Selain baca buku, telaah juga asas perlembagaan negara

Selain baca buku, telaah juga asas perlembagaan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali kita menghampiri pilihan raya, pelbagai kenyataan panas dilontarkan oleh para pemimpin politik untuk menarik perhatian pengundi. Tujuannya memastikan mereka memenangi pilihan raya tersebut.

Lebih panas isunya, lebih terujalah para penyokong yang setia mendengar dengan penuh bersemangat. Maka disambutlah ia dengan sorakan serta tepukan gemuruh, kemudian dipanjang-panjangkan pula apa yang diucapkan kepada keluarga dan kenalan yang tidak berkesempatan untuk berada di situ.

Ketika inilah akan heboh kedengaran pelbagai pembongkaran salah laku pihak lawan, diselang-selikan ‘fatwa’ baharu, andaian serta spekulasi. Memang sedap didengar tetapi belum tentu setakat mana kebenarannya. Malah, kali ini kedengaran pula ‘tafsiran terbaharu’ terhadap inti pati Perlembagaan Persekutuan yang membuatkan saya menggaru kepala kehairanan. Di sinilah pentingnya ilmu di dada agar kita tidak mudah dimanipulasikan. Pada masa sama, kita perlu berkemampuan untuk berfikir secara rasional serta boleh menilai dengan kritis setiap informasi diterima.

Masalahnya, ramai pula yang tidak berfikir panjang, lantas menerima semuanya secara bulat-bulat tanpa sedikit pun rasa ragu di hati. Maka berlumba-lumbalah mereka mahu menjadi orang pertama menyebarkan cerita-cerita sensasi bagi mendapat jumlah sukaan yang tinggi di media sosial. Begitu mudah kita terjerat dalam perangkap jaringan spekulasi dan fitnah, lantas mengumpul dosa dengan memanjangkannya kepada orang lain.

Para pemimpin seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik serta cermat ketika membuat sebarang kenyataan, apatah lagi jika mahu memetik perlembagaan. Janganlah hanya kerana mahu memenangi pilihan raya, mereka sanggup mempolitikkan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negara. Kita tidak mahu keadaan menjadi huru-hara akibat kenyataan, provokasi dan fitnah yang sengaja direka cipta bagi memancing undi. Yang menerima padahnya ialah rakyat jelata – kamilah yang akan tersepit apabila keadaan negara tidak aman.

Sebagai rakyat yang setia kepada negara, kita harus menjunjung perlembagaan pada setiap masa. Perlembagaan Persekutuan ialah asas kepada pembinaan negara serta hala tuju dan ideologi negara. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk menghormati prinsip ketinggian perlembagaan serta mempertahankan martabatnya. Amat mengecewakan apabila perlembagaan tidak dihormati, dipermainkan atau dipergunakan bagi apa sahaja tujuan yang tersurat mahupun tersirat.

Perlembagaan harus difahami dengan menghayati rohnya, maka para pemimpin yang bukan ahlinya harus merujuk kepada tokoh-tokoh yang benar-benar arif dan pakar dalam bidang ini dan bukannya membuat tafsiran mengikut selera mereka sendiri. Ia tidak boleh dipetik secara sesuka hati tanpa mengambil kira konteksnya secara keseluruhan dan semua perkara di dalam perlembagaan mesti dibaca secara menyeluruh.

Ini perkara asas yang sering ditekankan oleh guru saya, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz sejak mula-mula berguru dengan beliau ketika berumur 12 tahun.

Malang sekali jika kita rakyat Malaysia mendabik dada memperkatakan tentang buku-buku hebat yang dibaca tetapi tidak pernah menelaah peruntukan-peruntukan asas perlembagaan sendiri. Apalagi jika mereka ini terdiri daripada penggubal undang-undang atau pernah menduduki kerusi tersebut terutamanya menteri, timbalan menteri dan para pemimpin yang pernah berada dalam Kabinet. Memang menyedihkan apabila terdapat penggubal undang-undang mengambil mudah hal ini dan langsung tidak merasakan keperluan bagi mereka untuk belajar memahami undang-undang tertinggi negara.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Berpolitik biarlah ada hadnya, berkempen biarlah ada adab dan batasannya. Jangan pula demi kemenangan, ada yang masih sanggup memfitnah orang lain dan menabur janji yang mereka sendiri tahu tidak mungkin dapat penuhi.

Pengundi pula jangan terlalu mudah percaya akan janji yang terlalu manis dan pada hakikatnya terlalu sukar untuk dipenuhi. Berpijaklah di bumi nyata kerana impian yang terlalu indah belum tentu boleh bertukar menjadi kenyataan. Tersalah pilih, kita juga yang rugi.

Ramai teman bertanya, adakah kita bakal menyaksikan keputusan mengejutkan dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti? Tiada apa yang mustahil, manakala parti-parti bertanding meramalkan mereka bukan sekadar akan berjaya mempertahankan negeri masing-masing tetapi juga yakin dapat menawan negeri-negeri yang berada di tangan lawan. Yang pasti, persaingan dalam PRN ini begitu sengit.

Seperti mana berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, yang menjadi penentu kepada keputusan PRN ini ialah pengundi muda dan perantau. Faktor pecah undi juga akan mempengaruhi keputusan pilihan raya, begitu juga peratusan keluar mengundi. Benarkah undi anak muda boleh dibeli dengan mudah? Tepuk dada. tanya selera. Semoga kita semua boleh bersikap lebih bertanggungjawab, memerangi rasuah bukanlah satu mantera untuk diucapkan tetapi mesti dilaksanakan oleh semua pihak.

Tiada siapa dapat meramalkan sentimen pengundi di keenam-enam negeri pada hari mengundi nanti. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kesemua PRN bakal berlangsung serentak di mana pengundian awal akan berlangsung pada 8 Ogos, manakala hari mengundi, 12 Ogos ini.

Pelbagai perkara boleh berlaku dalam jangka masa sebulan ini yang boleh mempengaruhi sokongan pengundi, khususnya golongan atas pagar. Perang getir bakal bermula. Jangan sampai putih dikejar, hitam tak dapat; yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kita mengharapkan pemimpin parti-parti bertanding akan memperlihatkan kematangan serta sikap yang lebih bertanggungjawab ketika berkempen. Fokuslah kepada isu-isu relevan dan penting untuk kemajuan negeri dan bukannya asyik memainkan isu-isu retorik yang tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat dan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×