Sate, nasi lemak hidangan di Jambori Pengakap Dunia

Sate, nasi lemak hidangan di Jambori Pengakap Dunia

ACARA paling ditunggu-tunggu oleh ahli pengakap adalah Jambori Pengakap Dunia yang diadakan empat tahun sekali. – IHSAN PPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA acara yang paling ditunggu-tunggu oleh ahli pengakap adalah Jambori Pengakap Dunia atau World Scout Jamboree yang diadakan empat tahun sekali. Jambori didefinisikan sebagai perhimpunan besar pengakap di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Di jambori inilah ahli-ahli pengakap dapat bertemu rakan-rakan baharu, bertukar-tukar pandangan, menjalani aktiviti-aktiviti menarik dan memperoleh pengalaman berharga sebagai bekalan pada masa depan.

Pada tahun ini, Jambori Pengakap Dunia akan berlangsung dari 1 hingga 12 Ogos di SaeManGeum, Jeollabuk-do, Korea Selatan yang dijangka disertai kira-kira 45,000 ahli pengakap seluruh dunia. Malaysia tidak ketinggalan apabila bakal menghantar kontinjen kira-kira 500 peserta terdiri daripada ahli pengakap dan pandu puteri diiringi pemimpin masing-masing.

Ini merupakan kali kedua Persatuan Pengakap Korea menjadi tuan rumah selepas menganjurkan Jambori Pengakap Dunia Ke-17 pada 1991.

Bagi ahli pengakap Malaysia, jambori dunia kali ini merupakan peluang terbaik mereka menyertai sebuah jambori berskala besar seumpamanya kerana ia diadakan tidak jauh dari negara ini.

Jika dilihat sejarah penganjuran jambori dunia, kebanyakannya diadakan di negara-negara Eropah. Jambori Pengakap Dunia Pertama diadakan dari 30 Julai hingga 8 Ogos 1920 dihoskan oleh United Kingdom di Kensington Olympia. Pada jambori sulung ini, sebanyak 8,000 pengakap dari 34 negara menyertainya.

Beberapa jambori pengakap dunia turut diadakan di Asia iaitu di Filipina (1959), Jepun (1971), Korea Selatan (1991), Thailand (2002-2003) dan sekali lagi di Jepun pada 2015. Sehingga hari ini, sebanyak 24 jambori pengakap dunia telah dianjurkan di serata dunia dengan yang terakhir dari 22 Julai hingga 2 Ogos 2019 di Glen Jean, West Virginia, Amerika Syarikat yang menyaksikan kehadiran 41,559 peserta dari 124 negara.

Jambori Pengakap Dunia Ke-25 di Korea Selatan tahun ini bakal menjadi platform untuk membolehkan golongan muda merealisasikan impian mereka, menjalin persahabatan dengan orang muda lain dari budaya berbeza dan mengambil bahagian dalam program yang selamat, inklusif dan mampan.

Program ini direka bentuk berdasarkan beberapa elemen teras iaitu Pengakap untuk Kehidupan (Scouting for Life), Pintar dan Saintifik (Smart and Scientific), Selamat dan Terjamin (Safe and Secure) serta Kelestarian, dan Pengembaraan, Budaya, Tradisi (ACT).

WARISAN

Tema jambori kali ini, iaitu Draw your Dream, mencerminkan keterbukaan pergerakan pengakap untuk menerima idea dan pendapat orang muda dan memberi peluang kepada mereka untuk menjadikan impian jambori masing-masing menjadi kenyataan. Beberapa aktiviti menarik direncanakan kepada peserta jambori dunia tersebut antaranya Dynamic Korea yang mengetengahkan budaya tradisional, ekologi alam sekitar, makanan tradisi, warisan dan program teknologi komunikasi maklumat (ICT) di Korea Selatan.

Dalam pada itu, program-program lain yang bakal diadakan termasuk Dream Programme, Advance Jamboree, Exhibition Events, Adventure Events, Special Events dan Special Courses.

Ketua Kontijen Malaysia, Norma Noordin berkata, kontinjen negara ini diurus oleh pasukan yang terdiri daripada 19 orang ahli dewasa.

Selain itu, jelasnya, seramai 184 belia pengakap dan ahli dewasa pengakap akan berkhidmat sebagai Pasukan Khidmat Antarabangsa (International Service Team) di jambori dunia kali ini.

“Kontinjen Malaysia akan mengetengahkan budaya Malaysia di persada dunia.

“Jambori Dunia 2023 akan memperkenalkan makanan Malaysia melalui jualan makanan di International Food House yang akan disertai lebih 30 negara,” katanya. Antaranya sate dan nasi lemak ayam rendang.

Beliau menambah, ahli-ahli pengakap dan pandu puteri akan menyertai lebih daripada 200 jenis aktiviti pada jambori kali ini.

Menurutnya, program-program yang diadakan pada jambori tersebut terdiri daripada kemahiran hidup, hidup bermasyarakat, sains dan teknologi, pembangunan mampan, budaya serta aktiviti lasak.

Sebagai simbolik, satu majlis pelepasan Kontingen Malaysia ke Jambori Pengakap Dunia Ke-25 dijadualkan diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 15 Julai ini. Majlis pelepasan itu bakal disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin. – UTUSAN

Penulis ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN