Sukar dapat tajaan sebab tidak glamor? - Utusan Malaysia

Sukar dapat tajaan sebab tidak glamor?

ONG SHIN RUENN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“SAYA akan terus berjuang dan tidak sesekali putus asa memperjuangkan nasib sukan orang pekak negara untuk mendapat hak kesamarataan sebagaimana atlet normal dan para.”

Itu azam Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), ONG SHIN RUENN yang mahu sukan ini terus tidak dipandang sepi oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan sebaliknya mendapat perhatian sewajarnya terutama menjelang Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia Keempat yang bakal berlangsung di negara ini buat julung kalinya dari 23 September hingga 7 Oktober ini.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dibantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH menerusi jurubahasa isyarat, FATHIN NORISHAH ABDULLAH, walaupun sehingga kini masih belum mendapat kata putus berhubung komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shin Ruenn masih berharap ada sinar buat mereka.

UTUSAN: Ceritakan serba sedikit mengenai penganjuran dan latihan pasukan Malaysia?
SHIN RUENN: Kami telah merancang berkaitan penganjuran dari segi lokasi perlawanan, penginapan dan kebanyakannya bertumpu di universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa stadium.

Bagi pasukan Bola Sepak Pekak Malaysia sekarang pun dalam peringkat latihan berpusat fasa dua di Kelantan. Dari segi penganjuran yang kali pertama di Malaysia ini akan melibatkan banyak sukarelawan. Kami memberi kursus atau kelas asas bahasa isyarat bagi sesiapa yang berminat menjadi sukarelawan kejohanan ini nanti.

Kami sudah menerima beberapa tajaan seperti syarikat telekomunkiasi rasmi bagi kegunaan atlet luar negara dan pengangkutan.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kementerian tiada peruntukan untuk penganjuran temasya sukan ini sedangkan Malaysia adalah tuan rumah?
Sebenarnya penganjuran Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah merupakan satu pengiktirafan dunia.

Dari tahun lepas, kami menerima kehadiran pegawai wakil Persatuan Bola Sepak Orang Pekak Antarabangsa dan adakan beberapa pemeriksaan bagi mengesahkan lokasi yang layak dijadikan tempat perlawanan mengikut standard FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

Akan tetapi kita juga berdepan sedikit cabaran seperti tempahan lokasi memandangkan ia bertembung dengan jadual Liga Malaysia dan Liga Super yang lebih mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk peminat sukan itu.

KBS hanya memberi kelulusan penganjuran kejohanan ini tetapi tidak melibatkan implikasi atau komitmen kerajaan. Semua kos kami tanggung sendiri. Kami juga memohon peruntukan daripada Perdana Menteri tetapi yes or no belum tahu.

Kami memang tidak seglamor sukan-sukan lain atau Piala Dunia, tambahan pula kami adalah golongan pekak jadi ia lebih menyukarkan usaha mencari tajaan. Saya juga amat berharap syarikat swasta dan korporat dapat menaja acara ini dengan sepenuh dan seikhlas hati memberi komitmen bukan hanya meraih publisiti atau mengambil kesempatan.

Adakah bermakna sukan ini dianggap tidak penting?
Kami menghormati dan akur keadaan situasi tersebut memandangkan sukan bola sepak sememangnya terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami akur dengan sistem jadual yang ditetapkan dan mohon bertolak ansur.

Saya berharap juga sebenarnya mereka dapat sama-sama menyokong penganjuran kejohanan ini kerana ia bukan setiap tahun diadakan, bahkan satu dunia daripada golongan pekak memandang kejohanan ini.

Kerajaan mengutamakan sukan-sukan lain yang lebih glamor tetapi kita masih berharap sekiranya kerajaan dapat memberi bantuan walaupun sedikit dan usaha penganjuran ini sebenarnya dapat meningkatkan serba sedikit ekonomi negara dengan menarik bilangan pelancong.

Setuju jika golongan pekak dianggap warga kelas ketiga yang dipandang sepi?
Ya, kami setuju wujud tanggapan seperti itu tetapi mengharapkan kerajaan terus membantu. Kami sendiri dalam bidang sukan telah menyumbang banyak pingat untuk Malaysia melalui atlet pekak negara.

Sukan paling banyak dapat pingat ialah badminton, olahraga dan karate. Pasukan bola sepak berada pada ranking agak baik seperti di tempat kedua dalam Asia Tenggara, kelima di Asia Pasifik dan kedudukan ke-24 di peringkat dunia.

Bagaimana pula dengan fasiliti, adakah setaraf dengan sukan bagi golongan para atau normal?
Sampai hari ini masih belum dapat fasiliti yang lengkap daripada kerajaan. Kalau sistem teknikal sukan, kami gunakan peranti isyarat visual (VSD) untuk sukan olahraga dan itu masih dalam proses pembangunan selain keperluan guru bahasa isyarat.

Kami masih menumpang fasiliti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi pastilah mereka mengutamakan atlet normal dan para.

Jadi, kami mengambil inisiatif sendiri dengan berlatih di Kelantan bagi bola sepak; olahraga di Terengganu, Perlis dan Sabah; badminton di Petaling Jaya sementara boling di Sunway, Selangor. Pusat latihan kami merata-rata dan tidak berpusat.

Atlet akan menginap di inap desa yang disewa sepanjang latihan. Kami akan mencari inap desa yang dapat tawarkan harga terbaik. Dalam semua hal, kami serba sederhana.

Kerana itu kami sangat berharap dapat masuk dalam program MSN agar dapat menikmati faedah sama seperti atlet normal dan para dalam perubatan, penginapan, elaun dan lain-lain lagi.

Mengapa tidak mendapat hak sama rata dengan atlet para sedangkan sama-sama orang kurang upaya (OKU)?
Dalam Pindaan Akta Sukan 2018, memang kami diiktiraf setaraf dengan Majlis Paralimpik Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia tetapi tidak dapat hak kesamarataan. Sebagai contoh, jika atlet normal atau para bawa balik pingat emas, mereka akan menerima insentif RM1 juta tetapi kami hanya RM80,000. Begitu juga tempat latihan yang serba kekurangan.

Kami mempunyai seorang atlet badminton wanita bertaraf dunia tetapi tidak menerima sebarang elaun. Bayangkan atlet lompat jauh kami terpaksa berlatih di atas jalan beralaskan karpet yang sebenarnya agak bahaya dari segi keselamatan.

Sejujurnya sehingga hari ini masih belum ada pengiktirafan walaupun sama-sama OKU dan ada MyKad.

Ada perbincangan mengenai isu ini dengan kementerian?
Kami sudah lama, berpuluh tahun berjuang untuk mengubah nasib sukan pekak tapi belum ada hasil walaupun beberapa kali berjumpa menteri sejak zaman Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Hannah, namun masih tiada hasil sehingga hari ini.

Saya berharap menteri baharu dan Perdana Menteri dapat beri kata positif kepada sukan ini dalam era baharu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN