PAKATAN Harapan (PH), PKR, Barisan Nasional (BN)-UMNO atau Pas yang belum? Atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)? Semua telah pun merasa cebisan-cebisan kuasa itu, hatta DAP pun.
Ibarat kek yang dibahagi-bahagikan – sama rasa, sama rata. Jika difokuskan tempoh lima tahun sejak pilihan raya umum (PRU) 9 Mei 2018 hingga Julai tahun ini dengan perkiraan perdana menterinya dari parti terbabit, PH-PKR berkuasa sehingga 24 Februari 2020. Diikuti Bersatu dan Pas setakat 16 Ogos 2021. BN pula sehingga 19 November 2022 dan berbalik semula kepada PH-PKR, disertai BN hari ini.
Semua parti disebutkan itu merasai keperitan jatuh bangun sebenar dalam politik Malaysia cukup dinamik ini. Siapa sangka BN-UMNO yang berkuasa lebih enam dekad boleh tumbang. Dan tiada siapa lagi menjangka UMNO yang dari rebah, berdikit-dikit boleh bangkit semula menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan. Ajaib sungguh penangan presidennya.
Untuk orang UMNO, sewajarnya bersyukur kerana Perikatan Nasional (PN) dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan tidak tergerak pula mahu membentuk pakatan bersama mendirikan kerajaan dengan PH. Kalau terjadi, tidakkah melukut di tepi gantang UMNO.
Yang hairannya, sebilangan pemimpin UMNO terutama yang digantung dan dipecat bercakap seolah-olah UMNO itu ‘menang besar’ dalam PRU15. Kononnya ‘UMNO mampu dan harus berdikari’ tanpa duduk dalam kerajaan perpaduan. Perlu jadi pembangkang yang komprehensif dan dinamik, kata mereka.
Namun sungguhkah bagi sebuah parti seperti UMNO yang lama pegang tampuk kuasa ada keupayaan berdaya tahan lasak untuk menjadi pembangkang yang kuat? Bukan setakat kewibawaan dituntut menjadi ketua pembangkang, tetapi lebih besar halangannya adalah faktor kewangan. Siapa nak buat kerja ini? Mampukah?

KUASA
Pernah dikatakan ada seorang ketua bahagian bertaraf warlord yang sanggup keluarkan duit dari poket sendiri untuk menjayakan perpaduan ummah demi manfaat UMNO. Sayangnya sumbangannya itu tidak dihargai gara-gara beliau mengkritik kepimpinan parti. Digantung keahliannya pula.
Kalau yang mendengar jenis yang tidak berfikir, memang akan termakan hujah-hujah ‘UMNO tidak harus duduk dalam kerajaan’. Barangkali yang menghujahkannya kerana ‘sebab aku tidak dapat, semuanya jangan dapat’. Padahal “politik tanpa kuasa tidak membawa erti apa-apa”.
Tetapi mengapa UMNO tidak pula mahu bersama PN? Sama juga trendnya jika tempoh hari selepas PRU bersama PN, UMNO juga pasti turut membentuk kerajaan. Tetapi wujud kesangsian UMNO bukan sahaja tidak akan lagi menjadi parti teras, bahkan berisiko lenyap selama-lamanya. Manakan tidak, hendak bertanding di kerusi Melayu mana di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan?
Mahukah Pas dan Bersatu serah begitu sahaja kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di tiga negeri ini kepada calon UMNO untuk ditandingi? Bukankah UMNO gagal meraih sebarang kerusi Parlimen di tiga negeri itu dalam PRU15? Maka terpaksalah UMNO bertanding di kerusi-kerusi marginal yang sah tidak selamat untuk dimenangi? Atau terpaksa bersaing di kerusi-kerusi yang majoritinya didominasi pengundi bukan Melayu?
Itu perkiraan atas kertas kepimpinan UMNO tempoh hari – punca utama penolakan penyertaan ke PN. Lagipun difahamkan, tawaran diberikan oleh PH kepada UMNO untuk survival parti waktu itu lebih terbuka, jujur dan berterus terang. Perak, bukti awal sehingga menteri besarnya diangkat dari orang UMNO meskipun boleh sahaja PH meletakkan orangnya ke jawatan itu.
Di peringkat Pusat, percaturan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan dikatakan cenderung memihak UMNO. Apa lagi dimahukan untuk parti kalah seperti UMNO? Itu antara contoh dinamiknya politik Malaysia hari ini. Parti kalah yang bilangan kerusi Parlimennya cuma 26 masih mampu berperanan besar dalam kerajaan.
Jadi, jika ada pemimpin parti yang masih mengatakan ‘usah berangan untuk parti lain menawan negeri aku kerana lapan bulan lalu kamu kalah semua kerusi Parlimen’, pengamatan sedemikian jelas tidak lagi relevan untuk politik Malaysia.
Memang sukar menjangkakan sentimen pengundi hari ini. Anda orang politik tidak lagi boleh bergantung kepada tiktok sahaja, yang ‘buah tangan’ 60 saat boleh tumbangkan kerajaan atau mengalahkan satu-satu parti sewenang-wenang.
PRESTASI NEGERI
Tetapi apa yang dituntut rakyat hari ini terutama golongan muda adalah prestasi kerajaan negeri dan wakil rakyatnya. Sebaik-baiknya dalam enam PRN ini, pengundi menilai prestasi parti yang memerintah setiap negeri masing-masing. Kenapa tidak persoalkan apa yang telah Ahmad Yakob buat di Kelantan selama ini? Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahmad Samsuri Mokhtar di Kedah dan Terengganu, Amirudin Shari dan Aminuddin Harun di Selangor dan Negeri Sembilan? Juga Chow Kon Yeow di Pulau Pinang?
Ada mengatakan ‘kalau Pas dapat lagi Kelantan 12 Ogos, negeri itu akan kaya raya’. Tapi kenapa pengundi tidak bertanya apa yang telah Pas bikin selama 33 tahun di Kelantan? Bekalan airnya, sistem jalan, tebatan banjir, semuanya okey kah?
Seharusnya PRN di enam negeri memberi penekanan pada hala tuju dan prestasi negeri. Bukannya menguar-uarkannya sebagai satu referendum atau pungutan suara terhadap kerajaan Pusat – yang terang-terang tidak tergugat.
Sama ada parti politik itu akan ‘bungkus’ atau menyelar konon parti tertentu itu berangan-angan ala Mat Jenin untuk menawan satu-satu negeri, ia sukar untuk diperakui kesahihannya. Apa lagi dalam dinamik politik Malaysia hari ini – dengan keputusan PRU14, PRN Sabah, PRN Melaka dan Johor, sebelum dicetuskan kejutan PRU15 – yang telah membuktikan realiti wujud kemenangan mengejut atau luar dugaan ini.
Air tenang jangan disangka tidak ada buaya. Jangan merendahkan orang lain, kerana bukan orang lain yang akan merendahkan anda tetapi anda sendiri yang membuat diri anda rendah. – UTUSAN










