Puncanya Melayu berpecah, jangan salahkan orang lain - Utusan Malaysia

Puncanya Melayu berpecah, jangan salahkan orang lain

Muafakat Nasional yang sepatutnya menjadi penyatuan Melayu Islam terbesar selepas merdeka gagal ekoran tidak ada kesatuan dan kesepakatan dalam kalangan para pemimpin Melayu yang terlibat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKOH terkemuka Britain, Winston Churchill pernah berkata, kalau tidak ada musuh dari dalam, musuh dari luar tidak boleh memusnahkan kita. Kelemahan, perpecahan dan keruntuhan sesuatu bangsa dan negara itu berpunca daripada diri kita sendiri.
Kalau diimbau kembali sejarah di Tanah Melayu, kejatuhan satu demi satu negeri-negeri Melayu kepada Inggeris disebabkan perpecahan yang berlaku dalam kalangan pembesar yang tamakkan kuasa dan harta.
Sejak dari zaman kesultanan Melaka hingga kini, kemerosotan kuasa orang Melayu disebabkan oleh pergaduhan dan perselisihan merebut jawatan dan kuasa.
Malangnya, orang Melayu tidak pernah mengambil iktibar daripada semua yang berlaku itu. Sejarah mengenai perpecahan, perselisihan dan pengkhianatan terus berulang tanpa ada noktahnya.
Baru-baru ini ramai yang menyinga apabila ada beberapa pemimpin DAP membangkitkan mengenai perlunya diadakan pilihan raya bagi memilih pemimpin di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Persoalan yang perlu ditanya di sini adalah, salahkah saranan mereka itu? Dan kenapa mereka membuat saranan tersebut?
Seperti yang di tulis oleh Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dari Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia bertajuk Perlukah Pilihan Raya PBT? Cadangan itu tercetus selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Muhammad Fathi, ia berlaku terutama berkaitan dengan kuasa iaitu apabila pelantikan menteri serta exco-exco kerajaan negeri dari DAP yang menguruskan kerajaan tempatan.
Tetapi adalah tidak adil untuk menyalahkan para pemimpin DAP kerana membangkit perkara berkenaan. Sebagai pemimpin, mereka juga ada tanggungjawab kepada pengundi. Mereka juga ada tanggungjawab kepada ahli-ahli yang setia menyokong mereka selama ini.
Oleh itu, apabila ada peluang, mereka bertanggungjawab mengutarakan idea itu kerana itu adalah perjuang mereka. Sudah tentu mereka hanya boleh berbuat demikian apabila mereka ada kuasa dalam kerajaan negeri dan juga Persekutuan.
Penulis Amerika Syarikat, Christopher Pike pernah berkata, orang yang berkuasa sentiasa mengambil kesempatan daripada mereka yang tiada kuasa.
Pemimpin-pemimpin Melayu tidak perlu menyinga atau melenting apabila isu pilihan raya PBT dibangkitkan oleh DAP. Ambil cermin dan suluh diri sendiri kenapa ini berlaku?
Jangan hendak salahkan orang Cina, India dan sebagainya, kerana apa yang berlaku ini puncanya adalah orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu apabila gilakan kuasa dan pangkat serta tamakkan harta sanggup menggadai segala-galanya termasuk maruah bangsa dan agama.
Cuba kita lihat kedudukan orang Melayu dalam peta politik negara pasca PRU15. Mereka berpecah-belah kepada parti-parti serpihan kecil yang langsung tidak ada kekuatan atau keupayaan politik.
DAP yang istiqamah dengan perjuangan berjaya menyakin pengundi-pengundi Cina untuk meninggalkan MCA dan Gerakan supaya menyokong mereka untuk membentuk kerajaan. Akhirnya mereka mengetuai kerajaan di Pulau Pinang dan berkongsi kuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Persekutuan. Kenapa? Sebab mereka bersatu dan tidak berpecah-belah.
Apa jadi dengan Melayu? Pasca PRU15 atau mungkin selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Melayu pecah kepada 10 atau 20 kumpulan. Masing-masing dengan pegangan sendiri dan mahu menjadi ketua.
