Tanggungjawab wartawan sampai kebenaran - Utusan Malaysia

Tanggungjawab wartawan sampai kebenaran

MARILAH kita sama-sama terus membeli akhbar Utusan Malaysia dan juga mengajak rakan dan saudara-mara berbuat demikian. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, 20 Julai, genap tiga tahun akhbar Utusan Malaysia diterbitkan semula di bawah pengurusan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) dengan kaedah dan perspektif baharu.

Pada tahun-tahun terawal mula operasi, akhbar ini diuji cabaran cukup getir apabila dilaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang memaksa orang ramai duduk di rumah dan perniagaan terpaksa ditutup dan berita-berita hanya dibaca secara dalam talian.

Walaupun sekarang pandemik terbabit bukan lagi ancaman utama tetapi isu peningkatan kos sara hidup menyebabkan orang ramai sangat berhati-hati dalam setiap ringgit mereka belanjakan termasuk untuk mengeluarkan RM2 bagi membeli senaskhah akhbar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ini tidak bermakna akhbar bercetak tidak lagi relevan kepada masyarakat walaupun ramai yang sudah bersedia untuk membaca ‘talkin’ apabila menyifatkan akhbar dalam bentuk fizikal di negara ini sudah mati.

Ada juga mengambil tindakan drastik seperti langkah pengasas bersama akhbar harian berbahasa Inggeris Thailand, The Nation, Suthichai Yoon yang menghentikan edisi cetak pada Jun 2019. Ada juga pihak berfikir sebaliknya seperti orang ketiga terkaya di dunia yang juga Pengerusi Eksekutif Amazon, Jeff Bezos yang masih yakin dengan industri akhbar.

Buktinya, sejak 2013 beliau mengambil alih akhbar The Washington Post yang mula diterbitkan pada 1877 daripada keluarga Graham dengan harga AS$250 juta (RM1.13 bilion) yang dibayarnya secara tunai.

Bagi pembaca setia Utusan Malaysia, mereka sudah pasti pernah membaca mesej sosial satu muka surat di akhbar ini yang menyampaikan pesanan ringkas kenapa akhbar bercetak masih relevan dan bukan seperti media sosial yang penuh dengan lambakan maklumat sehingga menyebabkan ramai yang hanya membaca tajuk. Antaranya, ‘Beli saja akhbar. Tak payah pun klik dan scroll’ dan ‘Rakyat hari ini kurang membaca, susahlah kalau baca tajuk saja’.

Setiap teknologi baharu diperkenalkan akan ada kesan buruknya jika kita tidak berhati-hati terutama kepada warga emas. Misalnya, membaca berita melalui platform digital boleh merosakkan retina mata kerana skrin gajet mengeluarkan high-energy visible light (cahaya biru).

Mata letih, sakit kepala, pandangan kabur, tidur terganggu, sakit leher dan belakang adalah antara simptom yang selalu dikesan dalam kalangan pengguna telefon bimbit berpunca daripada cahaya biru terbabit.

Bagi mereka yang masih berkira-kira untuk membelanjakan RM2 untuk membeli akhbar ini, harus sedar bahawa akhbar adalah pencatat sejarah yang menampilkan kebenaran berdasarkan pengalaman sebenar wartawan itu sendiri.

BEBAS

Oleh itu, marilah kita sama-sama terus membeli akhbar ini dan juga mengajak rakan dan saudara-mara berbuat demikian. Wartawan veteran Amerika Syarikat (AS) yang pernah memenangi anugerah kewartawanan berprestij, Hadiah Pulitzer pada 1997, Richard Kluger pernah menyebut,

“Setiap kali surat khabar ‘mati’, malah akhbar yang teruk pun, negara ini (AS) bergerak sedikit lebih dekat dengan autoritarianisme (kerajaan sahaja yang berkuasa dan betul). Apabila surat khabar yang hebat pergi, seperti New York Herald Tribune, sejarah itu sendiri tidak lagi mempunyai pemerhati setia.”

Perkara sama diungkapkan oleh pelakon Hollywood yang juga lulusan bidang kewartawanan dari Universiti Fordham, AS, Denzel Washington. Katanya, tanggungjawab wartawan adalah untuk memberitahu kebenaran dan bukan hanya sekadar menjadi orang pertama menyampaikan maklumat seperti yang diberi tumpuan oleh media sosial dan akhbar dalam talian tanpa mengambil kira pihak mana akan menerima kesan buruk daripada pendedahan maklumat terbabit.

Berpegang kepada kebenaran adalah antara nilai-nilai teras yang ditekan kepada kami para wartawan di akhbar ini termasuk apabila bercakap tentang inflasi. Seperti ditulis oleh Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar dalam ruangan Minda Pengarang akhbar ini baru-baru ini bahawa Utusan Malaysia mendedahkan mengenai inflasi kerana ia satu realiti yang tidak boleh dinafikan.

Dalam pada itu, nasihat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disiarkan pada keluaran pertama akhbar ini pada 20 Julai 2020 juga akan terus dijadikan panduan oleh kami para wartawan.

Katanya, Yusuf Ishak dan Rahim Kajai tidak pernah mengasaskan Utusan Melayu untuk menjadi jurucakap mana-mana parti politik. Justeru, Utusan Malaysia dengan kebangkitan semulanya, mesti kembali kepada idea asal penubuhannya, iaitu kewartawanan berwibawa. Hanya itu jalan terbaik untuk masa depannya.

“Hanya menjadi pelapor kepada peristiwa dan berita tidak mencukupi. Tugas itu telah diambil alih oleh media sosial. Utusan Malaysia mesti menjadi tonggak kepada pengukuhan demokrasi dengan melakukan fungsi semak dan imbang dengan lebih radikal dan konstruktif.

“Ia mesti melaporkan kebenaran walau apa pun harganya. Dan ia mesti menjadi pencetus kepada pemikiran baharu, analisis yang jitu dan sahih, serta pencerahan kepada pelbagai krisis nasional dan antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, Utusan Malaysia mesti mengimbangi peranannya dalam kemajmukan Malaysia, iaitu menjadi suara untuk semua kaum dan bukan sekadar bangsa Melayu.

“Semua kita mesti mengambil tanggungjawab untuk mendukung Utusan Malaysia menjadi akhbar yang moden, bebas dan bermutu. Kebebasan akhbar adalah sangat penting untuk demokrasi Malaysia menjadi matang dan berwibawa. Tanpa akhbar yang bebas, Malaysia tidak mungkin akan menjadi sebuah masyarakat yang maju,” tegas Mohamad.

Semoga dengan prinsip untuk terus melaporkan kebenaran serta suntikan inovasi, kreativiti dan pelancaran produk baharu akan dapat terus mengekalkan sokongan pembaca terhadap akhbar ini. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×