan kerohanian kerana sekolah bukan agama tidak perlu modul tersebut atas andaian mereka lebih cemerlang? Dan jika begitu, apa perincian? Bagaimana pula pelajar Islam di sekolah bukan agama? Mana hujahnya dalam laporan kejayaan 2022?

KURANG MATANG

Semua ini bakal membawa lebih kekusutan seandainya sikap mencurigai tidak ditangani cukup berhemah terlebih dahulu. Perkara ini sudah pun terlanjur dan amaran saman menyaman antara beberapa puak mula kedengaran. Ini bukan cara menyelesaikan isu pendidikan! Walhal pendidikan merupakan kerangka mutlak untuk perpaduan. Sedangkan perkembangan terkini amat songsang, setapak maju ke arah perpaduan, sekian banyak menyorot ke belakang kerana culas sikapnya. Bukan salah hadis tertentu, lebih kepada kurang kematangan dalam mengatur susur galur agama. Sedangkan pihak yang menyembunyikan kuku bersedia menerkam!

Mahu tidak mahu, hal ini menggambarkan kecetekan minda dan enggan faham daripada pengalaman lama. Kegagalan mutakhir masih terkesan apabila kemelesetan memperkenalkan tulisan khat sebagai suatu bentuk seni, bukan pun agama. Mudah tertewas, sekelip mata. Lebih memalukan adalah Rukun Negara yang tersepak ke hulu ke hilir di medan pendidikan. Di mana Rukun Negara selepas lebih tiga abad lamanya berbanding Pancasila Indonesia? Negara yang mempunyai umat Islam teramai cukup bermegah dengan Pancasila tersebar luas seluruh lapisan warganegara ibunda.

Penghayatan dan amalan sejiwa sekata bagi setiap warganegara Indonesia terhormat identiti nasionalnya. Tidak perlu tempelan itu dan ini sejak laungan merdeka 1945. Kalau perlu pun, saling melengkapi sehingga aspek keagamaan tidak dicampur adukkan. Memperlihatkan kematangan berfikir tahap tinggi membantu lagi perpaduan negara, bukan merobeknya.

Malaysia selepas 66 tahun merdeka masih meraba-raba identiti nasional mengisi aspirasi pelajar yang kian menebal mengikut jalur kaum, asyik dengan sistem masing-masing yang kental. Rukun Negara bak melukut di tepi gantang, mengalami 1,001 halangan. Yang Berhormat tidak pun peduli. Hidup segan, mati tak mahu, bila muncul dalam media – tidak bermaya, tidak menarik, apa lagi bagi anak muda. Sekadar hafalan tidak bermakna, tiada roh dan sifar jiwa.

Misalan, inti pati Rukun Negara pertama – Kepercayaan kepada Tuhan, sudah memadai mengikat semua agama tatkala Rukun Negara sedia terhidang, dihadami serta dihayati seikhlas akal budi lantas menutup segala syak dan sangka buruk antara satu sama lain. Kerenah biasa dihindari, tidak menjadi kemelut bersiri, jika bestari di hati.

Apa yang dikhuatiri apabila lima ayat ringkas mewakili Rukun Negara tidak pun mampu mengakari sebagai satu cogan negara melalui sistem pendidikan untuk semua bersatu padu. Jadi, di mana masa hadapan 40 modul hadis (berbanding lima ayat Rukun Negara) dalam batasan masa pendidikan agama sedia ada? Sekali gus mengundang segala macam kesangsian yang sudah pun tercetus sebagaimana diduga! Ini belum lagi harapan Perdana Menteri pada Jun lalu agar semua pelajar membersihkan tandas sekolah.

Tidak kira bangsa, agama. Nah! Di mana letaknya kerangka Kebersihan dan Iman hadis 23 Imam Nawawi? Salah-salah bukan sahaja tandas kekal tercemar, malah akan muncul pula salah tanggapan ‘tandas patuh hadis 23’!

Akibat tergesa-gesa merancang tanpa memberi nafas baharu gabungan Rukun Negara menjadi sandaran umum modul hadis 40. Mencakupi bukan sahaja para pelajar dan guru, tetapi para pelaksana serta penggubal dasar negara. Termasuk semua ahli Parlimen sebagai contoh bagi anak muda.

Maksudnya, imej kejayaan PPPM perlu digilap secara menyeluruh khusus dalam keseimbangan aspirasi sosial pelajar seperti dihuraikan, dengan aspirasi sistem yang tidak boleh dipisah-pisahkan sekiranya perpaduan dalam kepelbagaian yang diharapkan menggalas sebuah negara benar-benar berdaulat, bermaruah dan merdeka.

Menjulang tinggi rentasan nilai sahsiah-ilmiah memugar insan sejahtera pada tahun penamat 2025! Salam Merdeka! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga bekas Pengerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Ahli Unit Penyampaian dan Prestasi Pendidikan (PADU) sejak ditubuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN