‘Tiada siapa mahu negara jadi jahanam’

‘Tiada siapa mahu negara jadi jahanam’

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BAGI kebanyakan pemerhati politik, Pulau Pinang dilihat sebagai satu-satunya negeri yang tidak berdepan cabaran besar bagi Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan penguasaan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Namun, realiti dan perubahan politik semasa tidak lagi memberi kelebihan kepada PH di Pulau Pinang untuk mengulangi kejayaan luar biasa pada dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini dengan majoriti cukup besar.

Soal kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di bawah payung kerajaan perpaduan dan ‘gelombang Pakatan Nasional (PN)’ misalnya adalah cabaran yang mungkin boleh memberi kejutan kepada PH pada PRN kali ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dibantu jurufoto, IQBAL HAMDAN, Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, CHOW KON YEOW berkongsi pandangan dan harapannya dalam berdepan PRN pada 12 Ogos ini.

UTUSAN: Dengan PRN berbaki kurang tiga minggu, sejauh mana keyakinan PH di Pulau Pinang ketika ini?
KON YEOW: Kita yakin prestasi kita di Pulau Pinang adalah baik. Oleh itu, ia memberi keyakinan bahawa kita boleh mencapai kemenangan untuk membentuk kerajaan negeri melebihi majoriti dua pertiga. Saya sendiri menyasarkan kita mampu mencapai (menang) antara 30 hingga 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya anggap pencapaian ini adalah baik sebab ia sebenarnya berbalik kepada keadaaan pada 2008 dan 2013. Sebab pada 2018 ia adalah PRU luar biasa. Tidak mungkin kita boleh capai balik paras sokongan seperti ketika itu. Itu keadaan pada penilaian saya sekarang.

Sebab kita lihat pembangkang walaupun yakin di negeri-negeri lain, tetapi di Pulau Pinang keyakinan mereka terbatas kepada 20 kerusi DUN. Itu pun mereka tidak yakin sangat. Jadi, kita berharap dapat membawa mesej penting terutama berkenaan prestasi negeri, kemampuan membawa pembangunan, harapan masa depan dan apa yang kita telah rancang untuk laksanakan di negeri ini. Kita harap ini dapat dinilai oleh pengundi untuk memberi mandat baharu sekali lagi kepada kita (PH).

Adakah ini bermaksud PH di Pulau Pinang yakin mampu menahan ‘gelombang PN’?
Bagi saya, ‘gelombang PN’ itu sering disebut-sebut sebab ia satu hakikat yang dihasilkan melalui keputusan PRU15. Itu kita tidak dapat nafikan yang mana di Pulau Pinang sendiri pun PN menang tiga kerusi.

Parlimen ketika itu, iaitu di kawasan Seberang Perai (Kepala Batas, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor).

Sekiranya digunakan corak undi ke atas kawasan khidmat DUN (KADUN) pun, PN ada kelebihan sehingga boleh menang di beberapa kerusi. Itu berdasarkan kepada apa yang sudah berlaku pada November tahun lalu (PRU15). Tetapi kita kini sudah masuk Ogos (2023) jika mengikut hari pengundian nanti (12 Ogos), maka banyak yang sudah berlaku dalam tempoh ini (sejak PRU15 hingga kini) melalui kerajaan perpaduan.

Selain itu, senario berlainan juga adalah dari segi yang mana dahulunya PH perlu berhadapan dengan BN dan PN. Tetapi dengan terbentuknya kerajaan perpaduan gabungan PH-BN, maka ada penstrukturan semula dari segi rakan-rakan dalam gabungan politik.

Dahulu lawan sekarang kawan, dahulu kawan sekarang lawan. Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) kata, tidak kisah lawan atau kawan, yang penting negara mesti aman. Itulah senario baharu negara dan kita bergantung kepada perubahan ini untuk menghasilkan sokongan kepada gabungan PH-BN yang semestinya akan merapatkan jurang dengan PH sekiranya masih ada.

Dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan perpaduan itu pun ada kesannya sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyuarakan keyakinan untuk mengekalkan tiga negeri dikuasai PH ketika ini dan tambah lagi (rampas) dua negeri pembangkang. Saya bangkitkan mengenai angkubah ini kerana ia akan menentukan keputusan dalam PRN nanti.

Selain itu, ketika PRU15, prestasi negeri tidak menjadi pertimbangan pada masa itu sebab ia satu pilihan di peringkat kebangsaan (Persekutuan). Tetapi sekarang masuk angkubah baharu, mereka perlu menilai pretasi di peringkat negeri.

Berkenaan kerjasama dengan BN, apakah masih ada rasa kekok dalam hubungan itu?
Dahulunya kalau letak pisau di atas kepala kita pun (penyokong dan ahli PH), kita tidak akan kata kita akan undi BN. Tetapi dengan perubahan (selepas PRU15), wujud satu hakikat adanya keperluan untuk menstabilkan keadaan politik negara dengan sebuah kerajaan yang stabil. Sebab setelah apa yang berlaku bermula daripada ‘Langkah Sheraton’ dan pergolakan dalaman parti-parti politik, itu menjadi latar belakang kepada keperluan diwujudkan (gabungan PH-BN) sebagai kerajaan baharu.

Cabarannya adalah untuk meyakinkan rakyat yang mana walaupun kita satu gabungan baharu, kita dapat deliver (menyampaikan) sebagai sebuah Kerajaan Persekutuan baharu. Tidak dapat dinafikan dan kita pun jangan malu untuk mengakui negara kita dilanda pelbagai krisis ekonomi, kewangan, urus tadbir, korupsi dan sebagainya.

Kalau ini tidak ditangani, negara kita akan hilang kelebihan, hilang daya saing dan kalau ekonomi tidak berkembang, keadaan hutang dan kewangan negara akan bertambah buruk. Jadi, ke mana situasi sebegini akan membawa kita? Dalam Asia Tenggara pun jiran kita sudah begitu cergas dalam ekonomi mereka dan kita akan hilang segala-galanya.

Ujiannya adalah sama ada kita boleh meyakinkan melalui kerajaan perpaduan ini. Kita diberi masa dan dalam keadaan sekarang yang sudah lebih stabil, tetapi masih memerlukan masa panjang lagi, satu penggal untuk menangani isu-isu yang saya sebutkan tadi. Sekiranya kita dapat deliver, maka gabungan baharu ini terdiri daripada lawan dan kawan (sebelum ini) boleh menjadi satu gabungan untuk masa depan negara.

Sebab sekurang-kurangnya gabungan ini mempunyai asas lebih kukuh berbanding parti lawan untuk membawa negara ke hadapan. Saya percaya kita ada lebih unsur-unsur yang membolehkan kita mencipta lebih banyak kejayaan berbanding pembangkang.

Dalam kalangan penyokong PH, apakah mereka sudah cukup diyakinkan untuk mengundi BN?
Terus-terang saya katakan memang ada suara-suara yang melahirkan tentang perkara ini, jadi perkara ini perlu ditekankan lagi menjelang PRN. Sebab itu sepanjang tempoh berkempen nanti adalah penting untuk meyakinkan penyokong masing-masing untuk ‘berpindah’ sokongan dan memberi kepada parti gabungan kita. Itu menjadi perkara perlu dilakukan semasa kempen nanti. Kempen bukan satu tempoh panjang, bagaimana kita akan bawa apa yang ada, apa yang sudah berlaku serta cabaran dan harapan negara yang kita boleh bawa untuk tangani dan tenggelamkan kerisauan penyokong berkenaan situasi mereka yang perlu mengundi parti lain. Jadi, mereka perlu melihat kepada gambaran lebih luas (bigger picture), lihat ke hadapan berkenaan harapan yang kita mahu berikan kepada rakyat.

Maka kalau dalam keadaan dan pertimbangan seperti itu, walau bagaimana susah sekali pun mereka mahu undi (logo BN), kena undilah. Sebab itu kita selalu tekankan sama ada kepada penyokong atau pengundi kita untuk saling mengundi antara kedua-dua parti (PH dan BN). Sebab itulah faktor penting untuk menentukan keputusan PRN nanti.

Maksudnya ahli-ahli PH perlu ketepikan soal prinsip pada PRN kali ini?
Kalau bercakap soal prinsip, sebenarnya jika dilihat kepada core value (pendirian asas), semua mahu negara maju dan baik, tidak ada yang mahu negara ‘jahanam’ (teruk). Kalau ada kaedah dan cara yang tidak bagus, maka (perlu tolak). Jadi, yang terbaik adalah di bawah PH dan pimpinan baharu yang mana kita dapat membawa transformasi, menangani korupsi dan penyelewengan, urus ekonomi dengan lebih baik, itu menjadi harapan kepada kita.

Pengundi muda bakal jadi penentu kemenangan PRN kali ini. Adakah PH yakin akan mendapat sokongan mereka?
Saya juga terpengaruh seperti lain-lain yang menggunakan PRU-15 sebagai asas dalam membuat andaian termasuk pengundi muda tidak akan mengundi kita (PH). Tetapi kita berbalik kepada opinion pool (tinjauan pendapat), saya sendiri terkejut juga melihat pengundi 18 hingga 25 tahun sebenarnya hampir semua soalan dan kriteria mereka positif kepada PH.

Dari segi pengurusan ekonomi dan sebagainya termasuk kepimpinan Anwar, kepimpinan ketua menteri, semua kriteria itu kita dapat sokongan pengundi muda yang amat tinggi, di luar jangkaan sebelum ini.

Untuk tujuan PRN, ada pertimbangan lain pula. Mungkin mereka lebih dekat dengan isu di negeri, mereka boleh rasakan apa yang berlaku di sini.

Di Pulau Pinang, katakanlah isu pekerjaan, kita tidak ada masalah. Di sini, kerja cari orang, bukan orang cari kerja, malah tak cukup pun (pekerja). Mungkin isu kesesakan mereka pun prihatin, isu kos hidup. Tapi isu-isu seperti ini melangkaui semua level kumpulan masyarakat. Kita harap separate seperti lain kategori pengundi, mereka akan menilai apa yang kita lakukan dan apa yang kita akan bawa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Apa isu-isu yang dirasakan sukar ditangani dan tidak akan memberi kelebihan kepada PH pada PRN kali ini?
Permainan isu-isu kaum, sentimen keagamaan, itu selalunya bukan senang untuk ditangani, ia melibatkan perasaan dan sebagainya, dan juga terpengaruh oleh mesej-mesej yang tidak sahih dan tidak betul (khususnya) menerusi peranan media sosial. Jadi kita masih bergantung kepada penyampaian maklumat yang sahih, tetapi adakah ia berkesan? Mungkin mediumnya tidak berkesan, tapi fakta itu sepatutnya speak for itself (membuktikan situasi sebenar). Kita pun sudah mula pelbagai inisiatif untuk sampaikan maklumat dengan betul.

Bagaimana dengan projek tambak laut perairan selatan (PSI) yang bakal menjadi modal politik pembangkang?
Berbalik kepada tinjauan kita, kalau ada yang masih prihatin tentang isu projek tambak laut PSI ini, ia bukanlah kelompok majoriti dan kita pun sudah membuktikan kejujuran dan keikhlasan kita. Walaupun sudah dikecilkan saiz tambakan tetapi skim dan insentif itu masih diberikan kepada semua yang terlibat iaitu mereka yang sudah berdaftar dalam pangkalan data kita.

Jumlah insentif itu menelan berjuta-juta ringgit perbelanjaan. Kita pun menunjukkan keikhlasan dalam menangani isu dibangkitkan sama ada berkaitan ekologi, kesan perikanan dan sebagainya dengan segala bukti.

Dalam laporan penilaian alam sekitar (EIA) pun kita meminimumkan impak kepada komuniti khususnya nelayan.

Jika sekali lagi diberi mandat pada PRN kali ini, apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat?
Saya berterima kasih kepada pengundi Pulau Pinang yang memberi kita peluang untuk menjadi kerajaan negeri dan kita sudah pun menunjukkan usaha serta prestasi kita selama ini. Jadi, kita harap rakyat dapat menilai dan dapat merasakan kita mempunyai kebaikan untuk terus jadi kerajaan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Sebab itu kita meminta mereka semua keluar mengundi pada 12 Ogos ini sebab jika mereka tidak membuat keputusan itu, orang lain yang akan membuat keputusan bagi pihak mereka. (Dari segi perancangan) saya akan memberi perhatian dan penekanan kepada beberapa perkara yang menjadi keutamaan.

Pertamanya adalah penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan yang bernilai lebih tinggi. Kita perlu memastikan industri kita dapat dipertingkatkan dari segi hasil dan kita sebenarnya sudah lepas dari peringkat sebagai hab pembuatan kos rendah. Kita sekarang sudah memasuki fasa pembangunan dan penyelidikan (R&D) teknologi tinggi dan memerlukan kepakaran serta kemahiran yang tinggi.

Sebagai kesan sampingannya, maka paras gaji rakyat pun semakin tinggi dan mereka dapat menikmati hasil pembangunan yang lebih baik dari segi pendapatan tinggi. Jadi, itu perlu kita teruskan, Kedua, kita sebenarnya ada strategi utk mengembangkan ekosistem pembangunan ekonomi. Kita telah capai prestasi yang baik dan tempoh lima tahun akan datang, mesti jadi lebih baik lagi. Keutamaan kita juga adalah untuk melaksanakan projek yang sudah diluluskan dalam tempoh ditetapkan.

Tetapi saya perlu berterus terang, walaupun dalam tempoh lima tahun akan datang ada projek seperti transit aliran ringan (LRT) dan tambak laut, PSI misalnya tidak dapat disiapkan kerana projek LRT memerlukan sekurang-kurangnya sehingga tujuh tahun dan PSI juga adalah proses yang panjang.

Tetapi sekurang-kurangnya dalam lima tahun akan datang itu, kita dapat lihat ia dimulakan dan dilaksanakan dengan teratur, sama juga dengan projek terowong atau lebuh raya kalau mahu dilaksanakan. Dalam tempoh lima tahun akan datang kalau saya boleh mulakan semua projek ini pada peringkat pelaksanaan dan penawaran projek, maka itu sudah dikira bagus.

Di Seberang Perai pun perlukan perhatian seperti menangani isu kesesakan lalu lintas. Kita harap permintaan kita kepada Persekutuan untuk bina satu lebuh raya dari Juru ke Sungai Dua untuk menangani kesesakan seperti berlaku sekarang dapat dilaksanakan sebab bawa impak besar kepada rangkaian jalan di kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN