‘Kerja, parti tak boleh campur aduk’

‘Kerja, parti tak boleh campur aduk’

MUHAMAD RADHI MAT DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SUATU ketika dahulu, namanya cukup gah dalam dunia bola sepak tanah air. Sebut sahaja MUHAMAD RADHI MAT DIN, peminat akan segera tahu bahawa beliau seorang pemain yang boleh diharapkan untuk menggerakkan ‘enjin’ pasukan di tengah padang sama ada mewakili Kedah, mahupun menyarung jersi keramat kebangsaan di pentas antarabangsa.

Itu kisah puluhan tahun lalu. Kini pada usia 58 tahun, Muhamad Radhi sudah tidak lagi aktif di padang sebaliknya diberi mandat oleh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu untuk mewakili mereka pada pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut diberi kepercayaan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk diangkat sebagai Exco Belia dan Sukan serta Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup.

Ikuti temu bual legenda bola sepak Kedah itu bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RAFIE AZIMI di pejabatnya baru-baru ini. Beliau yang lebih mesra disapa Pak Ngah Radhi dalam kalangan pengundi berkongsi tanggungjawab yang baru dipikulnya itu.

UTUSAN: Boleh ceritakan perubahan hidup YB (Yang Berhormat) dari padang bola ke dunia politik?
MUHAMAD RADHI: Selepas berhenti sebagai pemain pada 2000, saya mula terlibat dalam kejurulatihan. Hinggalah pada 2014, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan karier dalam bidang itu dan lebih banyak terbabit dalam program amal dan berjinak-jinak dengan politik.

Saya pernah tewas bertanding sebagai calon di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kini menang pula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu.

Perasaan YB diberikan amanah sebagai Exco?
Saya boleh dikatakan baru hendak mengenali dunia politik sebagai ADUN dan tiba-tiba dilantik sebagai Exco. Ini tugas berat dan saya masih dalam proses pembelajaran serta penyesuaian bagi memahami portfolio diamanahkan. Apa pun setelah diberikan amanah, insya-Allah saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin.

Sebagai seorang pemain bola sepak, YB mungkin sentiasa disanjung oleh seluruh rakyat Kedah tanpa mengira latar belakang kerana pernah menjadi wira mereka suatu ketika dahulu. Namun, apabila melangkah ke dunia politik, sudah pasti ada yang tidak suka. Komen YB?
Tidak dinafikan memang ada orang yang dahulu suka kita di padang bola sepak, tetapi tidak suka kita di bidang politik. Tetapi saya tidak pernah berdepan pengalaman mengguris hati. Saya fikir pendekatan kita semuanya sama, iaitu hanya buat pilihan di peti undi dan kemudiannya menjalani kehidupan seperti biasa serta menghormati keputusan tanpa menunjukkan penentangan atau rasa tidak setuju secara terbuka.

Walau apa pun keadaannya, saya akan berpegang kepada kata-kata Menteri Besar bahawa kami ini wakil rakyat dan bukan wakil parti. Itu bermakna kami perlu berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Malah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut sempat bertitah kepada kami Exco supaya membantu orang susah tanpa mengira parti. Tidak kiralah sama ada orang itu sokong Pakatan Harapan (PH) atau apa sahaja parti, kena santuni mereka dari segala sudut. Dan nasihat itu akan saya pegang sampai bila-bila.

Perancangan YB?
Dalam bidang sukan, saya fikir kita perlu berusaha untuk memartabatkan semula sukan yang dahulunya menjadi identiti Kedah. Sebagai contoh, sepak takraw. Suatu ketika dahulu kita memiliki jaguh seperti Adnan Saidin dan Abd. Malek Samsudin. Mereka membawa banyak kejayaan untuk Kedah dan negara.

Namun, hari ini keadaannya berbeza kerana sepak takraw Kedah tidak berada dalam carta terbaik. Kita perlu mencari puncanya agar negeri ini tidak hilang terus dari radar sebagai pasukan elit suatu ketika dahulu.

Kita harus bangunkan semula skuad Kedah sebagai pasukan disegani.

Sebagai exco sukan, saya tidak boleh tumpu kepada satu-satu jenis sukan sahaja. Namun, itulah maksud saya. iaitu memastikan kegemilangan Kedah dapat dikembalikan terutama dalam sukan-sukan yang menjadi identiti kita dahulu.

Bagi portfolio belia pun banyak juga perlu disentuh kerana dalam dunia sekarang, mereka memiliki kecenderungan yang pelbagai, antaranya bidang permotoran. Semua ini perlu disusun dengan elok agar mereka tidak berlumba tengah malam dan kita akan cuba cari jalan agar anak-anak muda sentiasa buat perkara betul, tidak membahayakan diri mereka. Antaranya melalui pembinaan litar yang sedang diusahakan.

Dalam masa sama, kita akan teliti juga masalah dadah yang merupakan isu besar dalam kalangan belia.

Pandangan YB mengenai peranan dimainkan pengundi muda dalam PRU dan PRN, baru-baru ini?
Pengundi muda berusia 18 tahun diperkenalkan dalam PRU15 dengan sebahagian mereka baru mengenali dunia politik dan tidak tahu pun pola politik di negara ini. Kadang-kadang anak-anak muda ini cuma dapat maklumat daripada kawan-kawan serta media sosial dan apabila maklumat itu kelihatan ‘sesuai’ dengan mereka, maka itulah yang digunakan bagi membuat keputusan pada hari pengundian.

Sewaktu saya berkempen baru-baru ini, ada dalam kalangan anak muda apabila ditanya mahu undi siapa, mereka sekadar tunjukkan bendera tanpa mengenali siapa calon bertanding. Seolah-olah mereka hanya ikut arus dan gelombang yang muncul.

Bagi saya, kita tidak boleh benarkan perkara sedemikian berlaku begitu sahaja. Anak-anak muda ini harus dididik untuk mencari fakta serta perkara yang betul dan hanya selepas itu baharulah mereka boleh buat keputusan tepat.

Sebagai negeri pembangkang, bagaimana hubungan yang akan dijalin dengan Kerajaan Persekutuan terutama berkaitan portfolio dipegang YB dengan kementerian berkaitan?

Tidak timbul isu kononnya kita hendak putuskan hubungan kerana berbeza parti. Tidak timbul langsung kerana konsep federalisme itu tidak boleh ditinggalkan. Kalau nak jadikan rakyat kita makmur, mesti kena kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan walaupun kepimpinan parti di peringkat negeri berbeza.

Selepas pilihan raya berakhir, kita bukan boleh kira parti sebaliknya kena ambil kira hal rakyat. Menteri Besar sendiri menggalakkan kita bekerjasama dengan Persekutuan dan sebagai contoh dalam isu logo sambutan Hari Kebangsaan, kita ikut Kerajaan Persekutuan untuk sama-sama meraikan hari bersejarah dengan rakyat.

Lagi pun saya memegang portfolio belia dan sukan. Sukan itu sendiri bersifat universal, jadi mana boleh campur aduk dengan hal-hal kepartian.

Sama juga soal kepenggunaan dan kos sara hidup. Kalau harga barang naik, semua akan kena tempiasnya dan bukan penyokong PH atau Perikatan Nasional (PN) sahaja.
Saya memang berhasrat untuk bekerjasama dengan kementerian berkaitan dalam bidang berkaitan portfolio, agar kita dapat melakukan yang terbaik buat rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini