PADA pilihan raya negeri (PRN) esok, UMNO bertanding sebanyak 108 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sejumlah 74 kerusi yang ditandingi oleh UMNO itu bertaburan di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sekiranya dapat menumpaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kali ini, maka dapatlah UMNO membuktikan mereka parti terkuat dalam kalangan orang Melayu. Sebaliknya, jika masih tidak menunjukkan apa-apa prestasi menyakinkan setelah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), maka UMNO boleh dikatakan sudah menemui jalan buntu.
Secara tradisi, Pas bergiat aktif dalam politik di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pengaruh Pas amat kukuh terutama sekali di Kelantan dan Terengganu. Pengaruh Pas di Kedah juga tidak boleh dipandang remeh. UMNO pula disebabkan kekuatan parti itu kian merosot, ditambah pula sering berlaku perpecahan dalaman, ia diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan dalam politik negara.
Selain Kedah, PH sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa pengaruh menyerlah di Kelantan dan Terengganu. Ini dapat dibuktikan dengan kekalahan teruk PH di Terengganu dan Kelantan, bahkan parti itu hilang wang deposit di banyak kerusi pada PRN lepas.
TERENGGANU
Di Terengganu, UMNO memberi laluan lima kerusi DUN kepada PH. UMNO kalah teruk dalam lima kerusi tersebut pada PRN lepas. PH sendiri juga hilang wang deposit dalam pertandingan tiga penjuru itu semasa PRN dahulu. UMNO sendiri tidak yakin boleh menang di lima kerusi tersebut pada kali ini.
Daripada 27 kerusi yang dipertandingkan oleh UMNO di Terengganu kali ini, mereka mengalahkan Pas di 10 kerusi pada PRN lepas. Namun, setelah Pas tiba-tiba menang dengan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka UMNO kelihatan tidak memiliki mana-mana kawasan selamat di Terengganu. Lebih-lebih lagi PH didapati relatif lemah di negeri tersebut, maka mustahil parti itu dapat memancing undi untuk UMNO. Bagi kerusi-kerusi yang mana PH dan UMNO kecundang sedikit dalam PRN lepas, kekalahan dijangka menjadi lebih teruk lagi pada PRN ini.
UMNO dilihat hanya mempunyai peluang menang agak tinggi di kerusi DUN Telemung. Lagipun, UMNO telah menang banyak undi di kerusi itu pada PRN lepas.
Di DUN dalam bandar pula, satu pertiga pengundinya kaum Cina. UMNO dijangkakan berpeluang menumpaskan calon Pas di kerusi ini. Pada asalnya, kerusi ini dipertandingkan oleh MCA di bawah tiket BN. Dalam perang tiga penjuru, BN mendapat 5,042 undi, PKR memenangi hampir 4,000 undi. Pemecahan undi dari BN dan PH memberi peluang kepada kemenangan wakil Pas dengan memperoleh lebihan 2,091 undi. Kali ini, BN dan PH bergabung melawan Pas, peluang kemenangan mereka agak cerah. Sokongan daripada pengundi Cina merupakan faktor kemenangan UMNO di kerusi-kerusi Telemung dan Bandar.
KELANTAN
Kelantan merupakan kubu pertahanan paling kukuh bagi Pas. UMNO kelihatan sudah berpecah-belah. Berikutan pemimpin-pemimpin veteran UMNO seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa keluar parti, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pula sudah meningkat usia, maka UMNO kini kekurangan pemimpin berkaliber dan agresif dalam meneruskan perjuangan mereka di Kelantan.
PRN kali ini, UMNO bertanding 32 kerusi di Kelantan. Antaranya, UMNO mempertahankan lapan kerusi yang mereka menang sedikit dan 11 kerusi mereka kalah sedikit dalam PRN lepas.
Selain itu, terdapat 13 kerusi yang UMNO kalah teruk kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN lepas. Kali ini, ia diserahkan kepada PH untuk bertanding. Namun, hanya dua kerusi mempunyai peluang untuk menang, iaitu Kadok dan Kota Lama.
Melalui tinjauan jumlah kutipan undi pada PRN lepas, UMNO dilihat agak kuat di Kelantan secara luarannya. Akan tetapi, jika pengundi-pengundi dari luar negeri berduyun-duyun pulang untuk menyokong Pas, maka PN mungkin akan mengulangi kemenangan gilang-gemilang seperti pada PRU15.
KEDAH
Di Kedah pula, UMNO hanya menang tiga kerusi pada PRN lepas, yakni mencatatkan rekod paling lembab. Pada PRU15, PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah.
Ketokohan berpolitik Menteri Besar dari Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sangat memenangi hati masyarakat Melayu di peringkat bawahan dan pertengahan di Kedah. Tambahan pula, jumlah pengundi berumur 18 tahun juga meningkat. Walaupun UMNO dan PH menggembleng tenaga di Kedah, namun kemenangan mereka di negeri itu belum dapat dipastikan.
Sesungguhnya, UMNO juga kekurangan pemimpin yang memiliki ketokohan dan bakat muda. Jikalau kekuatan Pas terus meningkat, maka UMNO mungkin hanya mampu menang di Merbau Palas dengan bantuan PH. Mengikut tinjauan saya, UMNO mempunyai peluang tipis untuk menang di kerusi-kerusi lain di Kedah.
Pada PRN lepas, Pas memenangi 15 kerusi DUN dan menjadi parti yang kuat di Kedah. Semenjak Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan negeri bersama Pas, pengaruh Pas semakin bersemarak khususnya dalam masyarakat Melayu peringkat bawahan.
Natijahnya, jika kita campur undi perolehan PH dan UMNO pada PRU lepas, gemblengan tenaga kedua-duanya dijangka berpeluang untuk merampas semula kuasa pemerintahan di Kedah. Akan tetapi, keputusan Pas pada PRU15 menunjukkan parti itu mendapat sokongan luar biasa daripada pengundi di negeri tersebut.
Kebangkitan gelombang hijau kelihatan sukar hendak dihalang. Jikalau UMNO dapat menang satu atau dua daripada 15 kerusi pegangan Pas pun sudah dikira cukup lumayan bagi parti itu. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