Apabila berlaku krisis dalam UMNO ketika di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang tersingkir menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula bersama-sama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Muhkriz Mahathir menubuhkan Bersatu.
Kemudian Bersatu juga pecah dua apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan lalu menubuhkan Pejuang bersama dengan Mukhriz. Tidak lama selepas itu Pejuang juga berpecah apabila Dr. Mahathir dengan pengikutnya keluar dari parti itu untuk bergerak di bawah Proklamasi Melayu.
Begitu juga dengan Pas. Perpecahan dalam parti itu telah melahirkan Amanah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu.
UMNO yang selama 60 tahun menjadi parti dominan dalam kerajaan dengan menunjangi Barisan Nasional (BN) tidak mampu bertahan kerana perpecahan dalaman. Elemen sabotaj, pengkhianatan dan ketidaktaatan kepada pemimpin telah menumbangkan parti itu pada PRU14.
Walaupun ada usaha untuk menyatukan Melayu Islam selepas PRU14 melalui Muafakat Nasional (MN), ia tidak berjaya disebabkan perbalahan dan perselisihan. UMNO sedia bekerja sama dengan Pas tetapi menolak Bersatu. Pas pula meletakkan syarat MN mesti melibatkan Bersatu. Akhirnya idea penyatuan Melayu yang dianggap terbesar selepas era menuntut kemerdekaan di bawah UMNO berkubur begitu sahaja kerana para pemimpin Melayu lebih mementingkan cita-cita peribadi mereka.
Sedangkan ketika itu para penyokong cukup teruja apabila UMNO dan Pas akan bekerjasama. Pelbagai program telah diatur di peringkat akar umbi. Cawangan UMNO dan Pas sudah pun menyusun jentera untuk bergerak bersama-sama. Tetapi akhirnya kerjasama itu tidak jadi disebabkan tidak ada kesatuan dalam kalangan pemimpin Melayu. Mereka memilih untuk berbalah atas alasan yang remeh tanpa melihat kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
Atas sebab itu, orang Melayu/Islam tidak perlu melenting apabila DAP menyuarakan apa yang mereka perjuangkan. Mereka ada 40 kerusi Parlimen dan mempunyai kedudukan yang kukuh di beberapa negeri. Itu suara dan hak mereka.
Orang Melayu/Islam yang memilih untuk hidup berpecah-belah dan berpuak-puak perlu terima sahaja keadaan ini. Tidak perlu merungut sebab ini laluan yang kita dan pemimpin kita pilih. Jangan dengki dengan kejayaan orang lain hanya mereka kita memilih untuk hidup susah.
Cuba kita lihat komposisi di Dewan Rakyat hari ini. Walaupun parti yang didominasi Melayu seperti BN kalah pada PRU15, tetapi jumlah wakil rakyat Melayu/Islam di Dewan Rakyat tetap melebihi dua pertiga.
Tetapi disebabkan perbezaan ideologi, ketidaksepakatan, perselisihan dan sebagainya angka majoriti itu gagal diangkat menjadi suara yang kuat untuk mentadbir negara.
Dalam kerajaan sekarang ada 50 Ahli Parlimen Melayu dan 27 orang bumiputera Islam dari Sabah dan Sarawak. Sementara di pihak pembangkang pula ada 70 wakil rakyat Melayu/Islam. Jika semua mereka dicantumkan ia berjumlah 147 orang. Lebih daripada majoriti dua pertiga.
Tetapi apa boleh buat. Wakil rakyat Melayu Islam ini memilih untuk tidak berpakat sebab masing-masing ada agenda sendiri. Agenda utama mereka sudah tentu berkaitan dengan pangkat dan kuasa.
Jadi, orang Melayu tidak perlu meroyan apabila DAP menuntut atau meminta itu dan ini. Itu tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dalam kerajaan untuk memenuhi tuntutan dan keperluan para penyokong dan pengundi mereka.
Tidak perlu salahkan orang lain kerana puncanya adalah Melayu yang berpecah-belah.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×