LIMA atau 10 tahun lalu, Perlis bukanlah menjadi destinasi pilihan pengunjung atau pelancong untuk datang bercuti khususnya pada musim-musim cuti sekolah. Perlis hanya menjadi transit untuk mereka ke Pulau Langkawi.
Itu dulu. Kini, jika tanya siapa pun termasuk ramai rakan saya di ibu kota, Kelantan termasuk Johor sekali pun, destinasi pilihan mereka untuk bercuti adalah Perlis. Malah, sebulan atau lebih sebelum datang ke Perlis, mereka sudah memaklumkan awal-awal kepada saya untuk membantu mencari inap-inap desa yang jika lambat, sudah pastinya penuh pada musim cuti.
Perlis mula menjadi fenomena dan dilihat menjadi tumpuan pelancong sejak pasca Covid-19. Sejak itu khususnya musim cuti sekolah, cuti hujung minggu, Perlis sesak. Pelancong berpusu-pusu datang ke Perlis.
Perlis yang kaya dengan keindahan alam semula jadi yang tidak pernah diterokai selain sawah padi menghijau dan bukit batu kapur berusia jutaan tahun yang penuh keunikan menjadi tarikan pelancong khususnya untuk menikmati ketenangan atau jika mengikut trend sekarang, iaitu lokasi healing. Suasana itu yang cukup ‘mahal’ dan ia ada di Perlis.
Difahamkan sepanjang musim cuti persekolahan, tempahan di kebanyakan inap desa di negeri ini sentiasa penuh. Lokasi membeli-belah antaranya Padang Besar penuh sesak, Lokasi healing seperti Timah Tasoh, inap-inap desa berkonsepkan nature dan sebagainya juga sentiasa penuh.
Sebagai rekod, pada tahun lalu sehingga Ogos, Perlis merekodkan kehadiran pelancong lebih 1.3 juta berbanding 407,000 orang, tahun sebelumnya.
Langkah kerajaan negeri termasuk swasta yang melakukan penambahbaikan di lokasi-lokasi pelancongan selain promosi berterusan dengan dibantu pelbagai pihak termasuk komuniti-komuniti pelancongan, alam sekitar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak lagi komuniti dari negeri ini banyak membantu kepada perkembangan tersebut. Malah, lokasi-lokasi berdasarkan keindahan alam semula jadi dan aktiviti menarik serta pelbagai lagi tarikan baharu yang diketengahkan hasil inisiatif penduduk sendiri turut membantu menarik perhatian pengunjung ke Perlis.
Malah, penduduk di negeri ini juga banyak memainkan peranan apabila inisiatif mereka mengetengahkan lokasi menarik berlatar belakangkan keindahan alam semula jadi sering kali tular di media sosial dan secara tidak langsung turut menarik minat orang ramai bertandang ke negeri ini.
Selain Padang Besar dan Kuala Perlis, lokasi-lokasi berlatarkan keindahan alam semula jadi seperti Taman Eko Rimba Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, Bukit Jernih dan banyak lagi antara menjadi tumpuan.
SEKERAT JALAN
Antara lokasi lain turut menjadi tumpuan ialah Gua Kelam, Galeri 3D, Taman Eko Rimba Batu Pahat, Taman Eksotik Batu Pahat, Superfruit Valley Chuping, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai selain pelancong luar dilihat mengunjungi kawasan-kawasan kampung bagi menikmati keindahan alam semula jadi.
Kita sudah menjadi perhatian dan tidak keterlaluan dikatakan sudah berjaya dalam sektor pelancongan ini dan usaha yang perlu dilakukan adalah untuk mengekalkan konsistensinya agar ia tidak hanya sekerat jalan. Lokasi-lokasi pelancongan yang ada ini juga perlu sentiasa dijaga dan ditambah baik.
Malah, lokasi-lokasi baharu khususnya berkaitan keindahan pemandangan alam semula jadi yang menjadi kekuatan negeri ini juga perlu sentiasa ditambah dari semasa ke semasa dengan aura lebih segar.
Apa yang paling penting lagi, tanggungjawab dan disiplin rakyat negeri ini sendiri untuk sentiasa menjaga kebersihan agar orang luar yang datang ke bukan sahaja dapat menikmati cuti mereka, malah apabila pulang nanti mereka membawa cerita yang indah-indah sahaja berkaitan Perlis dan rakyatnya.
Menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dengan slogan Perlis Damai dan Menawan, sudah pastinya menjadi detik sangat dinantikan. Sasaran kita sudah pastinya mahu berjuta-juta pelancong datang ke negeri ini.
Persiapan sudah pastinya sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk dengan sokongan serta kerjasama daripada pelbagai komuniti yang bersatu padu bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis itu.
Promosi juga harus sentiasa dipergiatkan lagi menjelang Tahun Melawat Perlis tahun depan yang disifatkan cukup signifikan dan bakal menjadi penanda aras kepada Perlis untuk menjadi lokasi pelancongan tumpuan sekurang-kurangnya top 5 di dalam negara.
Seperti biasa, bagi orang luar yang ingin menikmati kedamaian dan ketenangan atau healing sampai pagi, mai-lah melancong ke negeri ini. Segala kekusutan di sebalik kesesakan ibu kota hilang apabila menikmati keindahan alam semula jadi yang memukau. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










