PILIHAN raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini adalah penting dan mempunyai makna besar dalam beberapa aspek. Walaupun secara langsung tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan, ia tetap penting serta mungkin memberi kesan secara tersirat kepada kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kemenangan calon-calon Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pastinya memberi simbol besar kepada kekuatan dan kedudukan lebih terjamin bagi kerajaan perpaduan, setidak-tidaknya untuk tempoh lima tahun dan satu penggal lagi. Tetapi sebaliknya jika Perikatan Nasional (PN) mendapat kemenangan besar di enam negeri (Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu), maka sedikit sebanyak kedudukan Kerajaan Persekutuan terancam walaupun bukan melibatkan ahli Parlimen. Keadaan akan lebih terasa sekiranya Selangor dan Negeri Sembilan dimenangi calon-calon PN. Kemenangan calon PN secara majoriti di Pulau Pinang mungkin sukar dengan kedudukan DAP.
Saya memberikan tumpuan kepada dua persoalan besar. Pertama, PRN ini menguji tahap sokongan pengundi kepada calon-calon PN. Kedua, PRN ini sebagai ujian kepada kerjasama politik PH-BN yang pertama kali berlaku. Kedua-dua persoalan ini agak menarik dan penting sebagai penanda aras awal kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Umumnya dilihat PN terdiri daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat sokongan besar pengundi Melayu dan bumiputera. Umumnya dalam PRU15 di kawasan Parlimen pengundi Melayu, calon-calon PN mendapat kemenangan besar. Kalau trend ini terus kekal, bermakna Kedah, Kelantan dan Terengganu akan dapat dimenangi dengan mudah oleh calon-calon PN. Jika ini tidak berubah, bermakna secara simboliknya kerajaan perpaduan pimpinan Anwar tidak dapat mengubah pendirian dan sokongan pengundi Melayu di tiga negeri bermajoriti penduduk Melayu.
Apa sebaliknya berlaku jika calon-calon PH-BN mendapat sokongan besar? Ini bermakna tindakan dilakukan para pemimpin PN dan pentadbiran di negeri-negeri dikuasainya (Kedah, Kelantan dan Terengganu) tidak boleh diterima oleh pengundi.
Umumnya, para penganalisis melihat calon-calon PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan dapat menang dengan mudah dan berjaya membentuk kerajaan negeri. Ini hanya ramalan awal dan tidak semestinya tepat 100 peratus. Beberapa polisi pembangunan dan tindakan kerajaan Pas, misalnya di Kelantan tidak semua disenangi oleh rakyat. Misalnya, masalah pengurusan sampah yang lemah. Begitu juga masalah bekalan air bersih yang gagal diselenggara dan diuruskan dengan baik. Ini adalah isu besar yang sedang dihadapi rakyat Kelantan. Adakah ketidakpuasan ini akan diterjemahkan kepada peti undi pada 12 Ogos nanti?
KLUSTER MAHKAMAH
Persoalan kedua, sejauh mana kerjasama PH-BN dapat diterima serta mendapat sokongan dan kemenangan dalam PRN ini? Parti-parti komponen PH khususnya PKR dan DAP sangat berbeza dengan falsafah dan perjuangan UMNO. Perjuangan DAP tidak dapat lari daripada perjuangan kepentingan kaum Cina walaupun mendakwa memperjuangkan kepentingan umum semua bangsa. Pada pemikiran umum orang-orang Melayu, DAP adalah sebuah parti politik bagi kepentingan kaum Cina.
Bukti mudah, DAP hanya mendapat kemenangan besar di kawasan majoriti kaum Cina. Tidak ada calon DAP menang besar di kawasan majoriti Melayu. Walaupun ada calon DAP Melayu bertanding dan menang, tapi hanya di kawasan pengundi campuran yang pengundi Cina besar peratusnya. Jadi, sukar menolak pendirian umum orang Melayu bahawa DAP adalah untuk perjuangan semua kaum.
UMNO adalah sebuah parti politik yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu. Dalam kempen pilihan raya, UMNO tetap menolak perjuangan DAP sehinggalah dalam kempen PRU15 lalu.
Jadi, kerjasama PH (DAP) dan UMNO adalah suatu yang amat bercanggah dengan prinsip, falsafah dan kempen pilihan raya. Persoalannya, bagaimana dua parti politik yang sangat berbeza dan amat besar percangggahan dapat berjalan serta mendapat sokongan pengundi? Adakah pengundi Melayu akan memberi sokongan kepada calon-calon DAP?
Isu ini sangat penting bagi kawasan pengundi campuran di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Bagi kawasan majoriti kaum Cina, besar kemungkinan calon DAP atau Cina PH akan menang dengan mudah. Adakah kawasan campuran yang besar peratus kaum Cina akan menghadapi masalah? Tidak semua pengundi Cina dapat menerima penuh rela kemasukan ahli Parlimen UMNO (terutama yang ada kes mahkamah dan rasuah). Dalam kempen PRU lepas, DAP menolak dengan keras kluster mahkamah termasuk Presiden UMNO. Tetapi apa berlaku selepas PRU adalah suatu yang tidak terfikir. UMNO bergabung dengan PH membentuk kerajaan. Adakah ini akan memberi kesan kepada keputusan PRN di enam negeri nanti?
PRN ini melambangkan sebuah corak yang bakal mempunyai hubungan rapat dengan PRU akan datang. Jika PH-BN menang besar, bermakna rakyat secara umumnya boleh menerima falsafah kerajaan perpaduan.
Pertembungan ‘keras’ antara DAP-UMNO mampu diredakan oleh pimpinan Anwar. Ia akan semakin kukuh sebagai falsafah dan kerjasama baharu politik negara. Sebaliknya jika PH-BN gagal menguasai kemenangan besar, bermakna rakyat tidak boleh menerima gabungan ini secara umum.
Andainya calon-calon PN menang besar, maka itu simbolik sokongan rakyat kepadanya. Corak pengundi di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan memberi makna besar. Kalau tiga negeri ini juga dapat dikuasai PN, bermakna sokongan pengundi bukan Melayu juga telah berubah. Besar kemungkinan dalam PRU akan datang, PN mampu membentuk kerjaan dan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.










