TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) yang berkembang hebat dewasa ini bakal membawa dampak sangat besar terhadap kehidupan manusia. Di sebalik kekaguman akan keupayaannya, dunia juga risau tentang ancaman AI, lebih-lebih lagi jika ia disalahgunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Maka penting bagi kita untuk mengambil tahu akan hal ini kerana sama ada suka atau tidak, AI akan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Teknologi penjanaan kandungan berkuasakan AI sama ada dalam bentuk tulisan, gambaran mahupun bunyian kini dapat mengubah cara kita melakukan pelbagai perkara. Tiada perlunya lagi untuk menulis surat secara manual kerana kini kita boleh arahkan sahaja alatan AI untuk berbuat demikian. Tinggalnya bagi kita untuk sekadar menyemaknya semula setelah komputer selesai menjalankan tugas diberi.
Untuk lebih memahami atur cara AI, dengan kata mudahnya, kebanyakan AI yang digunakan kini dilatih dengan diberikan pelbagai maklumat untuk disimpan. Pada masa sama, AI tersebut diprogramkan untuk mengembalikan maklumat tersebut apabila diminta mengikut corak umum berdasarkan apa yang dimasukkan oleh pengguna. Jika pelatih AI mendapati berlaku sebarang kesilapan ketika mengembalikan maklumat, maka AI itu akan diarah untuk mencari cara agar tidak mengulangi kesilapan tersebut. Walaupun proses sebenarnya lebih kompleks dan melibatkan pemprosesan yang teliti, namun secara ringkasnya itulah cara AI berfungsi.
Dalam bidang akademik, salah satu kerisauan besar tentang penyalahgunaan teknologi AI adalah berkenaan integriti akademik khususnya dalam penulisan karya akademik. Ramai khuatir akan berlaku keadaan di mana karya-karya akademik yang dihasilkan oleh seseorang sebenarnya ditulis oleh AI dan bukan oleh si penulis. Walaupun tujuan alat-alat penulis AI dicipta adalah bagi membantu proses penulisan sebenar, namun akan ada yang dengan sengaja menyalahgunakan teknologi ini untuk kepentingan diri sehingga terdapat kerisauan tentang ketepatan penulisan bukan manusia.
Masalah penyalahgunaan teknologi AI amat ketara dalam kalangan para pelajar mahu mencari jalan mudah ketika melaksanakan tugasan yang memerlukan penulisan seperti esei dan sebagainya. Sebagai jalan mudah, ada dalam kalangan pelajar sekadar salin dan tampal daripada sumber dengan melakukan sedikit perubahan kepada teks asal dengan harapan ia tidak dapat dikesan oleh pensyarah mereka.
Hari ini, dengan perkembangan pesat teknologi model bahasa raya AI, masalah ini menjadi bertambah parah. Malah, alat AI lazim digunakan bagi menghilangkan kesan jejak plagiat serta untuk menulis sesuatu tanpa menulisnya secara sendiri. Masalah ini akan bertambah parah jika dibiarkan berlarutan tanpa tindakan tuntas daripada semua pihak terbabit.
Secara realitinya, apa yang berlaku sekarang ialah gaya pendidikan kita mirip latihan robot. Para pelajar diberikan ribuan data atau maklumat untuk disimpan dan apabila tiba waktu peperiksaan, mereka dikehendaki mengembalikan maklumat sama berdasarkan input atau soalan. Sebarang ketidaktepatan akan dikira sebagai kesilapan dan gred diberi berdasarkan ketepatan daya ingatan serta penyesuaian jawapan para pelajar.
SEGULUNG IJAZAH
Malang sekali bagi kita jika integriti akademik tidak diberi keutamaan dalam dunia pendidikan. Pelajar hanya belajar kerana inginkan segulung ijazah dan bukan lagi kerana inginkan ilmu. Masing-masing hanya mahu mencari jalan paling mudah dan singkat untuk menamatkan pengajian mereka. Ada menghafal tanpa memahami apa dipelajari kerana itulah yang diperlukan untuk mendapat gred tinggi.
Jika kita melatih manusia semata-mata seperti melatih AI, manusia akan kalah kepada AI. Akal manusia tidak boleh diprogramkan dengan ketetapan tinggi seperti mana kita memprogramkan AI. Namun begitu, sehebat mana jua teknologi AI, ia tidak lebih daripada sekadar sebuah lagi alat ciptaan manusia bertujuan memudahkan urusan kita sepertimana kapak batu dicipta untuk menebang pokok dan kalkulator untuk menjalankan tugas kira-kira.
Dalam melangkah ke depan, kita mesti mengambil kira faktor AI dalam penambahbaikan sistem pendidikan agar AI tidak disalahgunakan para pelajar sebagai alat untuk menipu. Sekadar mengharamkan penggunaan AI tiada gunanya kerana pelajar akan mencari juga cara untuk mengelat. Namun, mengintegrasikan penggunaan AI ke dalam proses pembelajaran adalah satu langkah progresif.
Kini, saya mengikuti kelas pengajian bahasa Arab di mana guru saya menggunakan AI sebagai alat bantu mengajar. Beliau memanfaatkan keupayaan teknologi ini untuk mengalih bentuk kata daripada satu wazan ke wazan lain. Walaupun kita perlu berhati-hati kerana ada ketikanya AI gagal memberikan jawapan betul, ia tetap berguna kerana pangkalan datanya mempunyai jutaan tulisan dalam pelbagai bahasa.
Sistem pendidikan harus berupaya menghasilkan insan yang mampu berfikir dan bukan sekadar menghafal. Jangan didik manusia seperti mana kita programkan AI. Justeru, sistem pendidikan harus dirangka untuk menginsankan pendidikan. Elemen ini amat penting kerana jika kita mengetepikan sifat keinsanan, manusia akan kehilangan pegangan hidup, integriti, amanah, kejujuran serta isi jiwa. Masalah sosial akan berleluasa dan masyarakat akan keruntuhan.
Untuk membangun ke arah kemampanan, rakyat mesti mempunyai perasaan belas kasihan sesama manusia dan persekitaran. Inilah konsep kesejahteraan yang memainkan peranan integral dalam memastikan sebarang jenis kemajuan dan pembangunan yang dirancang dapat memberi kesejahteraan kepada dunia secara menyeluruh. Inilah perkara asas bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk kepentingan semua.
AI boleh membawa kebaikan dan keburukan kepada kesejahteraan manusia. Tanpa integriti, AI akan menjadi ancaman kepada masyarakat dan meruntuhkan nilai kemanusiaan sejagat. Namun, dengan keinsanan, teknologi ini sebaliknya dapat berkembang demi kesejahteraan dunia. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










