Cara baharu penghayatan Rukun Negara

Cara baharu penghayatan Rukun Negara

WALAUPUN peristiwa hitam 13 Mei 1969 sudah lama berlalu, kesan psikologinya diakui masih dirasai ramai sehingga hari ini dalam pelbagai bentuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan walaupun dilancarkan 53 tahun dahulu, secara umumnya Rukun Negara didapati tidak begitu dihayati, apatah dijiwai sebagai ideologi negara seperti dihasratkan. Hal ini disedari semenjak beberapa waktu dahulu, kini cuba ditangani dengan cara baharu.

Sehubungan ini, Rukun Negara terdiri daripada dua bahagian, iaitu lima aspirasi dan lima prinsip. Selama ini hanya lima prinsip itu diberikan penekanan sehingga lima aspirasi tersebut dilupai. Kini ikrar Rukun Negara meliputi kedua-duanya yang dilafaz janji bersekali sebagai sumpah kesetiaan.

Lima aspirasi itu bercita-cita untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, mengekalkan sistem demokrasi, adil dalam pengagihan kemakmuran negara, toleransi terhadap kepelbagaian warisan, dan maju melalui sains dan teknologi. Dalam pada ini, kesemuanya dicatatkan dengan jelas pada dokumen rasmi Rukun Negara untuk tatapan umum.

Untuk aspirasi pertama, ia ingin mencapai perpaduan lebih erat dengan menganjurkan pembentukan satu bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai. Bagi aspirasi kedua, satu cara hidup demokratik adalah matlamatnya. Dengan ini, rakyat diseru untuk mengekalkan sistem politik yang memilih kerajaan melalui pilihan raya bagi memastikan penyertaan aktif rakyat dalam urus tadbir negara melalui wakil mereka.

Aspirasi ketiga pula ingin mencipta sebuah masyarakat adil yang akan memastikan peluang sama dalam menikmati kekayaan negara dirasai semua pihak secara saksama. Untuk ini, pihak lemah akan dibantu untuk ikut berjaya dengan yang lain-lain. Aspirasi keempat pula adalah untuk membentuk sikap liberal terhadap kepelbagaian sama ada dari segi etnisiti, agama dan budaya. Dengan ini, ia menyorongkan bukan sahaja toleransi, juga penerimaan hakikat kepelbagaian untuk dimanfaatkan sebagai kelebihan. Aspiriasi kelima, ingin memastikan negara maju dalam bidang sains dan teknologi untuk daya saingnya.

Itulah keterangan pada kelima-lima aspirasi yang kini menjadi tumpuan baharu dalam bacaan ikrar Rukun Negara. Ia yang ditinggalkan selama ini kini diyakini dapat memberi penghayatan lebih menyeluruh kepada Rukun Negara. Pendekatan baharu ini tidak dapat dinafikan adalah lebih baik daripada sebelumnya, iaitu sekadar hanya mengetahui lima prinsip itu. Ini kerana lima prinsip itu sebenarnya adalah lima cara yang dipilih khas untuk mencapai lima cita-cita negara tersebut.

WADAH

Sehubungan ini, lima prinsip itu adalah penting sekali sebagai wadah pencapaian lima aspirasi tersebut. Oleh itu, ia hendaklah diperhalus tujuan utamanya bagi setiap satunya yang harus pula diikuti pelbagai peranan iringan. Ini mustahak dilakukan agar tujuan utamanya itu bukan sahaja jelas, juga diikuti sebagai yang ditetapkan untuk difahami dan diamalkan seperti dikehendaki pemerintah. Ini kerana Rukun Negara dimaktubkan sebagai ideologi negara yang harus diamalkan rakyat.

Oleh itu, ia adalah gagasan yang dipercayai akan dapat mempengaruhi cara rakyat hidup, lebih-lebih lagi dalam kehidupan nasional. Malah ia juga falsafah negara, iaitu kepercayaan kita bahawa Rukun Negara adalah panduan hidup rakyat termasuk dalam kehidupan domestik dan komuniti.

Dengan ini, Rukun Negara harus bersistematik, yakni ada kurikulum dan sukatan pelajarannya untuk difahami sebaik-baiknya agar dapat diamalkan dengan berkesan pula.

Dalam pada ini, kejayaan Rukun Negara setakat ini adalah pada tahap ingat sahaja, iaitu lima prinsip itu dan kini lima aspirasi tersebut mampu disenaraikan dengan baik sekali. Ia sebenarnya tidak pun difahami secara mendalam melebihi judul dan keterangan padanya. Apabila ia tidak difahami secara mendalam, maka amalannya juga tidak terserlah, apatah lagi yang sifatnya meresap ke dalam jiwa.

Dalam hal ini, barangkali kita perlu melihat semula dokumen rasmi yang asal itu untuk tujuan penambahbaikan dengan tidak sesekali mengubah firasat, niat dan kemahuan asalnya khusus pada lima aspirasi dan lima prinsip itu. Dalam usaha kita ini, antara yang diperlukan ialah pemerihalan semasa adalah penting sebagai sama ada sokongan ataupun kesinambungan kepada penghuraian lama. Ia wajar dilakukan kerana rakyat daripada generasi kemudian secara umumnya didapati tidak dapat mengaitkan diri mereka dengan wacana pada teks asal Rukun Negara itu.

Justeru, ada keperluan mendesak untuk ditambah wacana semasa di samping yang lama itu. Ini penting bukan sahaja untuk memberi konteks semasa yang dapat difahami dengan lebih mudah, ia juga penting untuk menghapuskan bebayang rusuhan kaum 13 Mei 1969 itu atau kemungkinan berlakunya satu lagi rusuhan sebegitu.

Tidak dapat dinafikan setiap kali Rukun Negara disentuh sejarahnya, ia tidak dapat elak daripada semacam mengungkit peristiwa 13 Mei 1969. Ini sama ada dalam bentuk ulang kaji sejarah, peringatan mesra atau amaran keras, apatah lagi yang sengaja dipolitikkan sesetengah pihak, sebetulnya begitu traumatik untuk negara dan rakyat. Ini kerana walaupun sudah lama berlalu, kesan psikologinya diakui masih dirasai ramai dalam pelbagai bentuk.

Oleh itu, wacana baharu yang sudah tentu patriotik sifatnya hendaklah segera diusahakan, antaranya kepentingan Rukun Negara untuk keutuhan negara tercinta ini. Untuk ini, ia bukan sangat malah bukan lagi dibicarakan dalam kerangka peristiwa 13 Mei 1969 sebagai tindak balas kepadanya dalam apa-apa jua bentuk. Tetapi semata-mata sebagai ideologi negara bertujuan membentuk pemikiran dan tingkah laku rakyat berdasarkan lima aspirasi dan lima prinsip itu digembleng secara tuntas sebagai budaya patriotisme yang dihayati setiap rakyat di segenap pelosok tanah air. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN