Harta pusaka: Perlu ambil tahu elak keliru

Harta pusaka: Perlu ambil tahu elak keliru

DALAM soal pengurusan harta dan harta pusaka bagi orang Islam, wujud ketidakseragaman undang-undang syariah bagi negeri-negeri. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLEMBAGAAN Persekutuan jelas membahagikan bidang kuasa Persekutuan, negeri serta bersama, di mana dengan jelas Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kuasa untuk menggubal apa-apa perundangan berkenaan senarai negeri termasuk bidang kuasa agama. Kewujudan dua peringkat perundangan ini tidak boleh dinafikan kerana ia melibatkan suatu sejarah perundangan yang panjang. Antara perkara yang berada di bawah perihal bidang kuasa negeri termasuk perundangan syariah. Oleh demikian, perundangan syariah perlu dihormati dan diiktiraf sepertimana sistem perundangan sivil di negara ini.

Memandangkan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri, ia mewujudkan perbezaan dalam penggubalan enakmen-enakmen syariah. Negeri-negeri juga bebas untuk menggubal apa-apa enakmen syariah yang dianggap perlu untuk negeri masing-masing. Malah, ada negeri seperti Perak selepas pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak pada 2018 mewujudkan satu lagi peringkat mahkamah, iaitu Mahkamah Utama Syariah. Pindaan ini menjadikan terdapat empat peringkat mahkamah syariah di Perak. Ini berbeza bagi negeri-negeri lain yang mempunyai hanya tiga peringkat mahkamah syariah.

Ini merupakan satu contoh perbezaan perundangan syariah di Malaysia. Di sebalik perbezaan-perbezaan ini, wujud satu usaha untuk menyeragamkan perundangan syariah. Kesannya boleh dilihat apabila undang-undang syariah seperti undang-undang jenayah syariah dan undang-undang keluarga syariah mempunyai sedikit sebanyak persamaan di antara pelbagai negeri. Juga perlu difahami bahawa undang-undang syariah adalah berdasarkan sumber-sumber teras seperti al-Quran, sunnah, ijmak dan qias selain sumber-sumber sekunder lain. Justeru, tidak hairanlah wujud keseragaman sedikit sebanyak dalam hal berkaitan prinsip-prinsip perundangan Islam.

Namun, dalam soal pengurusan harta dan harta pusaka bagi orang Islam, wujud ketidakseragaman undang-undang syariah bagi negeri-negeri. Ada negeri secara khusus mempunyai enakmen berkenaan wasiat, misalnya di Selangor wujud Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999 (kemudiannya dipinda pada 2016). Enakmen wasiat ini secara jelas mengatakan secara khusus dan terperinci berkenaan wasiat bagi orang Islam merangkumi pelaksanaan, pembatalan, penarikan serta wasiat wajibah. Selain Selangor, lima negeri yang mempunyai enakmen khusus berkenaan wasiat ialah Negeri Sembilan pada 2004, Melaka (2005), Kelantan (2009), Pahang (2017) dan Sabah (2018).

PANDANGAN SINIS

Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai perundangan khusus berkenaan wasiat, punca kuasa bagi mahkamah syariah mendengar dan memutuskan perkara berkenaan dengan wasiat adalah pada Seksyen 46 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, mahkamah tinggi syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan melupuskan perkara berkenaan harta mal orang Islam. Ini termasuk wasiat orang Islam. Peruntukan hampir sama terdapat dalam enakmen-enakmen pentadbiran undang-undang Islam negeri-negeri.

Ketiadaan perundangan khusus berkenaan wasiat orang Islam merupakan satu cabaran kepada pengamal perundangan syariah. Kewujudan enakmen khas wasiat misalnya, membantu banyak perkara dalam perihal wasiat dan mewujudkan keseragaman berkenaan undang-undang wasiat. Perlu diingatkan, amalan perundangan syariah berbeza dengan amalan di mahkamah sivil di mana hakim tidak terikat kepada keputusan-keputusan lampau atau mahkamah yang lebih tinggi.

Kuasa mahkamah syariah dalam kes berkenaan wasiat dan hibah tertumpu kepada isu pengesahan wasiat dan hibah tersebut. Isu pengesahan ini sama ada ia mengikut rukun dan syarat yang dinyatakan dalam syarak. Pentadbiran harta pusaka orang Islam masih lagi berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Ini bermakna mahkamah sivil adalah pihak yang boleh mengeluarkan perintah berkenaan harta pusaka dan bukannya mahkamah syariah. Selepas wasiat atau hibah disahkan, waris perlu menjalani proses pengurusan harta pusaka sama ada dengan merujuk kes kepada pusaka kecil ataupun mahkamah tinggi bagi pengeluaran surat kuasa mentadbir dan perintah bagi pembahagian.

FARAID

Hal sama juga bagi si mati yang tidak meninggalkan apa-apa wasiat ataupun hibah. Mahkamah syariah hanya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah faraid untuk mengesahkan waris-waris dan bahagian waris-waris yang berhak ke atas harta si mati. Waris masih lagi perlu ke mahkamah tinggi sivil bagi memohon perintah mentadbir harta si mati. Kemudian dengan perintah faraid itu akan digunakan semasa pembahagian harta si mati kelak.

Mungkin terdapat pandangan sinis bahawa perundangan Islam adalah menyusahkan, namun bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil dalam hal pengurusan harta pusaka orang Islam adalah jelas.

Tuntasnya, orang Islam sendiri perlu faham berkenaan kedudukan pengurusan harta pusaka kerana ia melibatkan status harta si mati di sisi agama. Kekeliruan dalam bidang kuasa mahkamah-mahkamah ini akan menyebabkan pengurusan harta pusaka si mati beragama Islam akan mengalami kesukaran yang dibimbangi membawa mudarat dan persepsi negatif kepada perundangan syariah. Orang Islam sendiri perlu sedar dan ambil tahu pengurusan harta pusaka Islam supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA); dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN