Elak perubahan dasar 5G yang tidak teliti - Utusan Malaysia

Elak perubahan dasar 5G yang tidak teliti

MENGAPA Pulau Pinang didahulukan dalam meningkatkan liputan 5G dan tidak Sabah yang ada pelajarnya terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan talian internet? – FB DNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 23 Julai lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G) di Pulau Pinang akan melebihi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) setelah siapnya semua infrastruktur komunikasi menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, sasaran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) adalah untuk membangunkan 470 menara 5G di Pulau Pinang dan setakat ini 290 telah siap dibina, 244 menara telah mula beroperasi dan pencapaian perkhidmatan 5G di negeri itu telah mencapai 67.7 peratus.

Tambah beliau, ini bermakna Pulau Pinang telah mendahului purata capaian 5G di seluruh negara iaitu setakat ini 64.7 peratus, dan pihak KKD akan bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memenuhi sasaran melebihi 80 peratus capaian 5G pada hujung tahun nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berita ini pada dasarnya adalah bagus kerana ia menunjukkan keberhasilan DNB dalam mencapai sasarannya. Masa sama ia menimbulkan tanda tanya mengapa Pulau Pinang terlalu laju berbanding negeri-negeri lain yang lebih tertonjol kelemahan capaian internetnya seperti Sabah atau Kedah.

Sebelum ini ada banyak laporan mengenai pelajar sekolah dan universiti yang terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Contohnya ialah penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin di Pitas.

Contoh lain ialah pelajar sekolah di Kampung Silungai, Nabawan, Sabah, yang terpaksa berjalan kaki naik bukit lebih kurang 20 minit dari rumah gara-gara mencari lokasi yang mempunyai rangkaian internet yang baik untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ada juga kes penuntut dari Kampung Tembak B, Baling dan dari Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil, Kedah, yang terpaksa menggantung penghala WiFi di atas pokok atau pada bumbung rumah bagi memastikan capaian internet lebih lancar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Jika dilihat kepada data yang dikeluarkan oleh DNB, pada akhir 2022 liputan 5G sebenar di Pulau Pinang adalah 41.1 peratus berbanding Perak (37.7%), Sarawak (32.4%), Sabah (27.9%), Pahang (18.2%), Terengganu (10.8%), Kelantan (11.7%), Kedah (13.1%) dan Perlis (9.5%).

Mengejutkan pada Julai 2023 liputan 5G di Pulau Pinang meningkat mendadak menjadi 67.7 peratus jauh meninggalkan negeri-negeri lain termasuk Sabah, yang dalam kunjungan Nie Ching ke Kota Kinabalu pada 25 Jun lalu, liputan 5G hanya mencapai 29.9 peratus sahaja.

Mengikut Nie Ching, hanya 257 menara sahaja yang telah disiapkan daripada 622 jumlah keseluruhan menara yang dicadang dibina di negeri itu. Ini menjadikan peningkatan sebanyak dua peratus sahaja dari tarikh Januari ke Jun, iaitu satu perkembangan yang amat menyedihkan.

Persoalannya kini ialah mengapa Pulau Pinang didahulukan dalam meningkatkan liputan 5G? Mengapa tidak Sabah yang diberikan perhatian utama? Apakah disebabkan oleh pertukaran kerajaan pada November 2022 maka perubahan pada keutamaan telah berlaku?

TERGANGGU

Bila menteri bertukar maka keutamaan kerajaan juga bertukar. Sewaktu Tan Sri Annuar Musa menjadi menteri beliau mengumumkan pada 30 Oktober 2022 Kelantan bakal menikmati perkhidmatan kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G seawal 2023.

Beliau menyebut telah berunding dengan DNB, termasuk meminta meletakkan Kelantan sebagai negeri yang diberi keutamaan bagi perkhidmatan jalur lebar 5G serta-merta, dan DNB akan memulakannya serta-merta, dengan jangkaan siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Bagaimanapun, setelah kerajaan bertukar pada November 2022 dan Annuar tidak lagi menjadi menteri maka tidak ada lagi sebarang pengumuman mengenai kemajuan usaha untuk meningkatkan capaian internet 5G di Kelantan oleh menteri baharu, Fahmi Fadzil.

Lebih mendasar lagi ialah perubahan dasar kerajaan yang mengubah model yang dilaksanakan oleh DNB dalam penyediaan 5G, iaitu Rangkaian Borong Tunggal (SWN), menjadi Dwi Rangkaian Borong (DWN) yang merencatkan segala perancangan asal ke atas liputan 5G.

Penubuhan DNB pada 1 Mac 2021 sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dengan diberi mandat oleh kerajaan Malaysia untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara menjadi tercabar.

Misi asal DNB untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia, merealisasikan potensi 5G di Malaysia untuk memacu aktiviti ekonomi serta khasnya merapatkan jurang digital antara bandar dan desa kelihatan terganggu melalui perubahan dasar kerajaan ini.

Begitu juga dengan misinya untuk mengelakkan penduaan infrastruktur dan mengoptimumkan penggunaan sumber sukar didapati serta menggalakkan persaingan berasaskan perkhidmatan dalam industri komunikasi yang menimbulkan tanda tanya sama ada boleh dicapai atau tidak.

Sebelum ini, DNB di bawah model SWN mampu berdiri sendiri dari sudut kewangan dengan pinjaman bank, tetapi bila ada DWN sebagai pilihan maka kemampuan DNB untuk menjana kewangan akan menjadi bermasalah dan menyebabkan DNB berhadapan krisis kewangan.

Bila DNB selaku anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dibiarkan bersaing dengan firma-firma telekomunikasi yang mungkin menawar harga lebih murah, maka tidak dapat tidak DNB akan terpaksa mengubah keutamaan dan pendekatannya supaya tidak rugi.

Sebab itulah penukaran sesuatu dasar kerajaan tidak boleh dibuat secara terburu-buru atau didasarkan kepada sentimen bahawa apa yang diperkenalkan oleh lawan kita harus diubah. Sebaliknya kajian teliti oleh pakar berwibawa yang nonpartisan perlu dibuat terlebih dahulu.

Malang sekali jika kesenjangan dalam capaian 5G antara kawasan berbeza dalam negara terus berlaku malah mungkin terus melebar disebabkan oleh perubahan dasar yang tidak teliti. – UTUSAN

DR. Syed Agil Shekh Alsagoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×