Siapa pun jadi Perdana Menteri, masalah sekarang tetap berlaku

Siapa pun jadi Perdana Menteri, masalah sekarang tetap berlaku

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK mutakhir ini, terdapat beberapa kalangan termasuk dari luar negara yang mengkritik teruk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu-isu ekonomi yang melanda Malaysia,khususnya yang menyentuh penyusutan nilai ringgit. Apa yang cuba ditonjolkan ialah ringgit mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun di Asia bagi enam bulan pertama 2023 disebabkan aliran keluar modal dan kerajaan perpaduan di bawah Anwar didakwa tidak berbuat apa-apa.

Antaranya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang berkata, pentadbiran Anwar sejak tujuh bulan lalu tiada hala tuju ekonomi ditambah kelemahan ringgit serta peningkatan kos sara hidup yang menjejaskan kuasa beli rakyat. Lebih baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito dilaporkan oleh sebuah akhbar berkata, kerajaan dilihat tidak mempunyai visi jelas, komprehensif dan berjangka panjang berhubung situasi penyusutan nilai ringgit.

Semua menampakkan diri mereka terkejut dengan perkara ini sepertinya sesuatu yang tidak dijangka berlaku walhal sejak sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri lagi, beberapa badan dunia meramalkan kemelesetan ekonomi pada 2023. Penyusutan nilai mata wang pula tidak terhad kepada Malaysia sahaja, malah menimpa kebanyakan mata wang utama dan serantau seperti yuan China, yen Jepun, euro, won Korea dan baht Thailand yang memaksa tindakan sokongan diambil bagi menampungnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berkali-kali ditegaskan, penyusutan nilai ringgit bukan disebabkan kelemahan asas ekonomi negara atau kegagalan langkah-langkah diambil kerajaan untuk menanganinya tetapi lebih didorong fenomena global dan pengaruh pasaran. Kerajaan mengambil pendekatan yang bertumpu kepada memastikan pelarasan ringgit dalam keadaan teratur dan menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur. Justeru, membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perbelanjaan dan pelaburan dengan baik.

Anwar sendiri sudah mengumumkan pelancaran dokumen reformasi ekonomi dikenali sebagai Naratif Ekonomi Madani menjelang Ogos depan sebagai panduan jelas kepada hala tuju ekonomi negara bagi memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan. Reformasi ekonomi memerlukan perubahan pada peringkat struktur dan perkara ini akan memakan masa. Dan sementara dokumen Naratif Ekonomi Madani diperkenalkan, kerajaan meneruskan dasar sedia ada yang telah dipakai sekian lama, bukannya tidak berbuat apa-apa.

Hakikatnya, Anwar bernasib malang kerana terpaksa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tatkala ekonomi dunia dan negara mengalami kemeruduman. Siapa sahaja yang menjawat jawatan ini dalam keadaan getir sekarang akan mengalami nasib sama.

Jika kita imbau kembali peristiwa setahun lalu, salah satu sebab utama mengapa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana jangkaan keadaan ekonomi semakin teruk pada 2023. Seawal 21 Ogos 2022 lagi, Ismail Sabri berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Joko Widodo dan Lee Hsien Loong menjangkakan sedemikian. Jadi, kalau PRU15 dilangsungkan waktu ekonomi tengah teruk, maka risiko kalah besar.

BEBAN HUTANG

Empat hari selepas Parlimen dibubarkan, iaitu pada 14 Oktober 2022, Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata, ia telah menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 daripada 3 kepada 1.9 peratus bagi pertumbuhan global yang dilihat semakin hampir dengan kemelesetan dunia. Jelas David, ekonomi global ‘semakin menjerumus’ kepada kemelesetan apabila kadar inflasi kekal tinggi, kadar faedah meningkat, kemasukan aliran modal negara-negara membangun terjejas dan beban hutang mereka semakin meningkat.

Pada 27 Disember 2022, Pengarah dan Ketua Ramalan di Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR), Kay Daniel Neufeld berkata, ekonomi dunia bakal menghadapi kemelesetan pada 2023 disebabkan kenaikan kadar faedah bagi mengatasi kadar inflasi lebih tinggi.

Pada 2 Januari lalu, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva juga berkata, 2023 akan menjadi tahun sukar bagi sebahagian besar ekonomi dunia kerana enjin utama pertumbuhan global iaitu Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China, semuanya perlahan secara serentak.

Pada 11 Januari lalu, Presiden Bank Dunia, David Malpass pula berkata, ekonomi global semakin hampir diancam kemelesetan pada 2023 susulan pertumbuhan lebih lemah di AS, Eropah dan China menyebabkan ia menurunkan unjuran bagi pertumbuhan global tahun ini. Laporan Bank Dunia turut menegaskan, kenaikan kadar faedah ekonomi maju seperti AS dan Eropah akan menarik pelaburan modal daripada negara-negara kurang kaya, sekali gus menjejaskan pelaburan domestik yang penting untuk mereka.

Oleh itu, tiada yang mengejutkan dalam penyusutan nilai ringgit berlaku sekarang kerana semuanya telah dijangka dan diperkatakan sejak 2022 lagi. Walau parti mana membentuk kerajaan sekali pun, keadaannya akan tetap sama.

Malah, pada 3 November 2022, firma penyelidik, TA Research berkata, sebarang keputusan PRU15 dijangka tidak memberi kesan kepada pergerakan nilai ringgit berbanding dolar AS berikutan peserta pasaran lebih tertumpu kepada ketidaktentuan ekonomi semasa. Tambahnya, tiada ragu-ragu lagi ringgit akan melemah pasca PRU15 dengan kemungkinan sebahagiannya disebabkan persekitaran ekonomi semasa khususnya pelabur portfolio asing menghantar pulang pendapatan dan keuntungan mereka.

Kesimpulannya, tidak wajar Anwar disalahkan atas isu-isu ekonomi melanda negara, khususnya penyusutan nilai ringgit kerana walau siapa pun jadi Perdana Menteri, masalah sekarang tetap akan juga berlaku. Anwar telah melakukan yang terbaik dalam membetulkan tadbir urus dan tata kelola kerajaan. Sama-samalah kita bersabar menunggu hasilnya yang pasti akan diterima bersama sambil kita menanti dokumen reformasi ekonomi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohammad Harith Amlus ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×