MUKADIMAH
MEMPERKENALKAN subsidi dan Beras Rahmah adalah langkah terbaik untuk memastikan rakyat masih mampu membeli dan menikmati makanan karbohidrat yang membekalkan sumber tenaga kepada manusia.
Mengambil kira formula subsidi telur ayam dan ayam segar, mengapa tidak diperluaskan dalam industri beras sama ada ‘mengambil’ separuh daripada jumlah subsidi untuk diperuntukkan kepada beras atau mansuhkan sahaja subsidi telur ayam dan ayam segar dengan menukarnya 100 peratus kepada beras.
Cadangan ini dilontarkan Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), ISMAIL AWANG yang berharap ia segera diperluaskan dalam sektor makanan ruji rakyat itu dalam usaha mengawal harga beras yang kini menjadi igaun rakyat.
Ikuti penjelasan beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID yang turut dibantu jurufoto, FARIZ RUSADIO dalam membantu kerajaan menambah baik sektor beras negara.
UTUSAN: Komen anda berhubung pendirian kerajaan untuk menghapuskan amalan monopoli di negara ini?
ISMAIL: Bila Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyentuh isu ini, kami sangat bersetuju kerana ia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri seperti persatuan dan konsortium untuk mendapat permit import (AP). Memandangkan beras adalah makan utama rakyat, maka ia wajib dikawal oleh kerajaan bagi menjamin ia mencukupi, menentukan kepentingan kilang dan pemborong bumiputera.
Buat masa ini, ahli Barim hanya sebanyak 140 di seluruh negara, sedangkan dahulu mencatatkan lebih 200 ahli. Bahkan jumlah pengilang padi bumiputera juga merosot daripada 180 kepada kurang 10 orang. Ini bermakna semakin hari semakin pupus pengilang padi bumiputera.
Sedangkan dahulu semasa Program Subsidi Beras Super Tempatan 15 Peratus Hancur (ST15), Barim berjaya melahirkan banyak usahawan dan ada peningkatan kesan daripada program serampang dua mata kerajaan ketika itu. Bila kerajaan mansuhkan ST15, agak tergugat sedikit padahal ketika itu wujud banyak rangkaian dan rantaian terutama bagi penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli kita sudah ada mesin dan jenama sendiri.
Adakah Barim sudah berjumpa dengan kerajaan atau Perdana Menteri bagi membincangkan perkara ini?
Walaupun setuju dengan cadangan ini, namun setelah tujuh bulan menjadi Perdana Menteri (Anwar), kami masih tidak nampak (usaha) untuk adakan satu perjumpaan atau dialog dengan pemborong serta pemain padi dan beras. Kita amat mengalu-alukan kalau Perdana Menteri bersetuju untuk adakan dialog.
Bagaimana Barim melihat hala tuju industri beras negara?
Kami telah melihat dari pelbagai sudut serta kepentingan awam secara keseluruhannya. Kerajaan perlu mengambil kira bahawa beras adalah makanan utama rakyat Malaysia dengan menambah baik terutama dalam sudut ketirisan dalam pelbagai aspek.
Lebih baik wujudkan Majlis Padi dan Beras Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri diketuai seorang pengerusi manakala ahli lembaganya dilantik dalam kalangan pemain industri serta persatuan padi dan beras. Dengan itu urus tadbir tatakelola terletak di bawah kawalan penuh kerajaan.
Dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup, bagaimana kerajaan boleh membantu dalam memastikan rakyat masih mampu menikmati makanan ruji?
Kerajaan perlu mendengar keluh resah rakyat marhaen terutama golongan B40 dan M40 yang banyak terkesan sejak Covid-19, justeru kami mencadangkan supaya wujudkan semula beras bantuan rakyat untuk golongan sasar selain turut mengambil kira golongan sasar. Skim ini boleh dijenamakan sebagai Beras Rahmah – Malaysia Madani, Rakyat Sihat Negara Harmoni.
Sebelum ini kerajaan negeri Selangor menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah, adalah beras dijual dengan harga rahmah tetapi tidak berpanjangan, sedangkan kita hari-hari makan nasi.
Malah kerajaan boleh mengurangkan subsidi telur ayam serta ayam segar dan diberikan (separuh subsidi itu) kepada beras atau mansuhkan subsidi telur ayam dan ayam segar untuk ditukarkan kepada subsidi beras kerana beras merupakan makan ruji rakyat.
Cadangan kepada kerajaan?
Kerajaan perlu mengamalkan amalan dasar pintu terbuka dengan memberi peluang kepada persatuan atau konsortium dalam pemain industri beras yang tulen (genuine) atau seperti Thailand, India, Vietnam, Kemboja, Laos dan Pakistan yang mana kerajaan memonopoli sebagai kata pemutus kepada industri makanan utama. Kerajaan boleh mengehadkan atau tidak membenarkan mengeksport produk makanan utama untuk suatu tempoh tertentu sehingga bekalan domestik mencukupi.
Sementara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui geran tahunan boleh mempergiatkan penyelidikan terhadap padi dan beras negara.
Ketika lawatan ke Thailand, Laos dan India, saya lihat DNA (asid deoksiribonukleik) padi Malaysia, iaitu Mahsuri dibuat kajian oleh penyelidik dari India. Selepas proses tambah baik, penyelidik India menamakannya sebagai Beras Sona Mahsuri.
Di Laos pula ada beras hitam yang rupanya sudah puluhan tahun digunakan negara Barat sebagai bahan perubatan berkaitan tulang sum sum.
Kalau pakar-pakar ini boleh lakukan, kenapa tidak MARDI?
Kita juga ada kepakaran cuma tidak tahu mana silapnya tidak diperluaskan (kajian).
Difahamkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera mempunyai beribu-ribu tanah terbiar yang tidak dibangunkan. Apa salahnya kerajaan wujudkan projek rintis bagi veteran kategori B40 dan M40 untuk membuat satu projek mengguna pakai teknologi MARDI. Kita tengok keputusannya bagaimana.
Kalau kerajaan buat begini, pertama, veteran tentera dapat kerja, ada pendapatan. Kedua, kita ada beras sendiri, tidak lagi perlu import dan ketiga, keputusan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu sentiasa boleh ditambah baik.
Barim sendiri ada membuat perbincangan awal untuk projek rintis dengan Koperasi Generasi Felda Berhad pada Mac lalu, yang mana kami cadangkan untuk menanam pokok Shogun. Pokok ini boleh mengeluarkan buah seolah-olah macam beras dan ia dimakan untuk menggantikan beras.
Kerajaan Indonesia telah memulakan penanaman pokok ini. Jadi, kita boleh menggunakan kepakaran MARDI bagi merealisasikan perkara ini. – UTUSAN










