Perceraian berpunca perkara remeh-temeh membimbangkan. Begitulah tajuk berita pernah diketengahkan oleh akhbar pada pertengahan tahun lepas. Ia merupakan rentetan daripada paparan akhbar yang mengangkat topik Cerai kerana tertinggal lengkuas di pasar, Bercerai kerana pendidikan tak sampai PhD dan Salah picit ubat gigi.
Menurut laporan tersebut, 10 peratus kes pembubaran perkahwinan yang difailkan di mahkamah syariah berpunca daripada isu remeh-temeh. Namun, sayangnya ia berakhir dengan perceraian apabila pihak-pihak terbabit gagal berkomunikasi dengan berkesan atau terpengaruh dengan nafsu amarah.
Kini, bahang pilihan raya di enam negeri mula dirasai. Malah di lapan negeri lain, isu ini juga menjadi topik rancak perbualan masyarakat dan segenap lapisan keluarga. Sungguhpun perceraian disebabkan perbezaan ideologi politik merupakan kes terpencil, namun perbincangan suami isteri atau ahli keluarga disebabkan perbezaan parti boleh menjadi pencetus pasangan bermasam muka yang akhirnya melarat sehingga terlerainya ikatan pernikahan.
Justeru, usah diulit emosi apabila berdebat isu kepartian kerana politik tidak selamanya kekal dalam pola yang sama. Malah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan pelbagai percaturan dilakukan oleh politikus bagi merealisasikan agenda masing-masing. Yang penting, anggota keluarga serta masyarakat saling menjaga keharmonian dan pada masa sama, berlapang dada untuk mengambil pendekatan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam perkara diperselisihkan.
CABARAN
Menurut pemerhatian, selain pilihan raya dan kos sara hidup, tiga cabaran utama yang menjadi perhatian dan inti perbincangan dalam mendidik anak-anak abad milenium ialah dari aspek kecanduan gajet, pengaruh rokok dan keselamatan.
Kajian oleh Universiti McGill, Kanada terhadap 34,000 responden dari 24 negara di seluruh dunia sepanjang 2014 hingga 2020 mendapati Malaysia berada di ranking ketiga di belakang China dan Arab Saudi dari aspek ketagihan penggunaan telefon pintar. Lebih membimbangkan, kajian mendedahkan kira-kira 75 peratus daripada remaja di negara ini dikesan pernah menonton video atau melihat gambar pornografi sekali gus berisiko terjebak dengan gejala seks bebas dan dijangkiti penyakit kelamin.
Berbeza dengan Malaysia, walaupun Arab Saudi berada di tangga kedua dari aspek ketagihan gajet, namun keselamatan siber di negara berkenaan diiktiraf sebagai kedua terbaik di dunia dalam Indeks Keselamatan Siber dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2023 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IIMD) berpangkalan di Switzerland.
Negara itu juga menduduki tempat ke-17 keseluruhan pada 2023, melonjak tujuh anak tangga dari 2022 dalam ranking daya saing keseluruhan. Arab Saudi mengukuhkan kedudukannya berdasarkan beberapa inisiatif dalam membina ekosistem keselamatan siber yang kukuh dan mampan. Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) juga menetapkan Arab Saudi sebagai peneraju global dalam keselamatan siber.
Bagi anak lelaki pula, ancaman paling ditakuti oleh ibu bapa adalah rokok. Sungguhpun kesan negatif rokok mahupun rokok elektronik (vape) telah dimaklumi oleh segenap lapisan masyarakat, namun usaha menyelamatkan remaja menerusi pengkanunan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023 kelihatan maju mundur. Apatah lagi apabila wujud kelompangan susulan tindakan kerajaan mengeluarkan nikotin dari Akta Racun 1952 tanpa adanya peraturan kawalan rokok elektronik terlebih dahulu.
Keadaan ini menimbulkan kegusaran kerana menurut Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Ismail bahawa terdapat lebih 800 dadah psikoaktif baharu (NPS) dipercayai digunakan dalam cecair vape yang boleh memberi kesan khayal. Menurutnya, kesan dan impak penggunaan NPS ini sama seperti dadah-dadah lain termasuk methamphetamine, ganja dan heroin tetapi sukar dikesan walaupun menerusi saringan air kencing.
Ironinya, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati penggunaan vape dalam kalangan remaja di negara ini melonjak naik dari 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9, tahun lalu.
Cabaran ketiga yang menghantui keluarga adalah dari aspek keselamatan diri susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) terutama melibatkan kes pengedaran dadah.
Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amer Fawwaz Mohamad Yasid dalam artikelnya membangkitkan persoalan sekiranya kegiatan pengedaran dadah sukar dibendung ketika hukuman mati mandatori dilaksanakan, bagaimana pula situasi selepas hukuman tersebut dimansuhkan?
Begitu juga cadangan pengenalan hukuman rehabilitasi dan restoratif serta pindaan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 bagi kesalahan dadah kecil yang selama ini menyumbang kepada 63 peratus daripada jumlah banduan di negara ini.
Usaha tersebut sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan apabila wujudnya anggapan seolah-olah pendekatan berkenaan akan membuka ruang kepada pesalah untuk menyalahgunakan peluang bagi mempengaruhi masyarakat terutama para remaja. Dikhuatiri juga langkah tersebut bakal menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah lain yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat.
Justeru, diharapkan tindakan bersepadu untuk memulihkan penagih, langkah penguatkuasaan, operasi pemantauan, kesepakatan ahli Rukun Tetangga, kempen kesedaran serta didikan pencegahan perlu diberikan perhatian serius.
KOLEKTIF
Jika bagi golongan berusia, penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, diabetis dan kolesterol merupakan perkara digeruni, cabaran gajet, rokok dan keselamatan pula merupakan ‘gertakan’ dalam pembinaan keluarga dan masyarakat madani.
Sebagai individu, ibu bapa, entiti masyarakat mahupun pihak berkuasa, masing-masing memegang tampuk amanahnya tersendiri. Bagi pasangan suami isteri pula, manfaatkanlah ruang komunikasi dengan berkesan kerana institusi kekeluargaan merupakan tanggungjawab perlu dipikul secara kolektif terutama dalam membentuk generasi pelapis yang diredai Allah SWT. Elakkan pertengkaran disebabkan isu titik bengit sehingga mengabaikan tanggungjawab yang dikelek.
Sesungguhnya, hala tuju keluarga masa kini perlu dipacu dengan nilai agama, pegangan kehidupan dan kerukunan dasar negara. Justeru, dalam keghairahan dilambung ‘ombak’ pilihan raya, usahlah tumpuan terhadap cabaran yang boleh menjejaskan institusi kekeluargaan dan pembangunan insan dibiarkan keciciran, longlai dan akhirnya melukut di tepi gantang. – UTUSAN
Dr. Roziana Mat Amin ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










